kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Penyakit takut angka dan takut manusia

Boleh kata semua orang sangka, pilihan raya umum (PRU) kali ini adalah yang ke-13. Tapi ada juga orang kata ke-14. Kedua-dua betul bergantung kepada bila kita mula kira.

Kalau dikira mulai Pilihan Raya Umum Majlis Perundingan Persekutuan Tanah Melayu 1955, PRU kali ini adalah yang ke-14.

Tapi ada orang tak mahu kira pilihan raya itu sebab masa itu kita tak merdeka lagi dan bukan semua ahli dewan dipilih melalui pilihan raya. Ada yang dilantik terus oleh pihak Inggeris.

PRU pertama lepas merdeka adalah pada tahun 1959. Jadi kalau kita kira mulai pilihan raya itu, maka PRU kali ini adalah yang ke-13.

Banyak mitos angka 13

Tak apalah. Sama ada ke-13 atau ke-14 tak penting sangat melainkanlah kepada orang yang percaya kepada hal karut-marut macam angka dan bilangan. Ada masyarakat dari zaman silam lagi anggap nombor 13 sebagai tak baik. Maka banyaklah mitos dan cerita dibuat mengenainya.

Dalam mitos Kristian, misalnya, jamuan makan malam terakhir Nabi Isa dihadiri 13 orang, termasuk Judas Iscariot yang dituduh belot kepada beliau. Judas Iscariot duduk di kerusi ke-13. Wallahualam.
Tapi orang Islam tak dibenarkan percaya perkara karut-marut macam nombor ramalan, tilik-menilik, fengshui, baca daun teh, jampi serapah, air mantera dan tengok nasib dalam mangkuk macam dalam filem P Ramlee. Itu kerja karut dan syirik.

Tapi ketakutan kepada bilangan 13 ini sangat luas kesannya sampai dibuat kajian saintifik dan dicipta satu istilah khas bagi sindrom takutkan angka. Ia dipanggil triskaidekaphobia. Daripada perkataan Greek tris (tiga), kai (dan), deka (10) dan phobos (ketakutan).

Banyak orang hanya ingat atau dengar berkenaan Pilihan Raya Majlis Perundingan Persekutuan 1955, tapi pilihan raya yang lebih awal daripada itu ialah Pilihan Raya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur 1953.

Dalam pilihan raya itulah landasan kerjasama antara kaum diasaskan apabila UMNO dan MCA berpakat. Hasilnya, calon UMNO-MCA menang besar dengan merampas sembilan daripada 12 kerusi yang dipertandingkan. MCA menang enam dan UMNO tiga. Parti Kemerdekaan Malaya pimpinan Datuk Onn Jaafar dapat dua kerusi dan Bebas satu.

Dalam pilihan raya 1955, Perikatan yang gabungkan UMNO, MCA dan MIC menang 51 daripada 52 kerusi. Perikatan dapat 80 peratus daripada undi sah. Kira-kira 83 peratus pemilih keluar mengundi.

PAS menang kerusi tunggal di Krian, Perak. Wakilnya, Haji Ahmad Tuan Hussein adalah orang pertama dalam Parlimen negara kita yang dibagi gelaran ‘Mr Opposition’ atau Tuan Pembangkang.

Tapi pada tahun 1956, sokongan kepada Perikatan merosot apabila ia kalah dalam pilihan raya majlis perbandaran Pulau Pinang dan Melaka.

Dalam Pilihan Raya Umum 1959, PRU pertama sejak Persekutuan Tanah Melayu merdeka pada 1957, parti-parti pembangkang tambah cergas dan mula dapat perhatian pengundi.


Tapi pada pendapat Kunta Kintelah, bukan PRU kali ini saja hebat dan sengit. Sebenarnya boleh kata semua PRU kita hangat dan sengit walaupun ada macam-macam tuduhan dan dakwaan dibuat kononnya kita tak amalkan demokrasi dan kebebasan.

Satu hal yang Kunta Kinte rasa kita tak boleh nafi adalah hakikat orang Malaysia sangat suka kepada politik. Boleh kata semua diplomat asing dan orang luar yang datang bertugas atau bekerja di negara kita mengaku yang suasana politik Malaysia sangat ‘vibrant’ – bersemangat dan bertenaga – berlainan langsung daripada apa yang mereka dengar kononnya kita tak bebas, tak demokratik dan macam-macam tohmahan lagi.

Malah mereka hairan macam mana orang Malaysia tak berhenti-henti berpolitik. Di negara mereka, orang berpolitik hanya pada masa pilihan raya. Itu pun mereka tidaklah taksub kepada parti dan pemimpin macam banyak orang kita.

Kunta Kinte dah lama rasa dan dah banyak kali kata, kita kena buka sikit minda kita supaya tak taksub sangat kepada politik parti dan taat buta tuli kepada pemimpin politik sampai takut nak tegur dan kritik.

Kalau kita betul-betul amalkan demokrasi berparlimen dan faham tanggungjawab, kita bukan saja kena berani tegur dan kritik pemimpin malah kita wajib tegur dan kritik kalau mereka buat hal-hal yang tak betul atau mungkir janji.

Berlapang dada terima kritikan

Lagipun, pemimpin yang demokratik dan utamakan rakyat akan berlapang dada terima maklum balas, teguran dan kritikan rakyat sebab setiap empat atau lima tahun sekali mereka terpaksa balik kepada rakyat untuk minta mandat baru.

Maaf cakaplah kalau Kunta Kinte kata, Kunta Kinte tak faham macam banyak sangat orang yang taksub kepada pemimpin sampai tak berani bagi maklum balas yang negatif, takut menegur apatah lagi mengkritik pemimpin yang mereka sendiri pilih dalam pilihan raya.

Sebenarnya, kalau sayang pemimpin, kita wajib tegur dan nasihat mereka sebab kalau kita diam dan mereka terus buat kesilapan, bila datang pilihan raya mereka mungkin tewas. Jadi sebelum orang benci dan buang mereka dalam pilihan raya, kita kenalah tegur dan bagi nasihat kepada mereka. Orang yang takut kepada orang lain atau kepada masyarakat dikatakan menderita sindrom anthropophobia. Wallahualam.

E-mel ke rencanabh@bharian.com.my untuk berkongsi pendapat anda

Kunta Kinte Berita Harian Online Rencana 16/03/2013
Tags: angka, phobia
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments