kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

'Wizard' gelaran tetap Dr Mahathir

Awal minggu ini Kunta Kinte hadir taklimat pembangunan Cyberjaya. Tetamu khas majlis itu adalah Tun Dr Mahathir Mohamad dan yang bagi taklimat Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar.

Mustapha Kamal adalah Pengerusi Setia Haruman Sdn Bhd, iaitu ‘master developer’ atau pemaju utama bandar raya multimedia Cyberjaya.

Cyberjaya mula pada 1997 hasil cetusan idea Dr Mahathir yang mahu Malaysia jadi negara baru dunia teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT).

Ada dua, tiga perkara menarik yang Kunta Kinte nak cerita hasil taklimat itu dan masa bergebang dengan Dr Mahathir, Mustapha Kamal dan beberapa orang rakan wartawan yang hadir.

Nombor satu, Kunta Kinte bagi tahu Dr Mahathir, panggilan bekas atau mantan Perdana Menteri tak berapa sedap dan tak ada ‘kick’. Bukan apa, tapi kerana beliau masih cergas dalam hal-ehwal awam dan nasihat beliau masih berguna.


Kenal sejak 1964

Dalam taklimat itu pun, macam-macam nasihat dan bantuan hadirin minta daripada beliau. Ada yang minta pandangan macam mana nak majukan lagi ICT. Ada yang tanya adakah Malaysia terus komited kepada teknologi dan banyak juga yang minta tolong itu dan ini seolah-olah beliau masih berkuasa.

Dr Mahathir kata, beliau tak ada kuasa lagi dan bukan semua orang dengar nasihat beliau atau suka beliau bagi tunjuk ajar. Tapi, kata Dr Mahathir, di mana boleh, beliau sedia bantu.

Kunta Kinte kenal Dr Mahathir sejak 1964. Sama ada masa jadi doktor swasta di Alor Setar, jadi Perdana Menteri atau masa bersara, sikap dan sifat peduli beliau sama saja. Tak ada benda yang tak tarik minat beliau. Kecil atau besar sama saja.

Nombor dua, dalam hal Cyberjaya beliau tentulah emosional dan prihatin sebab bandar pintar itu adalah ciptaan beliau 15 tahun lalu.


Cyberjaya mula rancak kembali

Hari ini kita kurang sikit dengar berkenaan Cyberjaya. Yang kita kerap dengar adalah Wilayah Pembangunan Iskandar, Pusat Kewangan Tun Razak dan koridor ekonomi.

Tapi, dalam diam-diam pembangunan Cyberjaya mula rancak balik. Selepas Dr Mahathir bersara pada penghujung 2003, memang Cyberjaya dan apa saja projek besar peninggalan beliau diturunkan taraf atau dibatalkan langsung.

Alhamdulillah, selepas Datuk Seri Najib Razak ambil alih teraju pemerintahan pada 2009, banyak projek besar era Dr Mahathir dipesatkan balik.

Selain itu, pembangunan Cyberjaya terbantut akibat krisis kewangan Asia 1997/98 dan tidak kurang juga oleh birokrasi serta persaingan yang merugikan.

Pada awalnya, pembangunan bandar pintar itu dikongsi oleh empat pemaju, tapi sekarang syarikat-syarikat milik Mustapha Kamal kuasai 75 peratus Setia Haruman. Apabila kurang birokrasi dan kurang percakaran, mudahlah buat kerja.


Bekalan tenaga kerja mahir ICT

Tak hairanlah kalau Mustapha Kamal yakin Cyberjaya akan capai matlamat pembangunan penuh menjelang 2020. Cuma yang Kunta Kinte rasa kita kena khuatir sikit ialah soal bekalan tenaga kerja mahir dan profesional dalam bidang ICT.

Daripada taklimat itu, Kunta Kinte bimbang mengenai bilangan dan mutu pekerja ICT yang dilatih oleh institusi pengajian tinggi (IPT) dan institusi latihan teknikal tempatan.

Kata majikan yang hadir taklimat itu, yang umumnya adalah syarikat multinasional, mereka masih hadapi masalah kekurangan pekerja ICT dan halangan birokrasi oleh beberapa jabatan kerajaan.

Selain itu, sebahagian pekerja ICT tempatan kurang penguasaan bahasa Inggeris. Kita semua tahu yang bahasa Inggeris adalah bahasa global ICT. Jadi, Kunta Kinte harap semua pihak, khasnya kerajaan, janganlah abai hal ini semata-mata kerana sibuk dengan pilihan raya.


Orang bestari zaman siber

Dr Mahathir kata, lebih baiklah kita bagi kebenaran dan kemudahan ambil pakar asing sebagai langkah sementara daripada syarikat multinasional di Cyberjaya angkat kaki dan pergi ke negara lain. Sekarang banyak negara jiran dah tiru atau sedang tiru Cyberjaya. Kalau kita lembap atau susahkan mereka, mungkin mereka akan lari ke tempat baru itu.

Akhir kalam, berbalik kepada Dr Mahathir, Kunta Kinte kata Kunta Kinte akan panggil beliau ‘wizard’ atau dalam bahasa Melayu orang bestari. Sekali sekala, Kunta Kinte nak juga gelar beliau Merlin, iaitu seorang bestari dalam legenda King Arthur.

Kalau zaman dulu kita ada pendeta yang dalam ilmu pengetahuan dan munsyi pandai bahasa, jadi apalah salahnya kita ada orang bestari pada zaman siber ini? Wallahualam.


Kunta Kinte Berita Harian Online Rencana 19 Januari 2013
Tags: bestari, ict
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments