kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Mengutip pengalaman sebagai warga Cambridge

DALAM hidup ini kita tidak boleh dapat kesemuanya. Kerap kali kita perlu melepaskan sesuatu untuk mendapatkan sesuatu yang lain.

Pepatah Inggeris ada menyebut; “You win some, you lose some."

Tidak pasti siapa yang mula-mula menciptanya namun ungkapan ini telah diulang berkali-kali malah dengan pelbagai tambahan kata. Antara yang popular;

“You win some, you lose some. But you live, you live to fight another day." - Mr. Jones.

“You win some, you lose some, and some get rained out, but you gotta suit up for them all." - Askenberg, J.

Yang pasti, ungkapan ini menekankan tentang perlunya kita tabah menghadapi apa jua cabaran dan rintangan yang mendatang.

Peluang mengikuti program Wolfson Press Fellowship di Universiti Cambridge, United Kingdom (UK) tajaan Khazanah Nasional Berhad bagai mengesahkan ungkapan itu.

Berlepas pada 12 April lalu dari KLIA ke lapangan terbang Heathrow untuk program selama 10 minggu itu bermakna penulis terpaksa berjauhan daripada keluarga dan rakan-rakan sepanjang tempoh itu.

Peluang itu juga rupa-rupanya menyebabkan penulis terpaksa melepaskan hak sebagai pemilih berdaftar untuk mengundi dan (lebih penting sebagai wartawan) membuat liputan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), yang digelar sebagai ibu segala pilihan raya.

Walaupun tahu yang program penggal Easter itu akan bermula April, teka-teki mengenai tarikh pilihan raya sejak akhir tahun lepas membuatkan penulis masih menaruh harapan mungkin sempat untuk mengundi sebelum berlepas ke UK. Ditambah pula dengan pelbagai ramalan tarikh oleh pengamal dan penganalisis politik kononnya PRU-13 `mesti’ diadakan sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pertama pada akhir Mac, kemudiannya dikatakan sebelum penggal Parlimen berakhir pada 8 April, malah ada yang `berani’ meramalkan tarikh membuang undi pada 11 Mei dan pembentukan kerajaan pada detik 13 Mei.

Hakikatnya semua ramalan meleset. Perdana Menteri yang mempunyai kuasa mutlak telah lama memilih tarikh pembubaran Parlimen genap lima tahun beliau mengetuai kerajaan.

SPR lantas memilih 20 April untuk tarikh penamaan calon manakala 5 Mei hari pengundian.

Segalanya telah tertulis di Loh Mahfuz.

Penulis terlepas peluang menyertai rakan-rakan wartawan berjuang dalam medan pertandingan politik tanah air yang dikatakan paling mencabar tetapi diberi kesempatan menimba ilmu dan mengutip pengalaman sebagai warga Cambridge - nama yang cukup gah dalam kalangan akademia.

“You lose some, you win some."

Bersama wartawan The Star, Cecilia dan Firdaus daripada Khazanah, yang juga terpilih mengikuti program sama, ketibaan kami disambut kesejukan dengan suhu 7 darjah Celsius, walaupun London mengikut kalendar sepatutnya sudah pertengahan musim bunga dan memasuki musim panas.

Perjalanan hampir tiga jam menaiki bas dari Heathrow ke Cambridge, selepas 13 jam penerbangan terus dari KLIA, membuatkan penulis terlelap. Suara lantang pemandu bas mengingatkan penumpang supaya memakai tali pinggang keledar (yang kini termaktub di bawah undang-undang Britain sejak November tahun lalu) setiap kali berhenti di stesen ketika menurun dan mengambil penumpang, bagaimanapun membuatkan penulis kerap kali tersentak.

Kurang faham

Perhentian Cambridge, sebelum bas meneruskan perjalanan ke destinasi terakhirnya di Norwich, rupa-rupanya hanyalah di tepi jalan (Parker St. Parkside). Sambil mengheret beg besar masing-masing, kami perlu berjalan kira-kira 50 meter sebelum dapat menaiki teksi dari perhentiannya ke Kolej Wolfson di Barton Road.

Seorang senior yang telah mengikuti program sama tetapi dengan penaja lain, pernah berkata kepada penulis yang, “Kau tak akan jumpa Universiti Cambridge di Cambridge". Ketika itu penulis kurang faham maksudnya.

Hakikatnya terdapat 31 kolej di Cambridge, yang masing-masing mempunyai pentadbiran sendiri. Anda perlu menjadi penuntut salah satu kolej ini sebelum boleh bergelar warga universitinya.

Antara kolej ternama dan popular, King‘s College berusia lebih 550 tahun yang dibina oleh King Henry VI, Trinity, Corpus Christy, Queen, Downing dan Clare.

Naib Presiden Kolej Wolfson yang juga Pengarah Press Fellowship Programme, John Naughton menggambarkan kolej-kolej ini sebagai tribes atau puak-puak yang terdapat di Cambridge. Masing-masing dengan identiti tersendiri.

Wolfson antara ‘puak’ paling baru di Cambridge iaitu baru mencecah usia 50 tahun. Mungkin sebab itu, Wolfson dilihat antara kolej yang paling terbuka, bukan sahaja dari segi menerima kemasukan pelajar asing bahkan dalam soal protokol antara para profesor atau supervisor dengan pelajarnya.

Buktinya, John Naughton sendiri enggan dipanggil profesor sebaliknya mahu dikenali dan disapa hanya dengan namanya, John. Beliau juga menamakan peserta program Press Fellowship sebagai mature student atau pelajar matang.

Keadaan terbuka di Wolfson ini tidak sama dengan kolej-kolej lain. Contoh nyata, tidak ada ‘High Table’ di Wolfson.

Warga Wolfson, baik profesor, penyelia, felo mahupun pelajar matangnya duduk makan di meja yang sama. Seboleh mungkin warga Wolfson digalakkan makan pagi, tengah hari dan malam di dewan makan (di mana gajet seperti telefon bimbit tidak dibenar digunakan).

Tradisi ini ditekankan agar masing-masing dapat berinteraksi antara satu sama lain ketika menghadap hidangan dan menjalin rapport dengan sesiapa sahaja yang duduk di sebelah atau di hadapan anda.

Menurut John, anda tidak tahu rakan sekolej hari ini mungkin nama besar dunia, pada masa depan. Atau orang yang makan di sebelah anda hari ini, bakal menjadi pemimpin besar di negara asalnya suatu hari kelak.

Maklum sahaja, Wolfson menerima masuk ramai pelajar dari pelbagai negara dengan berbagai-bagai latar belakang. Setidak-tidaknya anda mungkin duduk di sebelah John, kolumnis The Observer, penulis buku From Gutenberg to Zuckerburg yang diiktiraf sebagai sejarawan teknologi.

Semalam, penulis duduk makan tengah hari di sebelah Dr. Sammy Assefa dari Ethiopia yang baru sahaja melengkapkan kajian doktor falsafahnya (Ph.D) mengenai mutasi nyamuk yang membawa malaria.

Di hadapan penulis, Edward Johnson, felo penyelidik kanan Wolfson, yang juga pakar linguistik iaitu orang yang bertanggungjawab mereka cipta bahasa radio maritim antarabangsa, SeaSpeak dan banyak lagi aplikasi interaktif seperti LinguaNet, Linitext, PoliceSpeak dan Intacom, rancak bercerita tentang pengalamannya mengajar di Iran.

Siapa pula yang akan duduk semeja dengan penulis hari ini? Penulis benar-benar teruja.

Marhaen dari Cambridge Utusan Malaysia Online Rencana 21/04/2013
Tags: cambridge, universiti
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments