kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Objektif, strategi berpolitik berteraskan keredaan Ilahi

POLITIK merupakan salah satu aspek yang penting dalam Islam kerana ia berkaitan dengan peranan dan matlamat manusia diutuskan di muka bumi ini. Sebagai umat Islam setiap individu sepatutnya memahami bahawa dua peranan penting yang perlu dipenuhi oleh umat Islam. Pertama, menjadi hamba Allah yang taat dan patuh kepada perintah-Nya. Kedua, menunaikan tugas sebagai khalifah Allah di dunia ini.

Perkara berkaitan dengan urusan khalifah mempunyai hubungan dengan aktiviti politik. Memikul tanggungjawab sebagai khalifah bukan merupakan satu perkara yang mudah seperti mana difikirkan oleh sebahagian masyarakat Islam.

Banyak umat Islam masa kini terlalu berminat menceburkan diri dalam arena politik sehingga membelakangi prinsip dan objektif berpolitik mengikut ajaran Islam. Konsep dan prinsip berpolitik sepatutnya dijadikan asas kepada strategi dan aktiviti berpolitik dalam apa jua keadaan dan masa.

Realiti yang wujud dalam politik umat Islam masa kini jelas menunjukkan ahli-ahli politik tidak mempunyai prinsip dan matlamat perjuangan yang mantap malah terdapat dalam kalangan mereka tersasar begitu juah dengan prinsip dan objektif berpolitik dalam Islam. Sedangkan permulaan pertubuhan parti politik tersebut adalah untuk mempertahankan hak umat Islam dan melaksanakan perundangan Islam.

Persoalannya kenapa prinsip dan objektif perjuangan politik yang digariskan oleh pengasas parti politik tersebut diubah suai mengikut perubahan masa dan suasana sehingga menjadi terlalu liberal dan memberi peluang kepada musuh Islam memperkotak-katikkan kesucian akidah Islam?

Perjuangan liberalisme dan pluralisme merupakan agenda musuh Islam untuk menghakis akidah dan syariah umat Islam dalam era globalisasi. Sejauh manakah kefahaman Islam yang dimiliki oleh para ahli politik yang memperjuangkan negara Islam? Ilmu pengetahuan Islam yang mendalam amat diperlukan jika perkara berkaitan dengan akidah dan syariah Islam ingin dibicarakan.

Proses penurunan wahyu kepada Nabi Muhammad SAW selama 23 tahun sepatutnya dijadikan panduan kepada umat Islam bahawa perkara berkaitan dengan wahyu memerlukan kepada pembelajaran yang lama dan perlu berdasarkan kepada disiplin untuk memahaminya.

Menjadi pemimpin atau ahli politik berslogankan Islam bukan bererti setiap pemimpin dan ahli parti politik tersebut memiliki ilmu Islam yang mendalam. Masyarakat sepatutnya memahami dan mengkaji latar belakang pendidikan mereka terlebih dahulu sebelum menerima fatwa atau pandangan mereka. Orang yang kurang mendalami dan memahami ilmu Islam sering mengeluarkan fatwa yang boleh merosakkan Islam.

Konsep berpolitik dalam kalangan umat Islam sepatutnya berbeza dengan parti politik yang diperjuangkan oleh golongan yang memperjuangkan ideologi sekular. Jika Islam menjadi objektif perjuangan masyarakat Islam maka strategi dan tindak-tanduk berpolitik mesti didasarkan kepada prinsip dan konsep berpolitik di dalam Islam. Perselisihan politik sesama umat Islam tidak sepatutnya sampai ke tahap mengorbankan akidah dan kekuatan Islam.

Setiap umat Islam perlu memahami konsep berpolitik dalam Islam supaya setiap individu yang melibatkan diri dalam arena politik tidak tergelincir dari asas dan konsep khalifah yang digariskan oleh Allah dan Rasul.

Tanggungjawab pemimpin dan kerajaan dalam sistem politik Islam ialah pertamanya kepada Allah dan kemudian kepada rakyat atau masyarakat. Pemimpin dan kerajaan adalah dipilih oleh rakyat untuk melaksanakan tugas khalifah dan amanah Allah di muka bumi. Pemimpin dan rakyat merupakan khalifah Allah yang mana mereka perlu memainkan peranan masing-masing dalam melaksanakan amanah-Nya dan berkhidmat untuk masyarakat bagi membentuk sebuah negara aman dan makmur.

Rakyat merupakan pemantau dan penilai kepada para pemimpin yang dipilih oleh mereka. Mereka mempunyai hak untuk bersuara jika terdapat kepincangan dalam hal kepimpinan dan pentadbiran.

Parti politik yang mempunyai prinsip perjuangan yang kukuh dan mantap mampu bertahan dalam jangka masa yang lama. Parti politik yang tidak mempunyai prinsip dan objektif yang mantap tidak mampu meyakinkan rakyat mengenai kewibawaan dan ketelusan dalam kepimpinan walaupun pelbagai strategi dan muslihat digunakan untuk menawan hati rakyat.

Pelbagai strategi dan muslihat boleh diamalkan dalam politik selama mana aktiviti tersebut tidak bercanggah dengan nilai agama dan hukum hakam Allah. Parti politik yang mempunyai prinsip dan objektif yang mantap sentiasa mengkaji dan mengamati strategi dan muslihat politik mereka supaya kejayaan dan kegagalan mereka tidak memberi kesan yang buruk kepada agama Islam dan juga kekuatan ummah.

Hakikat yang wujud dalam kalangan parti politik umat Islam masa kini adalah terlalu juah tersasar dari arus sistem politik di dalam Islam. Strategi dan muslihat aktiviti politik lebih menjurus kepada penghakisan akidah Islam sehingga sampai ke tahap berkompromi dengan golongan yang boleh menghancurkan akidah Islam.

Perjuangan utama politik Islam ialah memperkukuhkan konsep tauhid yang merupakan perjuangan para Rasul sejak Nabi Adam sehingga Nabi Muhammad SAW. Ia merupakan ajaran pertama wahyu diturunkan kepada para Rasul sebelum Allah mewahyukan perkara-perkara berkaitan dengan syariah dan perundangan yang lain.

Perkara berkaitan dengan ilmu teologi merupakan perbahasan dalam kalangan ahli teologi bukan perbahasan oleh golongan ahli politik yang tidak memahami kontek pengajaran agama Islam dengan agama lain. Perkara berkaitan dengan ilmu teologi jika dijadikan perbahasan politik boleh menyebablan pelbagai spekulasi wujud yang mana akhirnya hubungan umat Islam dengan penganut agama tertentu menjadi kemelut.

Islam menggalakkan umatnya berdialog secara jujur dan berhemah dengan penganut agama lain supaya mereka memahami ajaran Islam, bukan bertujuan untuk menarik perhatian mereka menyokong parti politik berslogankan Islam. Dalam arena politik, berkompromi dalam hal ehwal agama bukan boleh menentukan kejayaan dalam pilihan raya. Perbuatan demikian bukan sahaja dimurkai oleh Allah malah ia juga boleh menjatuhkan reputasi parti politik tersebut.

Kejayaan parti politik adalah bergantung kepada kegigihan para pemimpinnya melaksanakan tugas kepada rakyat, adil dalam pemerintahan dan pentadbiran, jujur dan ikhlas terhadap rakyat, bijak mengatasi permaslahan negara terutama ketika berada dalam saat yang genting dan boleh memusnahkan negara.

Oleh itu para pemimpin yang patut dipilih oleh rakyat mestilah orang yang bijak dan memiliki ketajaman akal yang mampu memahami sesuatu dalam masa yang singkat terutama berkaitan dengan muslihat dan strategi musuh, berpengalaman, berminat terhadap urusan keagamaan, berfikiran terbuka, sanggup berkorban tenaga dan harta benda.

Berdasarkan kepada penjelasan tersebut rakyat terutamanya masyarakat Islam sepatutnya meneliti aktiviti-aktiviti parti politik dalam negara ini supaya mereka tidak tersilap dalam memilih pemimpin untuk menerajui negara pada masa akan datang. Kesilapan memilih pemimpin akan mengundang kepada kemusnahan agama dan negara. Perkara ini akan dipersoalkan oleh Allah di hari akhirat kelak.


Prof. Madya Dr. Saodah Abd Rahman, Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Utusan Malaysia Online Rencana 06/02/2013
Tags: agama, politik
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments