HAKIKATNYA dalam berhadapan dengan isu Amanat Haji Hadi, pencetus amanat ini iaitu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempunyai satu sahaja pilihan iaitu bersikap terbuka untuk menarik balik amanat berkenaan yang dilafazkan 31 tahun lalu tanpa sebarang syarat.
Tetapi demi kepentingan politik khususnya dalam keterujaan memburu kuasa bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, Abdul Hadi tidak mahu berbuat demikian sebaliknya meminta diberi peluang muncul di televisyen secara langsung selama sejam untuk membuat penjelasan.
Syarat yang dikemukakan oleh Abdul Hadi ini hanyalah satu helah kerana bukan sahaja Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) menganggap amanat itu tidak betul malahan Majlis Fatwa Kebangsaan pada 3 Disember 1984 dalam muzakarah khasnya telah mewartakan bahawa amanat itu sebagai haram.
Justeru apa hebatnya Abdul Hadi sehingga berani melakukan tindakan yang dilihat cuba menentang kedua-dua keputusan berkenaan. Walaupun beliau disanjung di dalam Pas sebagai ulama dan tok guru namun Abdul Hadi sepatutnya akur bahawa sebagai hamba Allah beliau tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.
Begitulah juga dalam soal amanat itu, Abdul Hadi perlu mengakui bahawa ia satu kesilapan silam tetapi kesannya masih berlaku sehingga ke hari ini, biarpun sudah 31 tahun ia dilafazkan. Kesilapan itu tidak boleh dihapuskan hanya dengan cara muncul selama sejam di kaca televisyen. Sebaliknya ia perlu diselesaikan melalui pengakuan ikhlas bahawa kelahiran amanat itu adalah satu kesilapan yang mendatangkan pelbagai masalah kepada umat Islam di negara ini.
Amanat yang dikeluarkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Banggol Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981
telah menimbulkan polemik yang pelbagai selain memecahbelahkan umat Melayu Islam di negara ini.
Justeru keputusan kerajaan tidak membenarkan Abdul Hadi muncul di televisyen adalah keputusan yang tepat. Usah dilayan pelbagai kecaman yang dilakukan oleh pemimpin Pas termasuk Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung pembatalan berkenaan.
Apa istimewanya Abdul Hadi sehinggakan sesuatu perkara yang diputuskan haram oleh Majlis Fatwa harus dibenarkan pihak terlibat membuat penjelasan di kaca televisyen. Kalau begitu, berapa banyak keputusan Majlis Fatwa melibatkan individu atau pertubuhan, maka mereka perlu dibenarkan membuat penjelasan. Pas tidak perlu bersikap angkuh dalam soal ini kerana amanat itu, sudah dipaparkan bagaimana ia memecahbelahkan umat Islam, masyarakat kampung berbalah sesama sendiri, ahli keluarga dan saudara mara berantakan kerana isu kafir-mengkafir dan suami isteri bercerai berai.
Oleh itu, Abdul Hadi harus mengakui selagi beliau tidak menarik balik amanat itu, maka selagi itulah apa yang beliau katakan dalam amanat berkenaan dianggap masih relevan oleh pengikut Pas dan dilihat menjadi pegangan beliau, biarpun kini beliau memimpin Pas bekerjasama dengan PKR dan DAP.
Tetapi kita tidak harus hairan dengan sikap Abdul Hadi kerana begitulah sikap berpolitik Pas pada masa ini. Pas kini mengamalkan politik yang dilihat matlamat menghalalkan cara dan bersedia melakukan apa sahaja untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) dan UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Sebab itulah, Abdul Hadi keberatan untuk menarik balik amanat itu biarpun ia menimbulkan persoalan apa sebenarnya pendirian Pas mengenai Perlembagaan negara ini yang disifatkan oleh Abdul Hadi sebagai Perlembagaan kafir dan jahiliah.
Abdul Hadi perlu menjelaskan, apakah dengan terus enggan menarik balik amanat itu, ia bermakna beliau hanya bersandiwara apabila menandatangani perjanjian dengan sekutu politiknya, PKR dan DAP dalam melahirkan Buku Jingga. Ia memandangkan dalam buku itu dengan jelas memaparkan komitmen Pas untuk bersama-sama dengan kedua-dua parti itu mengekalkan Perlembagaan negara. Ini terbukti melalui pengisytiharan dalam buku tersebut yang berbunyi:
Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153."
Persetujuan Abdul Hadi mengenai perkara tersebut dalam Buku Jingga bertentangan dengan amanat beliau yang tidak mahu ditarik balik iaitu:
Kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.
Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan politik suku, agama suku.
Tetapi tiada apa yang perlu dihairankan kerana Pas sememangnya dilihat semakin tidak konsisten dalam perjuangan politiknya. Kalau dulu mereka menganggap kerjasama dengan parti bukan Islam adalah haram kini mereka sendiri berpelukan dengan DAP.
Begitulah juga dalam soal amanat ini, biarpun Abdul Hadi mengetahui ia sudah tidak lagi relevan dengan pendirian politik Pas masa kini tetapi beliau tetap berdegil dan tidak mahu menarik balik amanat itu.
Sebaliknya, seperti biasa Abdul Hadi samalah juga dengan pemimpin-pemimpin Pas lain akan mengamalkan politik memperlekehkan mana-mana pihak yang menyatakan kebenaran. Sebab itulah beliau yang berkelulusan dari Universiti Islam Madinah dan Universiti Al-Azhar memperlekeh Zainon Ismail @ C.N Al Afghani pencetus isu Amanat Haji Hadi sebagai guru sekolah rendah.
Keangkuhan
Sikap sedemikian seolah-olah menunjukkan keangkuhan Abdul Hadi untuk tidak bersedia menerima teguran mana-mana pihak biarpun pihak berkenaan bercakap atas dasar kebenaran serta kesejahteraan umat.
Sebagai seorang ulama, Abdul Hadi sudah pasti memahami bahawa orang yang benar-benar beriman kepada Allah SWT tidak akan bermegah-megah dengan hartanya, tidak berbangga dengan keturunan serta warna kulit dan tidak mendabik dada dengan kelebihan yang ada pada dirinya.
Oleh itu, Abdul Hadi tidak berhak untuk memperlekehkan C.N Al-Afghani yang tampil untuk menegakkan kebenaran. Abdul Hadi perlu mengingati semula peristiwa bagaimana Allah SWT pernah menegur Rasulullah SAW kerana tidak mempedulikan sahabat yang buta iaitu Abdullah bin Ummi Maktum r.a yang bertanya soalan kepada baginda.
Teguran Allah SWT itu terkandung melalui firman-Nya dalam surah Abasa ayat 1 hingga 6 yang bermaksud: Dia memasamkan muka dan berpaling, Kerana dia didatangi orang buta. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya, wahai Muhammad)? Barangkali dia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran agama yang didapatinya daripadamu)! Ataupun dia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya. Adapun orang yang merasa keadaannya telah cukup, tidak berhajat lagi (kepada ajaran al-Quran), Maka engkau bersungguh-sungguh melayaninya.
Sebenarnya, ini bukanlah kali pertama, kita mendengar pemimpin Pas memperlekehkan orang. Sebelum ini pun apabila ada kenyataan yang tidak selari dengan sikap politik Pas, pihak berkenaan akan diperlekehkan. Kita tidak harus lupa bagaimana ada mufti dan ulama yang menerima nasib ini apabila mereka menegur Pas. Itu belum dikira bagaimana pemimpin-pemimpin Pas juga pernah memperlekehkan ulama yang berada di dalam UMNO dengan menganggap golongan itu sebagai ulama terompah dan ulama cari makan.
Apa pun Abdul Hadi tidak harus selamanya bermain politik dengan terus dilihat berdegil mempertahankan amanatnya.
Kedegilan Abdul Hadi dan keangkuhan Pas berhadapan dengan isu ini tidak akan mendatangkan apa-apa faedah kepada umat Islam.
Sebaliknya ia akan mengakibatkan Abdul Hadi dan pemimpin-pemimpin yang mendiamkan diri dalam isu ini bertanggungjawab menanggung segala dosa akibat keburukan yang tercetus kerana amanat berhantu berkenaan.
Zulkiflee Bakar Utusan Malaysia Online Rencana 06 Januari 2013