kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

SST lonjak transformasi sektor awam

PENGUMUMAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai Sistem Saraan Transformatif (SST) merupakan perkara yang ditunggu-tunggu oleh penjawat awam.

Pelbagai insentif telah diumumkan oleh kerajaan. Golongan penjawat awam yang paling bertuah mendapat durian runtuh adalah anggota keselamatan negara, iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Kedua-dua cabang anggota keselamatan negara ini mendapat kenaikan gaji bermula 1 Januari 2013. Gaji mereka telah disetarakan dengan perkhidmatan awam yang lain.

Umum mengetahui anggota keselamatan negara telah banyak berjasa untuk negara. Mereka ini bukan sahaja sanggup meninggalkan keluarga tatkala orang lain bergembira bersama keluarga tetapi juga sanggup mempertaruhkan nyawa demi mempertahankan keamanan negara.

Cuba kita rujuk pencerobohan di Lahad Datu dan Sabah, mereka ini bekerja 24 jam sehari tanpa kenal penat lelah. Ada di antara mereka berkawal di dalam air dan tidak kurang juga mereka ini mengepung kawasan kampung yang dicerobohi oleh pengganas. Nasib mereka wajar dibela.

Sering kali kita dengar mengenai kisah di kalangan anggota keselamatan yang terpaksa meminjam wang daripada ah long. Kenaikan gaji mereka akan mengurangkan kes di kalangan anggota keselamatan negara yang meminjam wang daripada ah long selain membantu mereka menangani kos sara hidup yang semakin tinggi.

Selama ini juga kita banyak tertumpu kepada sektor lain seperti pendidikan yang melibatkan 25 peratus Bajet Tahunan kerajaan. Justeru, sudah sampai masanya bajet kerajaan disalurkan kepada anggota keselamatan negara seperti kenaikan gaji dan penambahbaikan kelengkapan berperang, umpamanya pembelian helikopter pejuang bagi meningkatkan kekuatan pertahanan negara.

Tidak salah, sekali sekala kita memberi tumpuan untuk mengukuhkan lagi pertahanan negara dengan penambahan kekuatan kelengkapan berperang dan meningkatkan jumlah anggota keselamatan negara.

Di samping manfaat yang dinikmati oleh anggota PDRM dan ATM, semua penjawat awam akan menikmati faedah pemindahan gaji sebanyak satu Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) yang diawalkan pada Julai ini. Sebanyak RM1.5 bilion diperuntukkan untuk faedah pemindahan gaji penjawat awam.

Bagi penjawat awam yang telah mencapai tangga gaji siling maksimum, mereka akan menerima tambahan tiga kali KGT, sekali lagi bermula pada Januari lalu.

Sebanyak 87 elaun penjawat awam akan dikaji selain daripada penambahbaikan bagi 22 skim perkhidmatan awam. Kerajaan bakal mengumumkan perkara ini selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Pengumuman kerajaan amatlah dinanti-nantikan oleh penjawat awam yang selama ini telah bertungkus lumus untuk membela nasib rakyat. Ini seterusnya memotivasikan mereka untuk bekerja dengan lebih baik dan produktif tanpa menjejaskan kualiti kerja dek kerana masalah kewangan.

Paling utama, kualiti kerja yang tinggi ini diterjemahkan untuk membela nasib rakyat dan mempertingkatkan kualiti hidup rakyat. Pelarasan gaji dan jawatan serta kajian semula terhadap elaun penjawat awam dan skim perkhidmatan awam boleh menyuntik semangat para penjawat awam untuk bekerja dengan lebih cekap dan amanah demi untuk membela nasib rakyat.

Penulis juga tertarik dengan cadangan untuk mewujudkan skim perumahan khas kakitangan awam terutamanya untuk golongan muda.

Diharapkan skim yang bakal diwujudkan benar-benar mengatasi masalah penjawat awam yang masih belum memiliki rumah. Antara yang boleh diketengahkan dalam skim tersebut adalah dengan mengurangkan kadar faedah empat peratus pinjaman perumahan dan mewujudkan perumahan mampu milik khas untuk penjawat awam. Seiring dengan itu, kerajaan juga disyorkan untuk mengkaji elaun perumahan agar bersesuaian dengan keadaan semasa.

Penulis melihat SST ini sejajar dengan dasar transformasi kerajaan melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP), Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Model Baru Ekonomi (MBE). Umum mengetahui, tanpa penjawat awam, dasar dan polisi kerajaan tidak dapat dijalankan dengan baik.

SST bakal menarik lebih ramai lagi warga negara Malaysia yang berbakat hebat untuk menyertai sektor awam. Tidak mustahil satu hari nanti, sektor awam akan menjadi sektor utama yang paling digemari oleh bakat-bakat hebat warga negara Malaysia.

Tidak mustahil juga, sektor awam Malaysia akan mengalami perubahan besar-besaran dari semua segi sebagaimana yang berlaku di negara jiran kita, Singapura. Sebagai sektor pemudah cara bagi rakyat dan swasta, sektor awam perlu ditransformasi secara besar-besaran.

Permulaan dasar dengan gaji yang menarik dalam sektor awam bakal menarik warga negara Malaysia yang berkemahiran tinggi menyertai sektor awam.

Bahkan, SST juga mampu mengurangkan penyakit penyalahgunaan kuasa dan rasuah di sektor awam. Penyakit ini sememangnya telah lama diketahui sebagai punca utama yang menjejaskan kualiti kerja penjawat awam.

Walaupun kes-kes penyalahgunaan kuasa dan rasuah hanya melibatkan segelintir penjawat awam, namun, sewajarnya ia tidak berlaku jika sekiranya semua penjawat awam bekerja dengan amanah dan bertanggungjawab untuk memberi kebaikan kepada orang lain.

Ini sejajar dengan ajaran agama Islam agar setiap individu berbuat baik untuk orang lain dan tidak mementingkan diri sendiri demi kesejahteraan ummah dan negara.



ROHAMI SHAFIE PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan dan Felo Penyelidik Institut Keusahawanan dan Koperasi Universiti Utara Malaysia Utusan Malaysia Online Rencana 15/03/2013
Tags: ssm, sst
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments