kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pasukan terbaik untuk rakyat

BAK kata pepatah Melayu, ‘Di mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.’

Demikianlah dirasai apabila berbicara dengan DATUK MUKHRIZ TUN DR. MAHATHIR yang pemikirannya sarat dengan idea bernas dan segar pembangunan sebagaimana diwarisi daripada sifat kepimpinan bapanya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang membawa negara ke puncak kegemilangan.

Ketika ditemui oleh wartawan, SAHBULAH DARWI dan jurugambar, KAMAL BASIR di Titi Gajah, Alor Setar baru-baru ini, Mukhriz yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam memberikan sebab mengapa Kedah perlu dipulangkan kepada BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini untuk masa depan yang jauh lebih baik kepada rakyat dan negeri.

MINGGUAN: Daripada Parlimen Jerlun kini berpindah ke DUN Ayer Hitam, bagaimana Datuk melihat cabaran dan peluang BN di Ayer Hitam?

MUKHRIZ: Saya rasa ini satu perubahan yang agak drastik bagi saya sendiri, yang pertamanya kerana kalau dulu saya menjadi wakil rakyat di Parlimen kemudian dilantik pula sebagai Timbalan Menteri di peringkat Persekutuan. Tetapi kali ini saya bertanding di negeri yang kalah dan kerusi yang kalah. Saya tiada pilihan melainkan memastikan menang kerusi ini sebagai wakil BN dan memenangkan BN di negeri Kedah. Tentu ia satu cabaran yang agak getir, tetapi saya sudah bersedia menghadapi sejak setahun lepas. Dan dari segi persiapan mental itu pun sudah pada tahap yang tinggi dan sekarang ini cuma nak melaksanakan amanah yang diberikan oleh Pengerusi BN.

Dari segi peluang, saya tak lihat bahawa semuanya bergantung kepada kempen selama dua minggu dari 20 April hingga 5 Mei iaitu hari mengundi. Sebaliknya daripada dalam tempoh lima tahun sebelum ini kita gunakan sebaik mungkin untuk memberi khidmat yang terbaik di seluruh Parlimen Jerlun. Dalam tempoh waktu itu, kita tak mengabaikan amanah yang diberikan oleh rakyat, dan kita ambil masa itu untuk benar-benar memahami apa yang dikehendaki oleh rakyat kawasan itu. Daripada kunjungan kita berjumpa dengan segenap lapisan masyarakat di Jerlun, kita memikirkan cara terbaik untuk selesaikan masalah yang dikemukakan itu. Saya akui walaupun tidak semuanya dapat diselesaikan tetapi banyak juga yang sudah kita buat, dan yang penting sekali rakyat dapat lihat keikhlasan kita untuk menggalas tugas itu. Ini amat berbeza dengan prestasi perkhidmatan yang ditunjukkan ADUN Ayer Hitam sebelum ini walaupun bergelar exco kerajaan negeri nampaknya telah mengecewakan rakyat di DUN itu. Jadi yang kita harapkan ialah rakyat dapat menilai prestasi kerja oleh seluruh pihak sama ada BN atau pakatan pembangkang. Kemudian membuat keputusan daripada penilaian itu siapa yang lebih layak untuk memenuhi segala cita-cita dan aspirasi pengundi.

Apakah rumusan Datuk terhadap calon-calon BN Kedah?

MUKHRIZ: Secara keseluruhan ia satu pasukan yang mewakili pelbagai pihak dari segi usia. Dalam kalangan orang lama yang banyak pengalaman dan ini amat penting dalam soal pentadbiran negeri dan perkhidmatan kepada rakyat. Itu pertama. Mereka diganding dengan muka-muka baharu yang mempunyai kelayakan untuk memikirkan soal pendekatan baharu yang boleh kita gunakan untuk membangunkan negeri Kedah. Maksud saya, kita bukan hanya lihat kepada soal penyelesaian masalah tetapi juga merangka perancangan jangka masa panjang untuk mengangkat Kedah ke tahap pembangunan yang dapat memberi manfaat kepada rakyat. Itu gandingan yang amat penting sekali.

Yang kedua, kita ada juga wakil daripada masyarakat wanita yang agak ramai kali ini berbanding dahulu, mereka menunjukkan satu kesungguhan dalam menabur bakti kepada rakyat. Ada perkara tertentu yang mereka lebih cekap berbanding kaum lelaki. Ini satu pengiktirafan kepada mereka dan kita lihat mereka perlu terlibat secara langsung dalam soal pentadbiran negeri terutama dalam soal berkaitan wanita.

Selain itu, kita juga ahli-ahli akademik yang perlu didedahkan kepada situasi sebenar. Saya lihat bahawa beberapa orang yang kita pilih bukan orang yang hanya faham mengenai teori tetapi sudah ada pengalaman praktikal. Kalau ditambah dengan pendedahan secara langsung tentang isu-isu semasa di Parlimen, mewakili rakyat di kawasannya sendiri, jadi dari situ dia dapat menggandingkan pemikiran ilmiah dengan sesuatu yang praktikal yang datang dari rakyat dan dibawa ke Parlimen. Ini satu kombinasi yang amat berkesan dan membantu BN untuk melakukan yang terbaik untuk rakyat.

Dikatakan calon-calon BN di peringkat DUN pula menggambarkan pasukan untuk mentadbir negeri, apa pandangan Datuk?

MUKHRIZ: Kita fikirkan juga mengenai siapa agaknya boleh memikul tanggungjawab dalam beberapa aspek dalam pentadbiran negeri. Walaupun begitu kita nak cuba tarik seramai mungkin untuk bersama dengan kita untuk menubuhkan satu pasukan yang dianggotai oleh wakil-wakil rakyat. Tetapi saya lihat antara yang paling berupaya untuk membantu melonjakkan atau melaksanakan dasar kerajaan negeri itu ialah golongan perkhidmatan awam (KCS) yang tersohor. Mereka golongan yang siang malam tidur dan berjaga semata-mata untuk Kedah. Jadi mereka dipilih daripada kalangan yang mempunyai kelayakan akademik yang tinggi. Mereka terlibat secara langsung dalam segala perkara mengenai pentadbiran negeri ini. Saya amat perlukan perkhidmatan terbaik daripada mereka. Ini yang saya anggap sangat penting.

Kadang kala kita cepat hendak menggunakan pakar runding luar untuk menasihati kita tentang apa yang boleh kita lakukan di sesuatu negeri. Ya, mungkin mereka mempunyai idea baru tetapi yang saya lihat banyak juga maklumat mereka ambil daripada orang tempatan. Orang yang turun padang akan tahu keadaan sebenar dan faham kehendak rakyat. Saya yakin KSC mempunyai keupayaan itu tanpa kita perlukan harapan daripada luar.

Berbalik soal calon, ada segelintir pihak berpendapat satu atau dua calon tidak menepati kehendak pengundi. Apakah faktor yang dipertimbangkan untuk pemilihan calon di Kedah?

MUKHRIZ: Kita ada 15 kerusi Parlimen dan 36 kerusi DUN. BN negeri telah menghantar tiga nama bagi setiap kerusi, maksudnya 45 nama untuk Parlimen dan 108 nama untuk DUN iaitu tiga kali ganda bilangan kerusi yang ada. Dan kita akan pilih seorang sahaja daripada tiga orang iaitu 36 orang daripada 108 orang, maka ada 72 orang yang tidak terpilih. Jadi sudah tentu kadang-kadang timbul isu ada yang kecewa kalau tak dipilih dan pelbagai reaksi, ada yang agak beremosi dan ada tenang menerima keputusan. Saya anggap setiap seorang daripada mereka itu sebenarnya ikhlas ingin berjuang bersama-sama dalam barisan untuk menjaga kepentingan rakyat. Jadi, dalam keghairahan dia untuk berjuang ini bila dia lihat bahawa pilihan sebagai calon itu sebagai satu pentas untuk dia aktif dalam bidang politik ini, tiba-tiba tak dipilih, jadi dia macam terhilang arah sekejap.

Mesej yang saya nak sampaikan kepada mereka ialah pelbagai cara boleh kita memberi khidmat untuk rakyat dan menjadi wakil rakyat cuma salah satu caranya. Yang keduanya, setiap seorang daripada kita adalah calon BN, yang dipilih itu sekadar wakil kita semua untuk diletakkan nama bertanding dalam pilihan raya, berdepan kepada rakyat dan bersaing dengan lawan kita. Tetapi kemenangan atau kegagalan dalam proses demokrasi ini adalah kemenangan atau kegagalan bagi setiap anggota jentera, ahli dan penyokong BN. Dan dalam laporan terbaharu kita terima, sebahagian besar nama yang sebelum ini dicanang sebagai calon yang akhirnya tidak dipilih sudah menerima hakikat dan telah menunjukkan satu komitmen tinggi untuk memenangkan calon. Apabila mereka tetap setia kepada parti dan bersama dalam pasukan kita, kita semua akan dapat nikmat secara langsung atau tidak langsung, maksud saya perancangan ke depan bagi Kedah sudah tentu bertujuan untuk mereka juga kerana mereka juga adalah rakyat kedah.

Boleh Datuk berikan sebab ringkas kenapa rakyat perlu menyokong BN dalam PRU-13 ini?

MUKHRIZ: Pertamanya untuk membangunkan sebuah negeri ini nampak macam mudah, maksudnya kalau ada satu pelan, daya gerak kita boleh lakukan. Tetapi sebenarnya semua kena sempurna, kalau kita gunakan analogi bawa kereta. Pemandu kena sihat, tahu macam mana nak hidupkan enjin kereta, sebelum berjalan kena pastikan cermin tepi dan belakang sudutnya betul, tahu macam mana nak tekan clutch, tekan brek, gear satu dulu, dan pelan-pelan tekan minyak, selain itu kena tahu nak pergi mana, sekali-sekala menoleh ke belakang tengok cermin maksudnya ingat daripada mana kita datang, kena tengok cermin tepi untuk elak bahaya dan mesti ada daya gerak ke hadapan. Maksudnya selain ada hala tuju mesti ada momentum. Di sini terletak masalah kerana lima tahun di bawah Pas. Kita hilang hala tuju maksudnya penting untuk kita tarik balik Kedah ini ke jalan sepatutnya dan keduanya, kita hilang daya gerak untuk maju ke hadapan. Momentum dah tak ada. kalau dulu kita dah gear empat sekarang kena mula balik dengan gear satu dan dua. Walaupun ada orang bercakap ‘...alah kalau tak suka kerajaan tukarlah... kalau tak bagus tukar balik... kuasa di tangan rakyat.’

Itu kata-kata orang yang tak fikirkan soal bagaimana satu negeri atau negara itu ditadbir, kerana bila dah ada momentum, tiba-tiba tarik brek nak start balik tu dah payah, saya ingat lima tahun cukup untuk menyedarkan kita semua, bahawa orang yang memandu itu iaitu pemimpin mesti tepat orangnya, mesti berlesen, jangan orang yang tak layak mendapat lesen, kenderaannya iaitu kerajaan itu sendiri mesti dalam keadaan yang baik, bukan rosak, kemek, isian minyak cukup untuk lancarkan perjalanan, penumpang iaitu rakyat bersama dengan pemimpin sampai ke destinasi. Ini semuanya penting, bayangkanlah dalam tempoh lima tahun ini walaupun dah masuk pilihan raya, tetapi cabaran nak mula semula itu masih ada, kita kerugian selama lima tahun. kita nak tarik balik negeri ke landasan yang asal dan kena pecut secepat mungkin.

Yang kedua, BN mempunyai harapan yang tinggi untuk membawa pembangunan kepada negeri Kedah, bukan tujuan syok sendiri atau kerana orang pun tahu BN parti pembangunan. Tetapi tujuannya semata-mata untuk mengangkat martabat dan kualiti hidup rakyat. Kedah terkenal dengan negeri jelapang padi, 70 peratus rakyat terlibat dalam pertanian khususnya padi tetapi malangnya ia bukan industri yang mampu melonjakkan pendapatan orang-orang terlibat, lebih-lebih lagi masyarakat petani. Walaupun mungkin sudah ada negara seperti Jepun, Amerika Syarikat yang mempunyai pesawah padi yang kaya raya tetapi tidak di Malaysia, dan kita ada beberapa perkara yang perlu kita buat. Pertama, kita tingkatkan hasil padi agar petani tidak sekadar kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang tetapi ada lebihan untuk simpan dan belanja, jadi naiklah taraf hidup itu.

Tetapi selain itu, kita nak fikirkan apa selain pertanian konvensional yang boleh kita lakukan ialah meningkatkan pendapatan rakyat, yang saya fikir ialah industri, pelaburan domestik dan asing yang boleh kita bawa ke Kedah ini. Bukan setakat memberi peluang pekerjaan untuk anak Kedah tetapi ia mesti berpendapatan tinggi selain dapat bantu pertumbuhan ekonomi. Ada banyak lagi kesan sampingan positif, berkait juga dengan pembangunan modal insan. Kita tak mahu industri canggih, orang luar pula datang ke Kedah, walaupun itu perkara positif. Bila populasi meningkat dan kegiatan ekonomi semakin rancak tetapi seboleh-bolehnya rakyat Kedah itu sendiri mesti mendapat manfaat daripadanya. Maksudnya dalam soal pembangunan modal insan, sistem latihan kini memenuhi keperluan industri itu. Ini pernah kita lakukan di Taman Teknologi Tinggi Kulim jadi boleh kita buat di tempat baru.

Seterusnya ialah keikhlasan. Ini amat penting kita ikhlas berkhidmat dan berjuang untuk rakyat semata-mata kerana Allah. Itu yang saya sentiasa peringatkan diri saya kerana inilah yang menyedarkan kita bahawa hidup kita di muka bumi ini adalah untuk memenuhi satu tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah. Ia satu amanah yang agak berat untuk dipikul dan ia perlu banyak pengorbanan. Bukan senang nak lakukan tetapi kalau kita faham bahawa pokok perjuangan kita itu ialah untuk Allah, saya percaya kita tidak akan tergamak untuk melakukan perkara-perkara yang tak elok, kita tak berani untuk pecah amanah dan saya fikir apa pun persepsi orang, kalau keikhlasan itu yang kita lakukan maka kita akan maju ke hadapan dan rakyat juga akan mengiktiraf kerja buat kita itu dan sentiasa menyokong kita dalam amalan demokrasi kita itu.

Manifesto Aku Janji BN Kedah amat menarik, boleh jelaskan serba sedikit perancangan BN jika mentadbir semula Kedah?

MUKHRIZ: Dalam manifesto ini, kita betul-betul memikirkan apa yang dianggap penting bagi negeri Kedah sebagai tambahan apa yang dilancarkan oleh Pengerusi BN bagi seluruh Malaysia. Yang ini lebih khusus bagi Kedah mengambil kira keunikan negeri ini, melihat kelebihan yang kita ada, soal pertanian, pelancongan dan modal insan. Selain itu, kita lihat di mana kita terbelakang dan lemah dan bagaimana hendak perbaiki keadaan itu. Bila kita merangkumi semua perkara ini, kita lihat apa yang BN mampu lakukan untuk meletakkan Kedah sama tinggi sama rendah dengan negeri lain. Itu tujuannya.

Selain itu, yang penting ialah soal menepati janji. Manifesto ini bukan satu dokumen yang hanya sekadar menabur janji yang bukan-bukan, yang tidak berpijak di atas bumi yang nyata, tak janjikan langit dan bulan sebaliknya kita cukup berhemah dalam soal apa yang termampu untuk kita lakukan. Kita tak janji lebih daripada kemampuan. Walaupun begitu kita yakin apa yang kita sebut dalam dokumen ini semuanya mampu kita buat. Bukan setakat itu, sudah ada gerakan untuk melaksanakan walaupun dalam keadaan kita belum menang pilihan raya. Ini bertujuan untuk mendahulukan rakyat. Jadi saya idam-idamkan sebuah negeri Kedah yang maju, membangun dan memberi pelbagai keselesaan kepada rakyatnya. Itu semua terkandung dalam dokumen akujanji ini.

Akhir sekali apa harapan dan nasihat datuk kepada pengundi pada hari membuang undi?

MUKHRIZ: Saya yakin mereka rasional dalam membuat pemilihan, mereka tidak terlalu terganggu dengan tohmahan tidak berasas. Mereka kena ingat untuk lihat wajah anak cucu mereka apabila mereka berdepan dengan kertas undi itu sebelum mereka pangkah dan mereka faham bahawa perjuangan BN adalah perjuangan kita bersama. Ini bukan untuk kepentingan mana-mana individu atau kumpulan sahaja tetapi untuk segenap lapisan masyarakat untuk seluruh rakyat Malaysia, untuk seluruh rakyat Kedah.

Ini sangat penting dan bukannya perkara remeh. Kalau pun ada berlegar dalam pemikiran setengah orang kalau tak suka boleh ubah lima tahun lagi, tapi sebenarnya ia tak macam itu. Kita sudah rasa bahawa sejak 2008 kita terhenti dalam arus pembangunan, ini amat merugikan kita semua.



Utusan Malaysia Online Rencana 21/04/2013
Tags: pilihanraya
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments