kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Menyemarak budaya fikir

Sebelum perkataan-perkataan seperti cendekiawan, ilmuwan, intelektual atau kaum intelek menjadi popular, orang Melayu menggunakan ‘bijak pandai’. ‘Bijak’, ‘bestari’, ‘pandai’, ‘cerdik’, ‘arif’ merupakan sinonim untuk menunjukkan kepandaian seseorang. Apa yang menarik, apabila orang Melayu merujuk pada perkataan ‘bijaksana’, maknanya dikaitkan dengan ‘akal budi’, bukan sekadar kepandaian semata-mata. Maka itu ‘kebijaksanaan’ merupakan kata sifat yang merujuk pada cara bagaimana ilmu dan kepandaian dikaitkan dengan akal budi tadi. Orang berilmu belum tentu bijaksana, begitulah pandangan orang Melayu.

Orang Melayu memang menghargai ilmu dan kepandaian. Lebih-lebih lagi dalam masyarakat tradisional yang rata-rata anggotanya tidak berpelajaran formal. Mereka yang dilabelkan ‘cerdik pandai’ atau ‘bijak pandai’ dalam masyarakat disanjung tinggi dan dimuliakan.

Istana memainkan peranan yang penting menyemarakkan tradisi bertulis oleh pandai kitab, pandai jawi dan pandai sirah (sejarah). Kelompok ini dipanggil ‘pujangga’ yang tugas mereka menjadi pencatat dan perakam zaman. Mereka juga menghasilkan karya bertulis yang sehingga ini menjadi warisan bangga bangsa. Kumpulan inilah yang melahirkan karya-karya seperti Sejarah Melayu, Hikayat Raja-Raja Pasai dan Sejarah Raja-Raja Melayu dan Bugis. Mereka jugalah yang memungkinkan lahirnya kitab Hukum Kanun Melaka, yang dipercayai naskhah undang-undang bertulis yang tertua di kalangan orang Melayu. Tokoh-tokoh seperti Tun Sri Lanang, Nurrudin al Raniri, Shamsuddin Al Sumatrani dan Raja Ali Haji bukan sahaja pembesar negeri tetapi juga ilmuwan semasa.

Kisah Flor de La Mar

Banyak orang yang menganggap tradisi ilmu orang Melayu bermula hanya dengan kedatangan penjajah. Mereka lupa khazanah kesusasteraan dan seni budaya Melayu yang telah berakar kukuh sejak sekian lama. Apabila Flor de La Mar, kapal Portugis yang membawa ribuan kitab-kitab Melayu ke Lisbon, Portugal tenggelam pada tahun 1511, nilai kehancuran warisan Melayu tidak boleh dibayangkan.

Malah dari kalangan orang Melayu yang tidak berpendidikan formal telah lahir khazanah kesusasteraan Melayu yang luar biasa. Tradisi oral atau lisan berkembang di tengah masyarakat ini. Mereka melahirkan cerita rakyat dan puisinya sekali. Pantun yang dianggap salah satu penghasilan besar orang Melayu lahir dari masyarakat petani dan nelayan ini. Demikian juga cerita binatang, cerita teladan, cerita penglipurlara, cerita asal usul dan lain-lain. Tidak ada pengarang dalam tradisi sastera rakyat Melayu kerana hasil karya merupakan milik bersama. Individualisme tidak wujud di kalangan mereka.

Maka itu tidak benar Abdullah Abdul Kadir Munsyi merupakan penulis pertama yang berani menegur orang Melayu. Tun Sri Lanang sudah membuat teguran tajam tapi halus terhadap raja-raja yang diriwayatkannya dalam Sejarah Melayu. Penulis kitab Hikayat Raja-Raja Pasai menegur Raja Ahmad yang berkehendak kepada puterinya sendiri dan membunuh puteranya.

Orang Melayu mempunyai sejarah tradisi fikir yang hebat, yang tidak kalah dengan kaum lainnya. Di Nusantara, bijak pandai Melayu mencorakkan sejarah ilmuwan yang hebat, melahirkan karya-karya agung dalam pelbagai genre sepanjang zaman.

Banyak daripada mereka membina kekuatan sendiri, berguru pada yang lebih pandai, menyambung lidah ilmu, menambah perbendaharaan pengetahuan hingga menjadi bijak pandai dalam ertikata yang tersendiri. Di Malaysia sendiri, sejarah kebangkitan tradisi ilmu bermula dari persuratkhabaran dan majalah Melayu. Kelompok reformis dari Kaherah misalnya pulang dengan hasrat untuk membetulkan tanggapan kuno mengenai Islam yang dibawa oleh ‘Kaum Tua’. Salah seorang tokoh pembaharuan ini, Syed Sheikh Ahmad Al Hadi bukan sahaja menggunakan penerbitan Al Imam tetapi juga karya sastera. Novel pertama dalam Bahasa Melayu, Hikayat Faridah Hanum (terbit 1925) merupakan karya beliau.

Tradisi bijak pandai tak pupus

Hari ini kita melahirkan jutaan graduan dalam pelbagai disiplin. Ada yang menyoalkan apakah benar tradisi ilmu semakin pudar akibat faham ‘bebalisme’ dan ‘angukisme’ (maaf, bukan istilah saya) di menara gading hari ini. Ada tuduhan mengatakan bahawa tradisi fikir semakin menipis kerana politik akademik yang ada kalanya lebih hebat dari politik yang sebenar. Apakah kita mampu melahirkan ilmuwan unggul berkelas dunia? Atau sekurang-kurangnya merupakan cerminan daripada tradisi kritis yang dicorakkan oleh Syed Sheikh Ahmad Al Hadi, Pendeta Za’ba, Hamka atau H.B. Jassin? Apakah akan lahir nama-nama besar dan karya besar yang dapat bertahan diuji zaman seperti yang dihasilkan oleh pujangga, ilmuwan, cendekiawan yang terdahulu?

Saya percaya jiwa akademia (sekali lagi bukan istilah saya, sebaliknya istilah Prof Dr Zaini Ujang) masih subur. Tradisi bijak pandai tidak pupus di negara ini. Ilmuwan atau cendekiawan tidak harus takut menentang arus, menjadi contrarian atau berbeza faham kerana itulah yang diharapkan daripada mereka. Di tangan merekalah lahir tradisi cerdik yang memimpin masyarakat. Mereka juga conscience sebenar masyarakat semakin dahagakan ilmu dan pengetahuan. Maka itu peranan mereka semakin penting dalam negara yang bercita-cita besar.

Ilmuwan urusannya menyemarak ilmu.


Johan Jaafar Berita Harian Online Rencana 14/03/2013
Tags: fikir
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments