kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Ukir nama dengan darah, air mata

KUALA LUMPUR 3 Jan. - Mendiang Pegawai Waran I (B) Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau disifatkan sebagai seorang wirawan contoh yang mengukir nama dengan darah serta air mata.

Penulis buku biografi Kanang: Cerita Seorang Pahlawan, Mejar (B) Dr. Maznan Noordin berkata, tidak akan ada manusia seperti Kanang selepas ini kecuali jika berlaku lagi peperangan di negara ini.

Jelas beliau, penerima pingat Sri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) itu adalah ikon patriotisme yang akan abadi di hati rakyat buat selamanya.


GAMBAR kenangan semasa bertugas di Jambatan Nyulong Sarikei, Sarawak. Kanang Anak Langkau (bawah, duduk kiri).

"Kanang sanggup mengorbankan nyawa demi menyelamatkan maruah dan kedaulatan negara. Mendiang dan anggota tentera lain begitu berani dan bersemangat apabila berdepan dengan musuh, ini digambarkan dalam Operasi Pukat yang mana Kanang berjuang habis-habisan menentang pengganas komunis.

"Mendiang telah cedera parah ketika bertempur dengan pengganas komunis, namun Kanang meminta rakan-rakan dalam pasukannya meneruskan perjuangan menentang kumpulan pengganas berkenaan," kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kanang, 68, meninggal dunia pada pukul 1.45 pagi ini, tidak lama selepas dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak setelah pengsan di rumah akibat sesak nafas.

Jelas Maznan, Kanang semasa masih dalam perkhidmatan selalu menjadi peninjau pertama semasa operasi serta pertempuran dengan musuh kerana keberanian beliau menembak musuh tanpa mempedulikan nyawanya sendiri di samping patuh kepada semua arahan.

Menurut beliau, Kanang juga pernah ditugaskan dalam operasi untuk mencari anggota Tentera Diraja New Zealand Pertama yang hilang sementara prestasi serta dedikasinya terserlah sepanjang perkhidmatan mendiang berjuang menentang tentera Indonesia semasa zaman Konfrontasi.

"Selepas bersara daripada angkatan tentera pada 30 Mei 1986, Kanang meneruskan kehidupan yang sederhana sebagai petani dan isterinya berniaga secara kecil-kecilan untuk menampung perbelanjaan keluarga.

"Walaupun kehidupan Kanang agak perit selepas bersara, namun mendiang bersyukur kerana semua pihak menghargai setiap pengorbanan yang telah dicurahkannya kepada negara," ujarnya.



SOFIAN BAHAROM sofian.baharom@utusan.com.my 



Kanang Anak Langkau meninggal dunia

KUCHING 3 Jan. - Pahlawan Negara, Pegawai Waran 1 (B) Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau, 68, meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada pukul 1.45 pagi ini dipercayai akibat serangan jantung.

Isterinya, Datin Brawang Chunggot, 55, berkata, mendiang sebelum itu mengadu sakit dada sewaktu berada di kediaman mereka di Kampung Sungai Apong di sini.

"Semalam saya dan suami menonton siaran berita di televisyen sekitar pukul 11 malam, tiba-tiba dia mengadu sakit dada dan batuk seperti tersedak sesuatu.

"Saya kemudiannya memberi suami minum air suam sebelum dia jatuh pengsan," katanya ketika ditemui di pekarangan Rumah Mayat HUS pagi ini.

Kanang yang bersara daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan pangkat terakhir sebagai Pegawai Waran 1 merupakan penerima tunggal dua pingat keberanian utama negara iaitu Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan Panglima Gagah Berani (PGB) pada 1981.

Brawang berkata, beliau menghubungi ambulans dan meminta pertolongan daripada anak bongsunya serta jiran-jiran untuk membantu.

Katanya, suaminya itu kemudiannya dibawa menaiki ambulans ke HUS kira-kira pukul 1 pagi dan disahkan meninggal dunia 45 minit kemudian.

"Saya terkejut selepas doktor memberitahu suami saya sudah meninggal dunia sedangkan sebelum ini dia sihat dan tidak pernah mengadu sebarang penyakit.

"Sebelum ini, suami saya ada merancang untuk kami berdua pergi ke Kuala Lumpur menemui rakannya bagi berbincang mengenai produk Kopi Komando," katanya.

Kanang meninggalkan seorang isteri dan enam orang anak serta lapan cucu hasil perkahwinannya dengan isteri pertama, Helen Latai Intie yang meninggal dunia pada Januari 2011.

Antara yang terawal melawat mendiang ialah Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan isteri, Puan Sri Empiang Jabu yang mewakili kerajaan negeri Sarawak.

Turut berbuat demikian ialah Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Zaki Mokhtar dan isteri, Datin Noraihan Ibrahim serta Panglima Markas Briged Ketiga Infantri, Brigedier Jeneral Datuk Pahlawan Redzuan Baharuddin.

Mayat mendiang kini ditempatkan di Rumah Mayat HUS dan akan dibawa ke Dewan Suarah Kuching pukul 8 pagi esok manakala upacara sembahyang akan dilaksanakan di Gereja St. Thomas, Jalan McDougall sebelum dikebumikan di Makam Pahlawan Jalan Budaya, Ahad ini.



Utusan Malaysia Online Dalam Negeri 04/01/2013

Kanang Anak Langkau meninggal dunia

KUCHING 3 Jan. - Pahlawan Negara, Datuk Kanang Anak Langkau, 68, meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) pukul 1.45 pagi ini. (3 Januari 2013)

Mendiang dikejarkan ke HUS dari kediamannya di Kampung Sungai Apong selepas mengadu sakit dada pada pukul 12 tengah malam - UTUSAN



 Utusan Malaysia Online Dalam Negeri 03 Januari 2013
Tags: iban, pahlawan, sejarah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments