Kita tidak tahu secara pasti, berapa ramaikah penulis di negara ini yang dapat menyara kehidupan diri dan keluarga dengan hasil royalti saja. Daripada khabar dan cerita yang kita dengar, ada beberapa orang penulis yang mencapai tahap itu, tetapi jumlahnya tidaklah ramai.
Pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) adalah agensi yang benar-benar tahu jumlah dan nama penulis yang menerima royalti besar dan yang boleh hidup dengan menulis saja. Mustahil untuk kita mendapatkan data terbabit daripada LHDN.
Menurut khabar dan cerita yang kita dengar, penulis-penulis novel remaja dan buku agama (kreatif dan bimbingan) adalah golongan penerima royalti terbesar di negara ini. Berapa besar jumlah sebenarnya tidaklah diketahui tetapi jumlah itu membolehkan mereka menjadi penulis profesional.
Teori penawaran, permintaan
Kejayaan segelintir penulis ini tertakluk kepada teori ekonomi yang paling asas, iaitu penawaran dan permintaan. Mereka dapat menawarkan karya yang dapat memenuhi permintaan pelanggan. Golongan penulis ini tahu akan tema, teknik serta gaya persembahan yang diperlukan khalayak pembacanya. Kalangan pembaca pula mendapati karya terbabit dapat memenuhi keperluan emosi, spiritual dan hiburan masing-masing.
Charles Dickens (1812-70), penulis novel antaranya David Copperfield dan A Tale of Two Cities, begitu juga George Eliot (1819-80), pengarang novel seperti Adam Bede dan The Mill on The Floss, adalah pengarang Inggeris yang menerima bayaran royalti termahal untuk novel mereka, iaitu sebanyak £10,000 bagi setiap novel.
Nilai £10,000 pada kurun ke-19 adalah amat besar. Dengan jaminan royalti sebesar itu bagi setiap novel mereka, Dickens dan Eliot boleh menumpukan sepenuh masa kepada kerja penyelidikan dan penulisan.
Saiz pasaran buku
Teori ekonomi mengenai penawaran dan permintaan juga berkait rapat dengan saiz pasaran. Saiz pasaran buku kita agak kecil atau sederhana kerana jumlah pengguna bahasa Melayu yang sederhana. Dalam konteks ini kita belum dapat menyamakan bahasa Melayu dengan bahasa Indonesia kerana kendala polisi pasaran antara Malaysia dan Indonesia, linguistik dan psikologi.
Jika saiz pasaran kita besar, pastilah lebih banyak penulis akan berpeluang menjadi penulis profesional dengan mendapat royalti yang lumayan. Inilah yang dikecapi oleh sebahagian penulis Barat yang menulis dalam bahasa Inggeris. Penerbitan dalam bahasa Inggeris dipasarkan bukan saja di Amerika dan Eropah, malah di Asia, Afrika, Australia dan New Zealand. Penulis yang berjaya boleh meraih jutaan dolar royalti setahun.
Kisah Stephen King
Stephen King (1947) antara seorang penulis Barat yang memperoleh royalti penulisan lumayan daripada novelnya. Beliau dilahirkan di Portland, terdidik di University of Maine, kemudian menjadi guru bahasa Inggeris (1971-1973). Selepas kejayaan novel pertamanya Carrie (1974), beliau beralih menjadi penulis profesional.
Dalam majlis National Book Foundation yang menganugerahi beliau ‘Lifetime Award’ pada 15 September 2003, Stephen King turut mengenang hari-hari awalnya sebagai pengarang, hidup bersama isterinya Tabitha. Menurutnya, mereka tinggal di dalam trailer dan Tabitha menyediakan ruang untuknya menulis di bilik membasuh pakaian yang sempit. Ada mesin taip Olivetti atas meja kecil antara mesin basuh dengan mesin pengering pakaian.
Pada satu peringkat beliau membuang manuskrip Carrie ke dalam bakul sampah. Tabitha memungutnya dan membaca beberapa halaman awal manuskrip itu. Apabila Tabitha memberi ulasan positif, Stephen King meneruskan penulisan Carrie hingga selesai.
Penulis berjaya seperti Dickens, Eliot, King dan penulis kita yang menjadikan penulisan sebagai kerjaya sepenuh masa tidak bergantung kepada bakat saja. Mereka banyak membaca, membuat penyelidikan dan sentiasa menyegarkan strategi naratif masing-masing.
Aspek disiplin, kerajinan
Kini di Malaysia, ilmu penulisan kreatif boleh dipelajari di beberapa institusi pengajian tinggi. Dengan bakat serta ilmu yang dimiliki, seseorang itu boleh menceburkan diri menjadi penulis sepenuh masa jika ia ingin melakukannya. Akan tetapi ia juga harus menekankan aspek disiplin dan kerajinan.
Industri kreatif negara memerlukan banyak skrip atau manuskrip untuk kandungan tempatan. Stesen TV awam dan swasta, penerbit media cetak serta aktiviti seni sentiasa memerlukan bahan berkualiti yang wajar diketengahkan kepada khalayak penonton atau pembaca.
Kita juga sentiasa mengalu-alukan lebih ramai penulis kreatif profesional di negara ini. Daripada mereka kita mengharapkan karya yang segar, bermutu serta mengangkat jati diri negara bangsa. Kita harus bebas daripada penjajahan budaya yang datang bersama-sama unsur negatifnya.
Dr Anwar Ridhwan ialah Sasterawan Negara dan Dekan Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA. E-mel di rencanabh@bharian.com.my untuk berkongsi pendapat. Berita Harian Online Agama 19/03/2013