kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Sejarah baharu di selatan Thailand

MEMASUKI tahun kesembilan pergolakan berdarah dengan lebih 5,500 nyawa melayang, rakyat selatan Thailand kini mempunyai harapan baharu menamatkan konflik dengan bermulanya proses perbincangan kerajaan negara itu dengan kumpulan-kumpulan pejuang Islam.

Kerajaan Thailand sebelum ini telah menyatakan kesediaan mengadakan rundingan damai dengan kumpulan pemisah berikutan keganasan yang semakin meningkat di wilayah Yala, Patani dan Narathiwat.

Menjelang pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan rakan sejawatnya dari Thailand, Yingluck Shinawatra, satu perjanjian konsensus telah ditandatangani lebih awal antara kerajaan Thailand dan kumpulan pejuang Islam, Barisan Revolusi Nasional (BRN) pagi semalam.

Perjanjian bertujuan membuka proses dialog rundingan damai itu ditandatangani Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Kebangsaan Thailand (NSC), Lt Jen Pharadorn Phatthanatabutr dan Ketua Pejabat Perhubungan BRN di Malaysia, Hassan Taib di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Majlis perjanjian tersebut turut disaksikan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab bersama kepimpinan tertinggi kerajaan Thailand dan BRN serta ketua-ketua pasukan keselamatan Malaysia.

Langkah ini merupakan usaha kedua Malaysia selaku orang tengah dan pemudah cara dalam membantu mewujudkan rantau Asia Tenggara lebih stabil selepas kejayaan perjanjian damai bersejarah di selatan Filipina.

Namun, melihatkan perkembangan situasi di selatan Thailand sejak sembilan tahun lalu, masih banyak pihak yang bimbang sejarah pergolakan akan berulang.


Tentera Thai berbual dengan penduduk tempatan di pos kawalan dekat wilayah Yala, ketika kerajaan Thailand setuju berunding dengan kumpulan pejuang Islam
bagi menamatkan konflik selatan Thailand di Putrajaya semalam. - REUTERS

Di samping perlunya mencari punca sebenar pergolakan, kegagalan beberapa perjanjian damai dan gencatan senjata sebelum ini perlu menjadi iktibar agar kesilapan sama tidak diulangi tanpa mengabaikan beberapa perkembangan positif yang berjaya dicapai.

Menurut Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Azmi Hassan, situasi di selatan Thailand sebenarnya berbeza dengan selatan Filipina dan lebih sukar untuk ditangani.

“Di Filipina lebih mudah kerana mereka mempunyai kumpulan besar dan ketua yang nyata. Selatan Thailand pula banyak kumpulan kecil yang tidak bersatu dan berpecah serta tiada ketua yang mewakili majoriti kumpulan tersebut.

“Kerana itu sukar untuk berbincang dengan pejuang kumpulan-kumpulan di selatan Thailand berbanding di Filipina," katanya.

Tambahnya, peranan Malaysia selaku orang tengah kini adalah untuk memujuk semua kumpulan pejuang itu duduk berbincang dengan kerajaan Thailand.

Beliau yakin Malaysia mampu memainkan peranan itu memandangkan kerajaan Thailand sendiri bersetuju menerima bantuan Kuala Lumpur selaku pihak berkecuali yang tiada kepentingan peribadi.

“Ini satu perkembangan yang baik. Sebelum ini mereka tidak mahu libatkan kita mungkin kerana sangsi kemampuan kita untuk menjadi neutral atau fikir kita akan lebih membantu pejuang-pejuang Islam.

“Hari ini, nampaknya sudah ada perubahan sikit ke arah yang lebih baik. Pihak Thailand sudah tiada masalah mempercayai kita dan begitu juga pejuang-pejuang di selatan Thailand," ujar Azmi.

Menurut beliau, Malaysia juga sudah mempunyai pengaruh tersendiri dalam kalangan kumpulan pejuang itu memandangkan ahli mereka di Malaysia tidak diberi tekanan besar.

Dengan kepercayaan kedua-dua belah pihak, beliau berpendapat cabaran utama bagi Malaysia adalah untuk menarik semua atau sekurang-kurangnya majoriti kumpulan pejuang di selatan Thailand di bawah satu payung.

“Kejayaan perbincangan kali ini bergantung kepada kumpulan-kumpulan kecil ini bersatu, tetapi jika hanya satu atau dua kumpulan sahaja turut serta, ia tidak akan merangkumi semua pihak berkepentingan dan situasi akan kembali seperti sebelumnya.

“Masalahnya kini tiada seorang ketua atau juara yang boleh satukan mereka mahupun kumpulan besar yang dominan dan berpengaruh. Kumpulan-kumpulan di Yala, Patani dan Narathiwat hanya berjuang secara berasingan," jelasnya.

Katanya lagi, Malaysia perlu mengumpulkan kumpulan-kumpulan terbabit dan membentuk satu jawatankuasa yang mewakili kepentingan semua pejuang untuk berbincang dengan kerajaan Thailand.

“Seperti juga di Filipina, kita tidak boleh memuaskan hati semua pihak yang terlibat. Namun, dengan mengumpulkan majoriti daripada mereka, itu sudah cukup untuk memberi impak positif yang diharap akan berkekalan," tegasnya.

Presiden Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa), Datuk Mohd. Jamil Mohd. Hassan turut yakin dengan kemampuan kerajaan Malaysia membantu mencari penyelesaian kekal untuk situasi di selatan Thailand.

“Malaysia mempunyai rekod yang amat baik dalam membuat kebaikan di dalam dan luar negara, termasuk sebagai orang tengah di antara rakyat-rakyat yang terlibat dengan pertelingkahan sedemikian.

“Kini kerajaan Thailand dan rakyat di wilayah selatan negara itu yang rata-ratanya beragama Islam juga telah menaruh harapan tinggi kepada kita kerana tidak mahu semakin banyak nyawa tidak berdosa terkorban," katanya.

Beliau berharap Malaysia dapat membantu menemui kejayaan besar secepat mungkin untuk situasi yang telah lama berpanjangan itu seperti diharapkan semua pihak yang terlibat.

Menceritakan situasi ketika bertugas, bekas Ketua Polis Daerah Kangar sehingga sekitar tahun 1970-an merasakan situasinya berbeza kerana tiada pergolakan di selatan Thailand.

“Ketika itu tiada masalah, kerjasama antara pihak berkuasa Malaysia dan Thailand juga baik termasuk dalam kalangan pegawai awam negara itu yang memberi sokongan dan kerjasama mereka.

“Jika dikaji dengan mendalam, mungkin isunya lebih melibatkan perselisihan faham pihak berkuasa dengan penduduk wilayah terbabit yang majoritinya umat Islam," jelas Mohd. Jamil.

Beliau bagaimanapun merasakan faktor politik negara itu yang kurang stabil tidak boleh dijadikan alasan lagi memandangkan kerajaan baharu Thailand sudah cukup kukuh untuk menguruskan masalah yang dihadapi rakyatnya.

“Dulu mungkin tidak stabil tetapi kerajaan Thailand kini sudah ‘kemas’. Satu langkah besar bagi mereka mengajak Malaysia sebagai orang tengah untuk selesaikan pergolakan di wilayah selatan negara itu.

“Rakyat Malaysia juga berbangga dengan keputusan mereka itu sedangkan negara lain tidak dipanggil. Pergolakan itu perlu diselesaikan segera demi kebaikan semua pihak dan kita yakin kerajaan Malaysia dapat melakukannya," tegas Mohd. Jamil.



Nurul Anuar Kari Utusan Malaysia Online Rencana 01/03/2013
Tags: antarabangsa, keamanan, politik, sejarah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments