kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Ubah nasib rakyat melalui pendidikan

Peruntukan besar mampu lahir modal insan jayakan pembangunan negara

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merasmikan Kampus Induk, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bernilai RM720 juta. Sejak ditubuhkan sehingga tahun lalu, kerajaan memperuntukkan RM1.28 bilion kepada UniMAP bagi tujuan pengurusan dan jika dijumlahkan, universiti ini menerima pembiayaan daripada kerajaan sebanyak RM2 bilion.

Peruntukan itu adalah satu jumlah yang besar. Namun kita percaya, hasil pelaburan ini akan berlipat kali ganda kerana ia bukan sahaja melahirkan modal insan tetapi turut menjayakan proses pembangunan negara khususnya di Perlis.


Beri kesan

Saya mengakui bahawa kehadiran UniMAP sedikit sebanyak memberi kesan kepada kemajuan masyarakat setempat apabila pertumbuhan ekonomi, kadar penyertaan guna tenaga dan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana meningkat. Ini termasuk berperanan sebagai kesan pengganda kepada pendapatan kerajaan negeri khususnya melalui kemasukan pelajar antarabangsa yang meningkatkan sektor pelancongan dan perkhidmatan.

Ternyata peranan dan sumbangan yang dapat dilaksanakan oleh universiti amat besar. Ini sememangnya bertepatan dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk melihat universiti berupaya mentransformasikan komuniti. Selari dengan aspirasi ini, dalam Amanat Tahun 2013 yang lalu, saya telah meminta setiap IPTA mewujudkan Pusat Transformasi Komuniti Universiti atau University Community Transformation Centre (UCTCs) berasaskan nic masing-masing dengan menggerakkan sumber intelektual dan infrastruktur fizikal universiti untuk mentransformasikan komuniti.

Berbalik kepada soal pelaburan besar yang dilakukan oleh kerajaan dalam soal pendidikan khususnya pengajian tinggi, kita menyedari bahawa rakyat perlu mendapatkan manfaat daripadanya. Sehubungan dengan itu, adalah malang jika ada segelintir daripada rakyat Malaysia gagal mendapatkan peluang melanjutkan pengajian hanya semata-mata disebabkan oleh faktor kewangan atau terpinggir daripada arus pembangunan.

Selain melaksanakan mekanisme mod kemasukan baharu bagi isi rumah 40 peratus terendah (bottom 40% household), usaha mendemokrasikan pendidikan terus ditingkatkan melalui program Mengubah Destini Anak Bangsa. Program yang membantu golongan miskin untuk mendapatkan peluang kedua melanjutkan pengajian di peringkat pradiploma ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini dapat membantu mereka memperoleh akses ke pengajian tinggi. Melalui program itu 10,000 tempat diperuntukkan bagi golongan miskin di kalangan kaum Melayu setiap tahun.

Melihat kepada kejayaan program ini, penyertaan telah dibuka kepada kumpulan masyarakat lain iaitu Orang Asli dan anak kaum India yang miskin dalam negara. Program khas yang dilancarkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini bertujuan meningkatkan lagi akses kumpulan sasaran ke IPTA iaitu pengambilan seramai 1,600 pelajar kaum India ke Politeknik dan 1,000 pelajar Orang Asli ke UiTM setiap tahun. Bagi menjayakan hasrat murni ini, sebanyak RM2 juta diperuntukkan bagi setiap program mengubah destini anak bangsa ini.

Tingkat keupayaan

Saya percaya, usaha murni ini bukan sahaja akan meningkatkan keupayaan kumpulan sasaran dalam akses ke institusi pengajian tinggi, tetapi memberikan mereka keadilan sosial agar berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan komuniti lain.

Inilah sebenarnya roh dan inti pati semangat 1Malaysia yang sentiasa mendahulukan rakyat dalam apa jua aspek khususnya pendidikan yang memberikan mereka masa depan yang lebih cerah. Malaysia yang maju dan berpendapatan tinggi akan hilang maknanya, jika masih ada rakyat yang dibelenggu kemiskinan akibat taraf pendidikan yang rendah sehingga tidak mampu mengubah nasib serta destini mereka. Saya percaya, hanya pendidikan boleh mengubah nasib rakyat dan akhirnya destini Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi.

Telah banyak usaha kerajaan merakyatkan ilmu melalui proses pendemokrasian pendidikan untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang mereka. Kini, terpulang kepada rakyat untuk mengambil manfaat atas segala kemudahan yang diberikan kerajaan. Saya yakin, mereka akan mengambil peluang ini dan akhirnya menjadi modal insan yang dapat menyumbang dalam proses pembangunan, kemajuan dan transformasi Malaysia, negara yang kita cintai. Insya-Allah.


Khaled Nordin ialah Menteri Pengajian Tinggi Malaysia Berita Harian Online Rencana Pendidikan 16/03/2013
Tags: pelajaran, pendidikan
Subscribe

  • Waranti boleh dilanjut jika kenderaan kerap rosak

    ADAKAH kenderaan anda sering mengalami kerosakan? Memang menjadi kebiasaan bagi pemilik kenderaan untuk mengalami masalah kerosakan kereta selepas…

  • Jalan raya dan hari raya

    Pejam celik, pejam celik...bulan Ramadan sudah pun hampir tiba bermakna umat Islam akan mula berpuasa tidak lama lagi, seterusnya menyambut Hari Raya…

  • Kenali Tayar Kenderaan Anda

    Nampak kecil, impak besar KUALA LUMPUR: Kajian Penyiasatan Kemalangan dilakukan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros)…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments