kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Terpikat sebab Nazary berkepala botak

KEBIASAANNYA, seorang wanita jatuh cinta kerana terpaut dengan paras rupa jejaka yang diminatinya, selain penampilan dan kerjaya sehingga mendorong mereka mengakhirinya ke jenjang pelamin.

Namun bagi seorang pakar perunding kecantikan, Noorlilinatty Mohd. Nordin, 41, dia tertarik dengan suaminya, Nazary Ahmad, 50, Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Sdn. Bhd., bukan kerana faktor rupa.

Malah katanya, dia juga bukan terpikat kerana sikap bersahaja, peramah dan pandai mengambil hati Nazary, tetapi teruja kerana suaminya berkepala botak.


"dia juga bukan terpikat kerana sikap bersahaja, peramah dan pandai mengambil hati Nazary, tetapi teruja kerana suaminya berkepala botak, pandai bermain gitar dan suka menghisap curut ..... "

Noorlilinatty atau lebih mesra dipanggil Natty berkata, dia memang tertarik dengan lelaki berkepala botak seperti pelakon terkenal Bruce Willis, Jack Nicklson dan Telly Savalas.

''Kali pertama berjumpa Nazary, memang saya teruja dengan kepalanya yang botak. Saya sendiri tidak tahu macam mana perasaan saya begitu teruja apabila melihat lelaki berkepala botak.

''Bila saya bercerita mengenai perkara itu, suami saya tergelak besar tetapi itulah hakikat sebenarnya bagaimana saya tertarik dengan suami saya," ujar Natty ketika ditemubual S2 di Taman Datuk Palembang, Bukit Baru, Melaka.

Selain itu, kata Natty, seperkara lagi yang membuatkannya tertarik dengan Nazary adalah kerana hobi suaminya gemar dan pandai memasak.

Mengimbas kembali perkenalan pasangan ini Natty berkata, sewaktu suaminya datang berjumpa emak dan ayahnya di rumah mereka di Shah Alam, Selangor, dia terkejut apabila Nazary membawa buah-buahan dan masakan asam pedas yang dimasaknya sendiri.

Ujarnya, dia pada mulanya merasa pelik. Begitu juga ibu bapanya dan mereka menyangka itu mungkin helah Nazary untuk mengambil hati keluarganya.

''Sangkaan saya silap. Sebenarnya setiap kali, dia datang ke rumah, ada sahaja masakan yang dibawanya. Antara masakan yang saya suka adalah kari kambing.

''Setelah berkahwin, setiap kali cuti hujung minggu, dia akan ke dapur dan memasak makanan yang kami sekeluarga suka," katanya.

Mengenang kembali cinta pandang pertamanya Natty berkata, mereka sebelum ini pernah berjumpa sekali atas urusan perniagaan melalui rakannya.

Natty ketika itu merupakan pakar perunding kecantikan di sebuah syarikat, selain memiliki sebuah salon di Damansara, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, ketika itu tidak wujud sebarang bibit cinta antara kedua-duanya sehinggalah mereka membuat temu janji di Hotel Sheraton, Subang untuk berbincang mengenai perniagaan.

Itulah kali pertama Nazary dan Natty bersemuka. Pertemuan itu sekali gus melahirkan bibit cinta di antara mereka.

''Saya langsung tak ingat bahawa kami pernah berjumpa apabila dia menghubungi saya menyatakan ingin berbincang mengenai hal perniagaan.

''Bila saya berjumpanya, hati saya terus terpaut dan berhasrat ingin menjadikan dia isteri saya," ujar Nazary yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada 1986.

Sejak itu, hubungan sebagai rakan niaga menjadi semakin serius. Setiap hari, mereka bercakap melalui telefon, pesanan khidmat ringkas (SMS), e-mel dan laman sembang Yahoo Messenger. Kesemua itu menjadi peneman di waktu mereka ingin melepaskan rindu.

Kata Nazary, untuk mereka berjumpa setiap hari amat terbatas disebabkan kesibukan tugas hakiki masing-masing.

''Saya suka berjumpa Natty di rumahnya. Saya jarang bawa dia keluar, sebaliknya di rumah ibu bapanya kami berjumpa dan menjadi tabiat saya membawa masakan yang saya masak," ujarnya.

Menurutnya, percintaan mereka begitu singkat iaitu tidak sampai setahun berkenalan, mereka mengikat tali pertunangan dan dalam masa tiga bulan, mereka melangsungkan perkahwinan.

Hasil perkahwinan tersebut, pasangan ini dikurniakan enam cahaya mata iaitu Nur Syazwani, 18, Nuryn, 16, Qistina, 15, Ahmad Matyn, 13, Nur Kamilia, 12, dan Ahmad Mukhriz, 3.

Dalam pada itu, Nazary berkata, dia amat memahami karier Natty dan walaupun sentiasa sibuk, Natty tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kepada anak-anak mereka.

Lebih penting dalam mengekalkan keutuhan rumah tangga, kata Nazary, setiap masalah yang mereka hadapi diselesaikan dengan segera dan tidak dibawa berpanjangan kerana keadaan itu akan meruncingkan lagi hubungan mereka.

Dia mengakui dalam ikatan perkahwinan, tidak selalunya indah belaka, seperti bak kata pepatah 'bumi mana yang tidak ditimpa hujan'. Begitu juga dalam hubungan mereka, ada ketikanya berlaku perselisihan faham.

Namun katanya, setiap masalah yang timbul, mereka akan selesaikan segera secara bersemuka tanpa campur tangan keluarga kedua-dua pihak dan mereka juga memastikan masalah itu tidak berlanjutan sehingga boleh menjejaskan hubungan.

Sejurus Nazary mendapat tawaran daripada syarikat Melaka Taming Sari yang menguruskan produk pelancongan terkenal di Melaka, Menara Taming Sari pada 2008, mereka sekeluarga memulakan kehidupan baru dengan berpindah dari Kuala Lumpur ke Melaka.



Amran Mulup Utusan Malaysia Online Keluarga 16/02/2013
Tags: botak, mao, masak
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments