kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kad laporan kesejahteraan rakyat

ADAKAH rakyat benar-benar merasai transformasi selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih tampuk pemerintahan negara empat tahun yang lalu? Atau rakyat lebih merasai reformasi yang dibawa oleh pakatan pembangkang selepas berjaya buat pertama kalinya dalam sejarah politik negara menafikan majoriti 2/3 kerusi Parlimen Barisan Nasional (BN) dengan menguasai beberapa negeri di Malaysia?

Perbandingan inilah yang perlu dilakukan oleh rakyat untuk melihat sejauh manakah sebuah kerajaan dan para pemimpinnya benar-benar berkhidmat untuk rakyat dan bukannya berkuasa demi keluarga dan rakan-rakannya sahaja.

Rakyat kini semakin bijak untuk membuat perbandingan. Rakyat tidak mahu sebuah kerajaan atau pemimpinnya hanya pandai berkata-kata tetapi tidak memenuhi harapan rakyat. Usah berikan harapan menggunung kepada rakyat kalau tidak mampu melakukannya.

Memerintah negara melibatkan kemakmuran. Memerintah negara juga tertumpu pada soal keselamatan. Kesemuanya ini hanya untuk kesejahteraan rakyat. Jadi, rakyat akan sentiasa memantau sama ada BN atau pembangkang yang lebih membawa kesejahteraan kepada rakyat.

Setakat ini, Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN telah membentangkan kad laporan sepanjang beliau menerajui negara. Intipati utamanya adalah gagasan transformasi beliau sejak memegang tampuk pemerintahan negara. Model Baru Ekonomi (MBE), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang menjadi gagasan utama Najib berteraskan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Menurut angka-angka terkini, banyak perkara menunjukkan kualiti kehidupan rakyat semakin baik. Pendapatan per kapita negara meningkat kepada AS$9.970 dan pendapatan isi rumah meningkat kepada RM5,000 pada 2012 berbanding hanya RM4,025 pada 2009.

Kadar inflasi negara juga serendah 1.2 peratus, satu angka yang tidak membimbangkan rakyat untuk berbelanja lebih dengan kuasa beli yang semakin meningkat. Melalui gagasan 1Malaysia, pelbagai produk 1Malaysia dilancarkan. Antaranya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang akan dijadikan inisiatif tahunan, Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA), Klinik 1Malaysia dan Menu Rakyat 1Malaysia. Objektif utama produk-produk 1Malaysia ini dilancarkan adalah untuk mengurangkan kos sara hidup.

Selain menangani kos sara hidup rakyat, terdapat enam lagi inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Keenam-enam NKRA ini adalah bidang tumpuan utama yang didambakan oleh rakyat.

Sekali lagi sejauh manakah kesemua NKRA ini telah mencapai matlamat untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat? Najib memperjelaskan satu persatu sama ada ia telah berjaya mencapai sasaran atau masih lagi dalam proses untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

Sebagai contoh, NKRA kelima berkaitan mempertingkatkan pengangkutan awam bandar yang mana penambahbaikan sedang dilaksanakan, maka rakyat yang menetap di bandar masih belum merasai sepenuhnya kualiti pengangkutan awam. Pembinaan pengangkutan awam melibatkan masa yang panjang dan tidak boleh disiapkan dalam tempoh empat tahun sahaja.

Jadi, sukar untuk rakyat memberi sebarang ulasan terhadap sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ini kalau ia sedang dilaksanakan. Sesuatu program itu hanya boleh dikatakan berjaya atau gagal selepas program itu tamat tempohnya dan rakyat merasainya sendiri.

Kegagalan sesuatu program akan membuatkan rakyat berasa tidak puas hati dan mana-mana kerajaan perlu berhati-hati agar setiap wang rakyat dibelanjakan secara sistematik dan tiada berlakunya pembaziran dan penyelewengan.

Pembentangan kad laporan transformasi oleh Najib membuka lembaran baru kepada ahli-ahli politik Malaysia agar berusaha gigih untuk membawa kesejahteraan kepada rakyat.

Mungkinkah selepas ini setiap negeri termasuk yang dikuasai oleh pembangkang akan membentangkan kad laporan masing-masing? Pendekatan sebegini lebih baik kerana rakyat boleh membuat perbandingan secara jelas bahawa mana-mana parti politik dan kerajaan telah benar-benar membuat kerja demi kesejahteraan rakyat.

Persoalan di sini, sanggupkah setiap kerajaan negeri membentangkan kad laporan masing-masing dan membandingkan manifesto yang diuar-uarkan semasa Pilihan Raya Umum Ke-12? Masing-masing perlu tonjolkan kejayaan yang telah dilakukan bagi membolehkan rakyat membuat penilaian sendiri sama ada apa yang dibentangkan benar-benar dirasai oleh rakyat.

Rakyat yang rasional tidak mahu lagi pelbagai tuduhan dan tuding jari ke arah pihak lain atas kegagalan program untuk rakyat kerana ia menggambarkan bahawa seolah-olah diri sendiri tidak melakukan kerja sebaik mungkin demi kesejahteraan rakyat.

Jika ketelusan yang sering diuar-uarkan oleh ahli-ahli politik, maka sudah sampai masanya setiap program dan manifesto yang dilancarkan sebelum ini diuar-uarkan kepada rakyat kejayaannya bagi menunjukkan komitmen ketelusan ahli-ahli politik.

Rakyat ingin juga melihat sejauh manakah kejayaan yang telah dibawa oleh pembangkang bagi setiap negeri yang diperintah mereka. Sekiranya kejayaan yang dicapai oleh mereka lebih baik berbanding BN, maka pastinya rakyat tidak teragak-agak memilih mereka sebagai pemerintah. Justifikasinya cukup mudah, rakyat akan membuat perbandingan kerajaan manakah yang benar-benar membantu mereka ketika susah dan mempunyai visi yang realistik untuk memacu kejayaan negara.

Pembentangan kad laporan kesejahteraan rakyat membuktikan bahawa ahli-ahli politik bukan sekadar manis di mulut tetapi mengotakan janji kepada rakyat. Barulah, sesebuah kerajaan itu dilihat benar-benar berjuang demi kesejahteraan rakyat.



Utusan Malaysia Online Rencana 21/03/2013
Tags: nkra, transformasi
Subscribe

  • Langkah Kajang', langkah malang

    ARENA politik pasti mencatatkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang sebagai 'satu sejarah hitam' dalam politik negara. Bermula…

  • Demokrasi PKR yang tercalar

    Aduan Bantahan Pemilihan Paling Banyak Dalam Sejarah Politik Malaysia Jika pada pemilihan lepas terdapat 160 aduan rasmi daripada ahli dan…

  • All-out war for the big post

    The earth has been rumbling under the feet of Tan Sri Khalid Ibrahim as speculation grows that Selangor may soon be getting a woman Mentri Besar.…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments