kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

LINUS bantu kuasai asas literasi, numerasi

100 peratus murid ikuti program perintis 2010 dapat kuasai 3M

Putrajaya: Program Literasi dan Numerasi (LINUS) yang diperkenalkan Kementerian Pelajaran berjaya apabila 100 peratus murid yang melalui saringannya sejak 2010 berjaya menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi.

Daripada 445,042 murid Tahun Tiga pada 2012 yang melalui saringan program berkenaan di 7,723 sekolah rendah seluruh negara sejak tiga tahun lalu, 99.84 peratus berjaya menguasai kemahiran literasi manakala 99.92 peratus sudah boleh menguasai kemahiran numerasi.

Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran, Shamsuri Sujak, berkata program LINUS juga membantu kementerian mengenal pasti murid berkeperluan khas yang mengalami kekangan tertentu seperti masalah pembelajaran, pertuturan, pendengaran, penglihatan, terencat akal, deria dan fizikal.

Sembilan saringan

“Pencapaian itu dianggap kejayaan membanggakan berikutan angkanya menepati sasaran kementerian iaitu 100 peratus murid kohort pertama berjaya menguasai kemahiran berkenaan sebelum memasuki Tahun Empat pada 2014 kecuali murid berkeperluan khas.

“Mereka semua mengikuti sembilan saringan secara keseluruhan membabitkan tiga tapisan setiap tahun dan diberi penekanan terhadap kemahiran 3M dalam Bahasa Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pejabat Pengurusan Pelaksanaan Kementerian Pelajaran, Dr Noorliza Zakuan, berkata kementerian melaksanakan LINUS 2.0 sebagai usaha berterusan bagi memastikan semua murid dapat menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira apabila memasuki Tahun Tiga.

Katanya, LINUS 2.0 adalah program pemantapan dan penambahbaikan LINUS pertama yang diperkenalkan kementerian pada 2010.

Jelas beliau, berdasarkan amalan sebelum ini, kementerian akan melakukan saringan sebanyak tiga kali tetapi menerusi LINUS 2.0 semua murid tahap satu hanya perlu menduduki dua peringkat saringan.

“Semua murid, sama ada yang sudah atau belum menguasai literasi dan numerasi, wajib menjalani ujian saringan LINUS 2.0. Pada masa ini, saringan lisan bahasa Malaysia akan berjalan dari 10 hingga 15 Mei, manakala penulisan pula mulai 20 hingga 30 April ini.

“Bagi Bahasa Inggeris pula ujian saringan akan dijalankan menjelang akhir Mei depan bagi kita memperoleh data asas untuk mengetahui sejauh mana tahap penguasaan bahasa kedua dalam kalangan semua murid.

Program pemulihan

“Bagi LINUS 2.0, kita memastikan murid yang tidak menguasai Bahasa Inggeris dimasukkan ke program pemulihan secepat mungkin (seawal Tahun Satu) selepas dikesan mempunyai masalah pembelajaran,” katanya.

LINUS diperkenalkan kementerian pada 2010 dengan sasaran memastikan semua murid kecuali yang bermasalah pembelajaran dan pendidikan khas, boleh menguasai literasi dan numerasi sebaik memasuki Tahun Empat.

Menerusi program LINUS, murid digalak mencapai standard literasi dan numerasi pada tiga tahun pertama sekolah rendah bagi mengupayakan mereka mengikuti kurikulum persekolahan pada tahun berikutnya, tidak hilang minat atau tercicir dalam pelajaran pada peringkat seterusnya.

Sejak LINUS diperkenalkan, kementerian berjaya mewujudkan pangkalan data lengkap mengenai profil literasi dan numerasi murid mengikut kelas, sekolah, daerah dan negeri di seluruh negara.

Sasar 100 peratus

Data ini penting bagi memastikan semua murid tahap satu memiliki kemahiran asas membaca dan mengira pada peringkat awal supaya mereka boleh berdepan dengan kurikulum sekolah yang semakin mencabar pada tahun berikutnya.

Mengulas lanjut, Dr Noorliza berkata kementerian mensasarkan kadar 100 peratus literasi dan numerasi melalui Program LINUS bagi semua murid Tahun Tiga sekolah rendah di negara menjelang penghujung tahun ini.

Bagaimanapun, tegas beliau, jumlah itu tidak termasuk murid yang bermasalah pembelajaran. Antara masalah yang mungkin menghalang pencapaian sasaran 100 peratus ialah ponteng kelas dan kelainan pembelajaran.

“Semua murid tahap satu dikehendaki menjalani proses saringan literasi dan numerasi tiga kali setahun supaya bantuan segera dapat diberikan bagi mengelakkan berlaku keciciran dalam pembelajaran,”
katanya.

Haika Khazi | bhnews@mediaprima.com.my Berita Harian Online Nasional 19/04/2013
Tags: linus
Subscribe

  • Mat Kelubi pahlawan yang dilupakan

    MENGKAJI sejarah perjuangan gerakan menentang campur tangan Inggeris dalam pemerintahan negeri Pahang pada hujung abad ke-19, ia tidak lengkap jika…

  • Mengenang tokoh pendidikan berjasa

    BUKU ditulis oleh bekas Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), Khailani A. Jalil, adalah mengenai latar belakang 15 Ketua Pengarah…

  • Zaaba pencetus kebangkitan Melayu

    ZAABA atau nama asalnya Zainal Abidin Ahmad, seorang tokoh ilmuwan yang sangat dikenali rakyat dan mendapat sanjungan sebagai seorang pendeta.…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments