kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

  • Mood:

Komitmen di selatan Thai

KEBANGKITAN gerakan pejuang pemisah di selatan Thailand sejak Peristiwa Tak Bai dan Masjid Krisek sembilan tahun lalu sentiasa mengundang kebimbangan terhadap tahap keselamatan di wilayah bergolak itu.

Sejak 2004, usaha beberapa Perdana Menteri Thai membawa kedamaian di selatan negara itu menemui kegagalan. Kini tercetus persoalan tentang sejauh mana komitmen yang dijanjikan oleh kerajaan Thailand di bawah pimpinan Yingluck Shinawatra pula untuk memulihkan keamanan di wilayah tersebut.

Sebelum termeterai perjanjian persetujuan bersama rundingan damai Kerajaan Thailand dengan Barisan Revolusi Nasional (BRN) iaitu kumpulan pemisah Islam di Putrajaya, Khamis lalu, berlaku beberapa serangan. Faktor itulah yang mendorong kerajaan Bangkok menyegerakan satu penyelesaian politik secara berkekalan dilakukan dengan bantuan Malaysia.

Kerajaan Thailand mungkin telah melihat bagaimana tindakan kerajaan Filipina yang berjaya memuktamadkan perdamaian dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) sehingga terbentuknya wilayah Bangsamoro yang sebelum ini memperjuangkan hak dan kedaulatan ke atas wilayah Mindanao. Proses perdamaian itu Malaysia turut memainkan peranan utama.

Dengan termeterainya perjanjian damai itu menunjukkan konflik pemerintah dengan kumpulan pemisah boleh diselesaikan.

Kerajaan Thai perlu juga mengkaji bagaimana beberapa tahun lalu akhirnya Gerakan Aceh Merdeka (GAM) bersetuju menggugurkan tuntutan kemerdekaan dan kekal bersama Republik Indonesia.

Kerajaan Thailand telah mengambil langkah yang betul dengan membawa kumpulan pemisah di selatan negara itu ke meja rundingan. Malah lebih bermakna lagi apabila memilih Malaysia menjadi pengantara proses damai itu.


BERSEJARAH... Setiausaha Majlis Keselamatan Negara, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Ketua Perhubungan Barisan Revolusi Nasional (BRN) di Malaysia, Hassan Taib (duduk, dua, kanan) dan Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Thailand Lt. Jen. Pharadorn Phatthanatabutr (duduk, dua, kiri) pada majlis menandatangani dokumen persetujuan umum bagi melancarkan proses dialog keamanan di wilayah sempadan selatan Thailand di Pusat Latihan Polis, Kuala Lumpur, Khamis lalu. - BERNAMA

Bangkok kini sedar bahawa pendekatan dan polisi yang diambilnya dalam menangani konflik di selatan negara itu sejak sekian lama ternyata gagal. Kegagalan mencari penyelesaian itu kerana Bangkok kurang menunjukkan minat untuk mengadakan dialog sebaliknya lebih kerap mengambil pendekatan kekerasan untuk mengekang kebangkitan masyarakat Islam di selatan negara itu.

Melihat kepada pendekatan yang diambil oleh pemimpin-pemimpin Thailand sebelum ini, mungkin tidak banyak yang boleh diharapkan oleh masyarakat Islam selatan Thailand kepada Yingluck Shinawatra.

Beliau perlu berusaha keras memandangkan masyarakat Islam masih tidak dapat melupakan kekejaman yang dilakukan oleh abang beliau, Thaksin Shinawatra ke atas penunjuk perasaan di Tak Bai. Untuk kembali memenangi hati penduduk, beliau bukan sahaja perlu menegakkan keadilan kepada keluarga mangsa rusuhan yang terbunuh tetapi juga perlu merangka satu strategi baru untuk memulihkan keamanan di wilayah itu.

Paling penting adalah untuk memenuhi komitmennya memberikan kuasa autonomi ke atas wilayah selatan negara itu seperti mana yang beliau janjikan ketika berkempen dalam pilihan raya tahun lalu.

Dengan adanya usaha membawa kedua-dua belah pihak ke meja rundingan sepertimana yang diusahakan oleh kerajaan Filipina dengan Bangsamoro, kita percaya masalah penduduk Islam selatan Thai akan selesai.

Berdasarkan pengalaman lalu apabila proses damai sering menemui kegagalan maka kedua-dua pihak perlu elak menggunakan kekerasan dan senjata, sebaliknya mereka perlu menggunakan perantara seperti Malaysia untuk memuaskan hati kedua-dua pihak.

Sesungguhnya banyak yang perlu kerajaan Thai fahami kenapa berlaku konflik di wilayah negara itu.

Kalau diimbau permulaan siri konflik yang berlaku di selatan Thai, banyak yang melontarkan pendapat bahawa ia disebabkan rasa tidak puas hati masyarakat Melayu di wilayah tersebut.

Kerajaan Thai dilihat gagal memahami keperluan dan kehendak masyarakat Melayu Islam yang mendominasi wilayah itu.

Masalah itu ditokok tambah apabila kurangnya pemahaman kerajaan di Bangkok kepada keperluan asas penduduk, identiti masyarakat Melayu, tidak mengiktiraf agama Islam dan bahasa Melayu, keselamatan dan pembangunan.

Bayangkan sejak Peristiwa Tak Bai dan Masjid Krisek tterjadi, tiada pelaburan di wilayah selatan dan kedatangan pelancong asing juga merosot dengan ketara sekali.

Sejak peritiwa itu juga, wilayah selatan Thai sering mengalami serangan bom dan kejadian tembakan curi oleh kumpulan pejuang yang ingin membalas dendam.

Kerajaan Thailand dan Barisan Revolusi Nasional (BRN), kumpulan pejuang pembebasan Islam di selatan Thailand yang menandatangani persetujuan rundingan damai kelmarin perlu belajar daripada pengalaman rundingan damai yang terbengkalai. Tujuannya mencari kaedah terbaik untuk mendamaikan kawasan majoriti Islam di Yala, Narathiwat dan Pattani.

Antara draf pelan damai yang lalu ialah kumpulan pemisah diminta menggugurkan tuntutan kemerdekaan, dengan balasannya mereka diberikan pengampunan, pembangunan ekonomi yang lebih baik, lebih banyak dana dan penggunaan bahasa Melayu di sekolah-sekolah.

Kerajaan Thailand pula mahukan gencatan senjata dan meminta kumpulan pemisah di wilayah terbabit menyerahkan senjata mereka bagi menamatkan kejadian tembak dan pengeboman yang sering berlaku di Yala, Narathiwat dan Pattani.

Sejak Yingluck menjadi Perdana Menteri Thailand, kerajaannya ada mengambil langkah untuk menstabilkan wilayah selatan, dengan tumpuan kepada pendidikan, latihan dan peruntukan bantuan kepada peniaga kecil.

Yingluck mungkin sedar menggunakan elemen tentera dan kekerasan untuk mengekang kebangkitan penduduk Islam tidak akan memberi apa-apa kebaikan kepada kedua-dua pihak sebaliknya berlaku pertumpahan darah yang lebih banyak.

Nampaknya kecenderungan kerajaan Thailand mengambil pendekatan mengurus etnik mengikut model Malaysia amat membanggakan kerana negara kita mempunyai pengalaman luas menguruskan tiga etnik besar di samping kumpulan etnik lain di Sabah dan Sarawak.

Sebab itu, pendekatan pendidikan untuk pembangunan harus dijadikan sebagai satu pilihan jika kerajaan Thailand ingin melihat keamanan berkekalan di negara itu. Soal agama dan bahasa mesti diberikan kepada setiap etnik malah diperkuatkan di sekolah.

Tidak ada faedah memaksa penduduk Melayu/Islam selatan Thai supaya melupakan terus agama dan bahasa mereka kerana usaha ini hanya akan menemui kegagalan.

Malaysia sebenarnya tidak ingin campur tangan dalam soal politik Thailand namun kini mereka sudah mempelawa dan kita sedia membantu.

Kerajaan Malaysia amat prihatin dengan apa yang berlaku di selatan Thai kerana kemakmuran negara jiran mahu tidak mahu menjadi salah satu daripada tanggungjawab kita.

Justeru, pendekatan ‘memakmurkan jiran’ adalah satu strategi yang sesuai dalam konteks wilayah sempadan Malaysia-Thailand itu di mana Malaysia memakmurkan jirannya di selatan Thai dan kemakmuran itu dikongsi bersama oleh kedua-dua negara.

Malaysia telah menyatakan kesanggupan untuk membantu menamatkan pemberontakan yang telah lama berlarutan di wilayah selatan Thai.

Datuk Seri Najib Razak pun yakin rundingan damai pihak bertelagah di selatan Thai dapat mewujudkan keamanan berkekalan di wilayah itu.

Kepada tiga pihak- Kerajaan Thai, BRN dan wakil Malaysia harus mula memikirkan penyelesaian jangka panjang yang natijahnya akan menguntungkan semua pihak. Satu formula bersama boleh dirangka yang bakal meletakkan situasi menang-menang.

Islam di Malaysia tidak mengajar soal ekstremisme tetapi mengajar kesederhanaan, yang mahu dikongsi oleh Malaysia dengan pemimpin agama di selatan Thai.



Azman Anuar Utusan Malaysia Online Rencana 02/03/2013
Tags: antarabangsa, keamanan, politik, sejarah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments