kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Jasa penjawat awam terus dihargai

PENGENALAN Sistem Saraan Transformatif (SST) sebagai sistem saraan baharu dijangka bakal memberi lebih banyak faedah kepada 1.4 juta kakitangan awam pelbagai peringkat.

Berdasarkan kepada perubahan-perubahan yang sedang dilaksanakan dan input daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi perhatian terhadap kumpulan bergaji kecil hingga kepada gaji maksimum yang tiada lagi kenaikan gaji tahunan.

Setiap penjawat awam dijangka mendapat kenaikan antara RM80 dan RM320 yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 bilion terutama sekali bagi anggota polis dan tentera yang menikmati pelarasan gred setara dengan perkhidmatan awam am.

Penjawat awam gred gaji 1 hingga 10 turut dinaik taraf sementara 50,000 kakitangan kontrak disambung perkhidmatan sehingga tahun hadapan.

Perdana Menteri bagaimanapun mengingatkan kakitangan awam bahawa setiap tindakan dan keputusan mereka diperhatikan, diperhalusi, diperiksa, dianalisis serta dikritik terutamanya oleh rakyat negara ini.

Oleh itu, beliau berharap penjawat awam memelihara integriti bagi memastikan ketirisan wang atau maklumat yang menjejaskan keutuhan perkhidmatan awam tidak berlaku.

Najib juga mahu mereka bersifat proaktif melakukan penyebaran maklumat bersandarkan ketetapan tanpa melanggar peraturan agar sistem pentadbiran tidak dikompromi keabsahannya.

Namun, apa jua langkah penambahbaikan diumumkan kerajaan dilihat tidak mampu memenuhi kehendak semua pihak walaupun usaha itu dilakukan secara berterusan dan akan mengambil masa.

Pengumuman Perdana Menteri itu bukannya yang pertama dan pasti bukan yang terakhir dalam usaha berterusan kerajaan membela dan menjaga kebajikan kakitangan awam.

Persoalannya, adakah majoriti daripada 1.4 juta kakitangan awam ini akan menerimanya dengan hati terbuka atau mungkin termakan hasutan mengharap kerajaan baharu yang akan berikan lebih banyak 'intan permata' kepada mereka selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13)?

Penganalisis politik, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling berharap apa yang diumumkan untuk kakitangan awam itu akan membawa impak positif kerana isu tersebut telah tertangguh sejak awal tahun lalu.

"Amat wajar Perdana Menteri mengumumkannya sekarang. Impaknya barangkali positif terutama di kalangan kumpulan bergaji rendah yang akan terus menyokong kerajaan.

"Bagi yang taksub dengan kumpulan pembangkang, mungkin mereka terus begitu kecuali yang rasional dan berakal, bukan bangkang semata-mata kerana nak bangkang," katanya.

Beliau berpendapat, kakitangan awam yang taksub dengan pembangkang perlu rasional dalam membangkang perkara yang tidak betul, bukannya semua usaha kerajaan dibangkang termasuk perkara baik dan betul.

Secara umumnya, beliau yakin majoriti di kalangan penjawat awam kini semakin menyokong kerajaan terutamanya kepada Perdana Menteri sendiri.

"Berbanding 2008, sekarang sudah berbeza. Dahulu orang hilang semangat tetapi kini penuh yakin dan tidak segan silu memakai baju logo 1Malaysia.

"Ini sebenarnya dalam strategi Perdana Menteri melengahkan PRU-13 untuk mengurangkan lagi sokongan kepada pembangkang. Dari sudut kebajikan, Najib sudah kalahkan pembangkang dalam permainan mereka sendiri," ujarnya.

Beliau yakin strategi Perdana Menteri bukan sekadar untuk menang tetapi untuk membentuk kerajaan yang kuat dengan majoriti dua pertiga undi.

Baginya, sokongan terhadap Najib cukup kuat kini termasuk di kalangan kakitangan awam, jelas dilihat melalui jumlah kehadiran dalam majlis-majlis dan perhimpunan yang diadakan.

Selain kumpulan yang pro-kerajaan atau pro-pembangkang, Zainal berharap penjawat awam yang belum mendaftar sebagai pengundi turut serta melaksanakan tanggungjawab mereka kepada negara.

"Sekarang tiada pegawai dalam kerajaan berumur bawah 21 tahun, sepatutnya semua sudah mendaftar untuk mengundi.

"Ini bergantung kepada kesedaran diri akan tanggungjawab mereka, lebih-lebih lagi kakitangan awam yang menikmati banyak kelebihan, mereka juga bertanggungjawab terhadap apa berlaku jika tidak mengundi," tegasnya.

Bagi Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Azmi Hassan pula, kenaikan gaji yang diumumkan Perdana Menteri itu bukan sahaja dapat meningkatkan sokongan kakitangan awam kepada kerajaan malahan mampu mengubah pendirian mereka yang taksub pembangkang.

"Ini satu penghargaan kepada kakitangan awam yang kadang kala tugas mereka diambil mudah oleh rakyat sedangkan pembangunan negara banyak atas hasil usaha penjawat awam.

"Majoriti penjawat awam menyokong kerajaan. Pengumuman baharu itu bukan sahaja meningkatkan sokongan malahan yang tegar sokong pembangkang juga pasti boleh berubah hati dengan keikhlasan Perdana Menteri membela nasib mereka," katanya.

Beliau juga yakin sokongan penjawat awam kepada kerajaan akan meningkat dengan mendadak selepas ini dan itu amat penting dalam melancarkan urusan pemerintahan negara kelak.

Menurutnya lagi, pendekatan dan keikhlasan Najib yang mengutamakan dasar menyokong keperluan rakyat menjadi faktor utama sokongan kepada Barisan Nasional (BN) terus meningkat.

"Najib bukan sekadar pancing undi seperti pemimpin politik tertentu tetapi memang mahu bantu rakyat, termasuk kakitangan awam.

"Berbeza dengan pembangkang yang pandang rendah dan melihat kakitangan awam sebagai beban. Mereka ada niat untuk ubah semua yang sedia ada termasuk yang baru diumumkan itu, malahan ada juga merancang mengurangkan bilangan penjawat awam," ujarnya.

Azmi turut menasihatkan penjawat awam mengenang kembali segala keselesaan yang dinikmati selama ini hasil perancangan teliti sejak sekian lama dan bukannya sesuatu yang muncul secara tiba-tiba.

"Selain yang tegar sokong pembangkang, mereka yang langsung tidak mendaftar sebagai pengundi juga masih ada dalam kalangan penjawat awam, lupa akan tanggungjawab kerana lena dibuai hidup selesa.

"Jumlah yang tidak daftar ini tidak ramai tetapi seperti juga dalam masyarakat, mereka ini hanya tahu menerima manfaat daripada kerajaan tetapi abaikan tanggungjawab sebagai pengundi," tegasnya.



NURUL ANUAR KARI anuar.kari@utusan.com.my Utusan Malaysia Online Rencana 14/03/2013
Tags: ssm, sst
Subscribe

  • Pakar Pakau

    Saya sedang membaca beberapa berita sensasi di portal media apabila satu mesej WhatsApp diterima bersama satu lampiran fail disertakan. Mesej…

  • Bersuaralah

    Pada saat permintaan komunikasi yang telus di tempat kerja berada pada tahap premium, ramai yang masih tidak bersuara dan memberi pandangan yang…

  • Falsafah politik adalah ideologi?

    Ahli politik tak lagi cenderung soal falsafah, ideologi - Musa Hitam (7/3/2021) menjadi tajuk salah satu berita. Ahli falsafah politik…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments