kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Perlu sikap terbuka tapi berhemah

KETIKA pendidikan seks kepada pelajar sekolah mahu diperkenalkan, ramai pihak segera memberikan reaksi berbeza. Ada membidas pihak yang mengemukakan cadangan berkenaan kerana menganggap belum tiba waktunya pendidikan itu diperkenalkan kepada pelajar yang masih hijau.

Namun, sesetengah pihak pula bersetuju dan menganggap pendidikan seks kini bukan sesuatu yang taboo bagi golongan terbabit, malah perlu diperkenalkan bagi menggalakkan mereka memperoleh maklumat berguna sebelum jauh tersasar.

Pro dan kontra mengenai pendidikan seks secara tidak langsung meninggalkan polemik tersendiri di kalangan masyarakat. 


Selepas timbal balas dan mengambil kira pandangan semua pihak, akhirnya kata sepakat diambil iaitu pendidikan seks diperkenalkan, tetapi menggunakan modul paling minimum dan hanya menyentuh aspek asas semata-mata.



MESTI ada batas pergaulan antara lelaki dan perempuan bagi memastikan mereka tidak terjebak atau menyalahgunakan ilmu pendidikan seks dipelajari.


Ternyata, pemikiran kurang terbuka masyarakat terhadap pendidikan seks masih tebal biarpun secara dasarnya pendidikan itu bertujuan baik termasuk memberi maklumat sebenar baik buruk seks yang kini begitu dekat dengan kehidupan generasi muda.


Persoalannya, apakah pendidikan seks hanya dianggap penyaluran maklumat mengenai hubungan biologi semata-mata hingga masyarakat seperti jelek padanya atau kerana persepsi sempit masyarakat, akhirnya ilmu lain berkaitan pendidikan seks terus menjadi polemik tidak berkesudahan.

Penolong Profesor Jabatan Psikologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Hariyati Shahrima Abdul Majid berkata, faktor berfikiran kurang terbuka dan menganggap pendidikan seks sebagai subjek kotor menyukarkan usaha mengembangkan pemahaman ilmu berkenaan kepada pelajar.

Menurutnya, biar moden sekalipun pemikiran ibu bapa dan guru, pendidikan seks dianggap satu pelajaran baru yang ‘memalukan’ hingga mereka menolak membicarakannya secara terbuka.

“Dianggap pendidikan bersifat lucah, kotor dan tidak kena dengan budaya kita menyebabkan ramai pihak enggan berbincang secara terbuka hingga menyukarkan penyebaran maklumat sebenar.

“Disebabkan itu juga pelajar kita teraba-raba mencari maklumat dan membuat eksperimen sendiri tanpa panduan. Sedangkan pendidikan seks juga adalah antara cabang ilmu dalam proses meneruskan kelangsungan hidup manusia. Jadi mengapa harus dihindari?,” katanya.


JANGAN biarkan anak yang sedang mencari jawapan memperoleh maklumat sendiri melalui alam maya mahupun rakan sebaya kerana dikhuatiri tidak tepat sekali gus menimbulkan implikasi buruk.


Pendidikan seks yang hari ini dijadikan sebahagian silibus dalam proses pembelajaran pelajar sering dimanipulasi biarpun tujuan pengenalannya bersifat telus.

Sebahagian besar masyarakat berpendapat, belum tiba waktunya memberi pendedahan kepada pelajar mengenai konsep pendidikan berkenaan manakala hanya sebahagian kecil bersetuju sebaliknya. 

Dr Hariyati Shahrima berkata, pemahaman dan pemberian maklumat tidak tepat selain kerap dihindari dalam topik perbincangan boleh membawa pelbagai implikasi.

“Pendidikan seks sering disalah anggap sebagai penerangan berbentuk jalinan biologikal semata-mata sedangkan cabang ilmunya ada kepelbagaian dan hubung kait.

“Saya kurang bersetuju pendidikan ini dilabelkan dengan tanggapan buruk atau dibiarkan tergantung tanpa jawapan. 

“Cubalah (berikan jawapan) biarpun sukar. Terangkan mengikut kadar pengetahuan semasa dan kemampuan diri bagi merungkai kemusykilan pelajar mengenai pertanyaan mereka,” katanya.

Malah interaksi secara terbuka antara pelajar dengan ibu bapa juga guru, katanya boleh membantu mengelakkan diri daripada terjebak kepada gejala sosial berkaitan seks.

“Kita perlu menerima hakikat pelajar hari ini bersifat agresif, ingin tahu, berani dan sebagainya, malah sistem pendidikan turut berubah selari kehendak semasa.

“Tukar persepsi dan terima dengan terbuka pendidikan seks adalah cabang ilmu baru yang perlu disalurkan dari semasa ke semasa.

“Saya percaya, jika kita bersikap terbuka dan mahu menjalin interaksi dua hala, pelajar akan faham dan tidak mungkin tergamak melakukan tindakan luar batasan,” katanya sambil mengakui pada usia menginjak alam dewasa, pelajar akan berdepan pelbagai konflik, persoalan, kekeliruan dan penolakan.

Katanya, ia proses normal, namun jangan lepaskan mereka berdikari mencari jawapan, sebaliknya perlu dipantau supaya mereka tidak tersasar.

“Pemantauan perlu supaya jawapan dicari tepat dan tidak tersasar kerana sentiasa dipandu orang berpengetahuan,” katanya.

Menurutnya, sokongan ibu bapa dan guru juga diperlukan kerana mereka diyakini sebagai pembimbing yang dipercayai. 

“Dalam proses pencarian identiti diri ini, rakan sebaya dan alam maya adalah cabaran utama, justeru jangan biarkan mereka memperoleh jawapan dari kedua-duanya. 

“Ibu bapa dan gurulah yang perlu bertindak serta memikul tanggungjawab (memberi maklumat sebenar). Jika pencarian itu betul, tidak mengapa tapi jika sebaliknya, siapa yang akan bertanggungjawab?,” katanya.

Beliau beranggapan pendidikan seks adalah subjek cukup kompleks dan saling menyokong kepelbagaian cabang ilmu.

Katanya, ia terdiri daripada pelbagai komponen subjek yang sangat bermanfaat dalam membantu kelangsungan dan keseimbangan perhubungan, komunikasi, pergaulan dan kehidupan sejagat.

“Kita sebenarnya sudah didedahkan dengan pendidikan ini sejak kecil seperti penerapan nilai kasih sayang antara keluarga dan perhubungan rakan sebaya.

“Ia bukan sesuatu yang baru cuma dalam konsep pendidikan moden, ada ditambah elemen lebih praktikal sebagai pengetahuan tambahan bersesuaian keadaan semasa.

“Jangan sempitkan fikiran atau menolak sama sekali pendidikan ini, namun gunakan cara berhemah untuk berikan jawapan,” katanya.

Beliau memberikan contoh, jika seorang pelajar memberitahu ibu bapanya mengenai kawan sekolahnya yang sudah mempunyai teman lelaki dan turut mahu mengikuti jejak itu, ibu bapa terbabit sepatutnya bijak mengawal emosi dan sekali-kali melenting.

“Secara rasional tanyakan dulu soalan seperti, pentingkah hubungan itu, bagaimanakah hukumnya jika seseorang tanpa hubungan sah boleh menjalin hubungan intim serta pandangan mereka mengenai arah tuju masa depan hubungan itu.

“Berikan jawapan atau sebab musabab yang boleh diterima. Bagaimana mahu memanipulasi jawapan itu terserah tapi mesti logik, berfakta dan anak berpuas hati, faham serta jelas.

“Secara tidak langsung, ilmu pendidikan seks juga diterangkan dengan cara sebenarnya tanpa perlu disuntik dengan unsur kurang sopan,” katanya.



Ruhaiza Rusmin Harian Metro Online Bestari 14 Januari 2013 

Tags: pendidikan, seks, terbuka
Subscribe

  • Manfaat disediakan sektor kerajaan, swasta makin teruk

    RAMAI bercita-cita hendak bekerja dengan kerajaan dan ada juga yang mahu bekerja dengan syarikat swasta atau bekerja sendiri. Sebenarnya,…

  • Kerajaan Atau Swasta

    Apabila kita berfikir tentang pemerintahan kerajaan , apa yang muncul di kepala kita? Bagi kebanyak orang, gambar Agong, PM, bangunan parlimen ,…

  • Persediaan kerja masa depan

    Pekerjaan untuk masa hadapan dikatakan berkemungkinan akan menimbulkan banyak pekerjaan baru. Bilangan yang tidak dapat dipastikan namun turut…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments