kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Isi negara Islam sebenar

Mukadimah

Dilahirkan pada 18 April 1942 di Kampung Permatang Tinggi Bakar Bata, Kepala Batas, Pulau Pinang, beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Sungai Keladi dan pendidikan menengah di St. Xavier‘s Institution, sebelum menggenggam ijazah perundangan dari Universiti Singapura pada 1969 dan menyertai perkhidmatan kehakiman dan perundangan tanah air.

Berusia 65 tahun waktu pelantikan, Abdul Hamid mempunyai masa yang singkat untuk berkhidmat sebagai Ketua Hakim Negara kerana mengikut perlembagaan, umur persaraan hakim ialah 66 tahun.

Namun dalam tempoh singkat itu, beliau mengendalikan banyak kes yang mencabar kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan.

Ketika diwawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID, beliau menaruh harapan agar orang Melayu dan Islam di negara ini sedar bahayanya mereka terus berpecah-belah.

“Mereka mestilah mempunyai pendirian sama dalam hal yang mencabar kedudukan bangsa Melayu dan agama Islam. Janganlah hanya menghabiskan masa dan tenaga mencari salah sama sendiri sehingga tidak peka akan agenda musuh untuk melemahkan bangsa Melayu dan agama Islam di negara kita," katanya.


TUN ABDUL HAMID MOHAMAD ialah Ketua Hakim Negara yang ke-12.

MINGGUAN: Baru-baru ini Tun meminta masyarakat di negara ini berhenti berbahas soal sama ada negara ini adalah negara Islam atau tidak, berlandaskan peruntukan jelas Perkara 3(1) Perlembagaan yang memperuntukkan Islam adalah agama Persekutuan. Boleh Tun jelaskan dengan lebih lanjut?

ABDUL HAMID: Kerap-kali orang yang berbahas sama ada Malaysia sebuah negara Islam atau negara sekular itu sendiri tidak jelas di fikiran mereka apakah yang dimaksudkan dengan negara Islam atau negara sekular. Cuba tanya mereka apakah ukuran sama ada sesebuah negara itu negara Islam atau negara sekular?

Adakah sebuah negara yang mengisytiharkan dalam Perlembagaannya bahawa ia adalah sebuah Negara Islam semestinya sudah menjadi sebuah negara Islam? Nama rasmi Korea Utara ialah Republik Demokratik Rakyat Korea. Adakah ia lebih demokratik daripada Korea Selatan yang namanya hanya Republik Korea?

Kelantan telah diperintah bersilih-ganti oleh Perikatan/Barisan Nasional (BN)dan Pas. Apakah perbezaan dari segi Islamnya yang ketara di bawah kedua-dua pemerintahan itu? Adakah Kelantan di bawah pemerintahan Pas (dahulu, jika tidak sekarang) sebuah Negara Islam dan semasa ia diperintah oleh Perikatan/BN sebuah negara sekular? Maka perkataan negara Islam dan negara sekular itu boleh diberi mengikut persepsi seseorang.

Saya tidak nampak apa faedahnya menghabiskan masa berbahas soal ini. Lebih baik jika kita melihat isinya. Ambil Malaysia sebagai contoh. Oleh sebab Malaysia mempunyai Perlembagaan, kita patut lihat apakah peruntukannya. Perkara 3(1) menyatakan bahawa “Islam adalah agama bagi Persekutuan.....". Terdapat peruntukan mengenai Ketua Agama Islam. Ada pembahagian kuasa untuk membuat undang-undang Islam, pentadbiran institusi-institusi seperti masjid, baitulmal, wakaf, penubuhan Mahkamah Syariah, undang-undang menghalang pengembangan agama-agama lain kepada orang Islam dan lain-lain.

Peruntukan-peruntukan seperti itu tidak ada bagi agama-agama lain. Adakah semua peruntukan itu sekular?

Apakah yang dilakukan oleh kerajaan selama ini tidak cukup untuk menunjukkan kita sebuah negara Islam?

ABDUL HAMID: Lihat apa yang dilakukan oleh kerajaan. Kerajaan membina beribu-ribu masjid dan surau, universiti, kolej, jabatan dan majlis-majlis agama Islam dan sekolah agama, menubuh Tabung Haji, baitulmal, membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk mengembangkan perbankan Islam, kewangan Islam dan takaful sehingga Malaysia berada di tempat pertama di dunia dalam hal itu. Imam, bilal dan pegawai masjid, guru-guru agama Islam malah guru al-Quran pun dibayar gaji atau diberi elaun oleh kerajaan.

Kerajaan mengeluarkan perbelanjaan untuk mengadakan tilawah al-Quran, majlis-majlis agama termasuk Maulidur Rasul, muzakarah, ceramah, tahlil dan berbagai-bagai lagi. Adakah semua ini juga sekular? Kerajaan berjaya membangunkan negara dari segi ekonomi, pelajaran, sains dan teknologi, perindustrian dan perdagangan, menjaga maslahah rakyat seperti memberi perkhidmatan perubatan, biasiswa malah bantuan baja dan buku dan pelbagai lagi. Adakah semua ini bercanggah dengan ajaran Islam?

Jika kita benar-benar hendak melihat Malaysia menjadi sebuah negara yang bersifat Islam, kita kenalah sama-sama berusaha mengisinya dengan sifat-sifat Islam. Semenjak merdeka orang bercakap mengenai “menggantikan undang-udang ciptaan manusia" dengan “undang-undang ciptaan Allah", “menegakkan hukum Allah" dan sebagainya. Tolong tunjuk kepada saya draf undang-undang mana untuk menggantikan undang-undang mana? Mahkamah Syariah wujud lebih kurang dua dekad tanpa acara jenayah dan mal yang lengkap. Tiada siapa boleh mengemukakan draf undang-undang acara jenayah dan mal mengikut Syariah. Akhirnya, acara yang dipakai di mahkamah sivil diubah suai, diberi nama “Syariah" dan dipakai di Mahkamah Syariah. Adakah peruntukan yang sama apabila dipakai di mahkamah sivil menjadi sekular dan apabila dipakai di Mahkamah Syariah menjadi Syariah. Ini menunjukkan bahawa apa yang kerap kali dicap sebagai sekular itu tidak bercanggah dengan Syariah. Saya banyak menulis mengenai perkara ini. Sila layari laman web saya: www.tunabdulhamid.my

Sebagai bekas Ketua Hakim Negara, boleh Tun jelaskan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan serta hak bukan Islam dalam soal beragama?

ABDUL HAMID: Perlembagaan tidak menggunakan perkataan “rasmi" tetapi mengatakan bahawa “Islam adalah agama bagi Persekutuan..." Bagi saya perbezaan itu tidak memberi apa-apa kesan. Yang jelas Malaysia ada agama, iaitu Islam. Mengenai kedudukan Islam saya telah sebut dalam soalan pertama. Perkara 3(1) bukan sahaja mengatakan “Islam ialah agama bagi Persekutuan", tetapi ia juga mengatakan, “tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan."

Ini bukan peruntukan kosong. Lihatlah di sekeliling kita berapa banyak kuil, tokong, gereja, gurdwara, wat dan sebagainya. Mungkin jumlahnya lebih banyak daripada masjid dan surau. Adakah penganut agama lain dihalang daripada mengamalkan agama mereka atau membina rumah ibadat mereka? Sebaliknya, lihatlah pelbagai halangan terhadap orang Islam yang hendak membina masjid di Barat yang kononnya menggalakkan kebebasan beragama dan sama rata (equality).

Perkara 11 menekankan lagi: 11. (1) Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.

(4) Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam. Perlembagaan melarang orang bukan Islam mengembangkan agama mereka kepada orang Islam. Mereka hendaklah mematuhi. Apa sebab mereka hendak menentang sedangkan apa yang memihak kepada mereka, mereka mempertahankannya bermati-matian?

Sekarang ini ada pihak menuntut penggunaan kalimah Allah di dalam bible bahasa Melayu. Tidakkah ini boleh menjadi ancaman kepada Perkara 3(1) Perlembagaan tentang kedudukan Islam di negara ini?

ABDUL HAMID: Saya menentang tindakan Gereja Roman Katolik di Malaysia hendak menggunakan perkataan Allah dalam terjemahan bible bahasa Melayu kerana saya mempersoalkan tujuan dan keikhlasan mereka. Agama Kristian telah datang di Malaysia sejak 500 tahun dulu. Tidak pernah mereka menyebut bahawa Tuhan mereka adalah Allah. Selama itu mereka menganggap Allah sebagai Tuhan orang Islam. Sekarang mereka hendak menggunakan perkataan Allah hanya apabila mereka menggunakan bahasa Melayu? Adakah Tuhan mereka mempunyai nama yang berlainan mengikut bahasa yang digunakan? Mengapa selepas 500 tahun baru hendak menukarnya?

Apa yang mendukacitakan saya dalam isu ini ialah ada orang yang dipanggil ulama yang sanggup mengkafirkan sesama Islam, bersungguh-sungguh pula mempertahankan usaha Gereja Roman Katolik itu. Naif sangatkah mereka hingga mereka tidak boleh nampak niat yang tersirat di sebalik usaha itu?

Bagi saya yang lebih penting ialah ancaman kepada umat Islam dan agama Islam. Bayangkan senario ini. Dengan menggunakan nama Allah sebagai Tuhan mereka, mereka boleh berkata kepada pemuda-pemudi Melayu: “Sebenarnya Tuhan Islam dan Tuhan Roman Katolik adalah sama. Kamu bukan menolak Allah dengan menjadi penganut Roman Katolik. Walaupun bersembahyang di gereja, kamu masih menyembah Allah. Kamu tidak perlu sembahyang lima kali sehari dan berpuasa sebulan dalam setahun. Sebaliknya, kamu hanya perlu datang ke gereja sekali seminggu, bersama rakan lelaki atau perempuan kamu, berpegang tangan sambil menyanyi. Kamu boleh tinggal serumah dan tidak boleh ditangkap khalwat. Kamu boleh pergi ke kelab malam tanpa ditangkap oleh Pegawa Penguat Kuasa Agama Islam, kamu boleh minum arak dan lain-lain lagi." Semua ini, jika ditambah lagi dengan “bantuan kewangan" semestinya amat menarik bagi pemuda-pemudi yang suka berhibur.

Terdapat Enakmen Kawalan Agama bukan Islam di 10 negeri namun tidak meliputi Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan. Apakah dari sudut perundangan negara ia dibenarkan?

ABDUL HAMID: Adanya peruntukan undang-undang yang melarang orang bukan Islam mengembangkan agama mereka kepada orang Islam, menunjukkan perbuatan itu tidak dibenarkan oleh undang-undang. Maka sesiapa yang melanggarnya hendaklah dibawa ke muka pengadilan. Pihak yang diberi tanggungjawab untuk melaksanakan undang-undang itu hendaklah melaksanakannya.

Boleh Tun kongsikan pengalaman mengendalikan kes yang cuba menggugat kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan antaranya kes Lina Joy. Bagaimana bentuk tekanan yang diterima.

ABDUL HAMID: Saya membicarakan beberapa kes murtad dan ajaran sesat seperti Kamariah Bt Ali v Kerajaan Negeri Kelantan [2002] 3 AMR 3512; Abdul Kahar Bin Ahmad v Kerajaan Negeri Selangor DE (2009) 4 AMR 677 dan Sulaiman Bin Takrib v Kerajaan Negeri Terengganu (2009) 1 AMR 644). Saya tidak hairan ada orang Melayu yang hendak murtad atau yang mengajar atau mengikuti ajaran sesat. Tetapi, apa yang saya hairan ialah apabila ada sahaja kes-kes seperti itu, bergegarlah peguam-peguam dari Kuala Lumpur ke Terengganu malah ke Kuala Krai, Kelantan untuk membela mereka hingga ke Mahkamah Persekutuan. Saya ingin tahu mengapa mereka terlalu gemar membela kes-kes seperti itu. Saya percaya orang berkenaan tidak mampu membayar fi mereka.

Saya ingin tahu siapa yang membayarnya dan apa muslihatnya. Di sisi undang-undang, kes Lina Joy juga adalah mengenai bidang kuasa mahkamah untuk membicaranya. Soalan saya, mengapa orang bukan Islam mengambil berat sangat apabila ada orang Islam yang keluar daripada agama Islam? Mengapa mereka tidak kisah jika orang yang menganut agama selain daripada Islam hendak menukar agama. Apa agenda mereka?

Pada pandangan Tun apa yang perlu dilakukan bagi meyakinkan bukan Islam bahawa undang-undang Islam adalah adil dan saksama untuk dilaksanakan kepada semua kaum di negara ini?

ABDUL HAMID: Sebenarnya umat Islam sendiri tidak tahu undang-undang mana yang hendak mengganti undang-undang yang sedia ada itu. Semua hanya bercakap secara umum dan retorik. Kita sendiri perlu tahu dahulu. Apabila kita tahu baru kita boleh yakin dan selepas itu meyakinkan orang bukan Islam. Saya tidak kisah sangat sama ada orang bukan Islam yakin atau tidak bahawa undang-undang Islam itu adil. Mereka menolak agama Islam, apa yang hendak diharapkan daripada mereka? Yang penting jika ia dilaksanakan, ia hendaklah dilaksanakan dengan adil. Jangan fikir jika kita melaksanakan apa yang kita panggil undang-undang Islam ia secara automatik akan berjalan dengan adil. Undang-undang apa pun, walau bagaimana baik sekalipun, jika dilaksanakan dengan tidak cekap dan tidak adil akan menjadi tidak adil.

Utusan Malaysia Online  Rencana 10/03/2013
Tags: islam, perlembagaan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments