kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Mewujudkan idea falsafah dalam kehidupan seharian

SEBAGAI pensyarah mahasiswa tahun pertama, saya tentu menghadapi pelajar yang sedang berada dalam suasana peralihan. Mereka yang sebelumnya menyelesaikan persekolahan ­menengah menghadapi cara pembelajaran baru dan tidak lagi disogokkan pengetahuan untuk dihafal atau ukuran untuk memastikan berjaya dalam penguasaan subjek tertentu.

Di pengajian tinggi, mereka bukan sekadar menghafal, tapi mewujudkan pengetahuan untuk menjelma tindakan, seperti mana ditegaskan Marietta McCarty dalam How Philosophy Can Save Your Life: 10 Ideas That Matter Most bahawa falsafah itu tak berharga kecuali fikiran seseorang itu diterapkan ke dalam kehidupan seharian. 

Dengan merujuk kepada silibus, subjek di atas bertujuan untuk mengenalkan pelajar pada falsafah dan etika, justeru sudah tentu mereka akan menumpukan perhatian pada sejarah, iaitu nama ahli falsafah dari Yunani sejak dulu hingga kini. 

Sejak mula lagi, dengan merujuk kepada kaedah Sokratik, pengetahuan itu dimulakan dengan pertanyaan, pelajar dituntut untuk aktif bertanya. Sesetengah pelajar enggan mengajukan soalan, namun selepas diberi peluang bertanya secara tulisan, setiap pelajar boleh menghantar soalan. Ini membuktikan setiap individu mempunyai potensi untuk mendapatkan pengetahuan menerusi kaedah Sokratik.


Seperti cikgu falsafah yang lain, saya mendedahkan sejarah Plato, Aristotle dan Socrates, namun tiba-tiba pelajar perempuan menggugat, kenapa tiada ahli falsafah perempuan? Jawapannya, kerana dulu Plato memandang perempuan setengah haiwan, hingga tak boleh mengungkapkan fikiran.


Lebih jauh, persekitaran Yunani pada masa itu dikongkong cara kehidupan ­patriarki, yang mengutamakan peranan lelaki berbanding perempuan dalam semua aspek kehidupan. 

Namun, pada zaman moden dan pasca moden, ramai perempuan yang menekuni bidang ini dan bahkan melahirkan tulisan hebat, seperti Hannah Arendt dengan Totalitarianism dan Simone De Beauvoir dengan The Second Sex. 

Sebagai kursus asas, mungkin falsafah tidak akan dijadikan subjek utama, memandangkan keperluan masyarakat hari ini lebih menumpukan pada pelajaran praktikal. 

Tentu pandangan ini tidak keliru, namun pada masa sama falsafah tidak akan pernah mendapatkan kedudukan baik kerana tidak mendapat perhatian luas. Hakikatnya idea falsafah boleh diselitkan di pelbagai subjek dan media, kerana ia menjadi roh daripada disiplin ilmu pengetahuan dan kehidupan. 

Biasanya, falsafah akan menghuraikan cabang penting seperti ontologi, epistemologi dan aksiologi. Sebagai permulaan, ia seakan-akan pengetahuan yang hanya perlu dihafal dan kemudian ditinggalkan. Padahal, kejayaan memahami hal ehwal asasi ini membantu pelajar pergi lebih jauh memahami kursus diambil. 

Ketika seorang pelajar mengambil subjek utama ekonomi, tentu mereka tidak hanya berhenti pada ontologi dan epistemologi tapi secara aksiologi, ekonomi berkait dengan nilai dan etika. 

Dengan mengetengahkan persoalan etika dalam ekonomi, yang akhirnya diwujudkan dalam etika perniagaan, sesiapa pun akan mempersoalkan semula mengapa antara idea ekonomi, apa pun mazhabnya dan kenyataan kehidupan masyarakat bercanggah? Betapa pakar ilmu ini boleh mendedahkan bagaimana cara mewujudkan kemakmuran, namun pada masa sama orang ramai masih tidak boleh mengecapi kehidupan selesa? 

Oleh itu, idea mengenai tanggungjawab sosial korporat dialu-alukan sebagai keprihatinan terhadap masyarakat sebenarnya wujud dari kegelisahan orang ramai mengenai kebajikan seluruh manusia yang belum diwujudkan. 


Dr Ahmad Sahidah  pensyarah Sains Pemikiran dan Etika Universiti Utara Malaysia. Harian Metro Onlne Bestari 14 Januari 2013

Tags: falsafah, idealisme
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments