kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pengiktirafan guru muda

Putrajaya: Buat pertama kali, sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan pada 16 Mei ini akan memberi pengiktirafan kepada guru dalam kalangan golongan muda yang berjaya meningkatkan imej Kementerian Pelajaran dan negara di peringkat antarabangsa.

Anugerah dikenali sebagai Ikon Guru akan diberikan kepada lima guru yang memberikan sumbangan atau terbabit dalam program luar secara langsung menerusi bidang sukan, kesenian, pengajaran dan pembelajaran, ko-kurikulum serta kepemimpinan sama ada dalam atau luar negara.


Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Pembangunan Profesionalisme Keguruan) Datuk Dr Khair Mohamad Yusof (gambar) berkata, sebelum ini kementerian hanya memberi Anugerah Tokoh Kepimpinan dan Tokoh Guru saja, tetapi tahun ini terdapat kelainan dengan mengiktiraf guru muda sebagai Ikon Guru.

“Pemilihan tokoh guru dibuat berdasarkan pengalaman dan sumbangan, tetapi pada masa sama kita mahu mengiktiraf pencapaian guru yang ada sekarang, walaupun guru terbabit masih muda, tetapi jika dia terbabit dalam program atau aktiviti menaikkan imej negara serta sekolah kita akan mengiktiraf mereka.


“Tidak semestinya guru itu mesti seorang pakar dalam bidang tertentu, mungkin dia cikgu biasa, tetapi menjadi pengadil di peringkat dunia sehingga semua orang kenal kerana mengharumkan nama negara,” katanya di sini, semalam.


Anugerah Ikon Guru ini akan disampaikan Menteri Pelajaran pada pelancaran sambutan Hari Guru ke-42 di Stadium Tertutup Nilai, Negeri Sembilan dan pada majlis sama anugerah tokoh guru juga turut akan disampaikan kepada seorang Tokoh Guru Kepimpinan 2013; tiga Tokoh Guru Kebangsaan 2013 dan seorang Tokoh Guru Sekolah Swasta.

Khair berkata, tema sambutan Hari Guru tahun ini ialah ‘Guru Malaysia:1Aspirasi, 1Agenda’ apabila 1Aspirasi bermaksud semua guru di Malaysia mempunyai satu aspirasi untuk membangunkan sistem pendidikan berkualiti bertaraf dunia seperti dihasratkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Katanya, adalah menjadi tanggungjawab semua guru melahirkan murid mempunyai enam aspirasi iaitu berpengetahuan, kemahiran berfikir, memimpin, kemahiran dwibahasa, beretika dan kerohanian serta beridentiti nasional.


“1Aspirasi juga diterjemahkan kepada cita-cita murni PPPM iaitu ke arah sistem pendidikan negara yang memastikan akses kepada kejayaan, standard antarabangsa yang tinggi, ekuiti untuk semua murid, memupuk perpaduan dan pelaksanaan berkecekapan tinggi.

“1Agenda pula bermaksud semua guru berpegang satu agenda iaitu memastikan kejayaan PPPM dan mereka perlu berpegang teguh kepada etika profesion keguruan yang mempunyai satu agenda atau tugas utama melahirkan murid seimbang berdasarkan falsafah pendidikan negara,” katanya.


Menurutnya, pelaksanaan sambutan akan berkonsepkan futuristik dan inklusif (keterangkuman) iaitu menerusi pembabitan semua lapisan guru muda, senior, pesara guru dan pelbagai sektor termasuk ibu bapa, agensi swasta, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).


Katanya, konsep futuristik diketengahkan kerana PPPM 2013-2025 yang mengambil masa 13 tahun pelaksanaannya akan menumpu lima aspirasi sistem pendidikan negara dengan memberikan penekanan terhadap akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan.


“Pembabitan secara inklusif dalam satu sambutan pula bertujuan merapat dan mengukuhkan perpaduan serta interaksi bersama kerajaan khususnya kementerian untuk memacu arus Transformasi Pendidikan Nasional (TPN) seperti yang terkandung dalam PPPM.


“Malah, ia juga akan memartabatkan profesion keguruan menerusi peningkatan jati diri dan keilmuan sebagai pendidik, serta penghargaan dan pengiktirafan terhadap sumbangan dan pengorbanan guru mendidik anak bangsa,” katanya.


Beliau berkata, pelbagai program dan aktiviti akan diadakan sepanjang sambutan yang sudah bermula 30 April lalu sebagai prapelancaran sambutan diikuti bacaan Yassin, tahlil dan solat hajat Hari Guru hari ini (9 Mei) dan khutbah Jumaat Hari Guru di masjid seluruh negara.


Selain itu, katanya pameran pendidikan akan berlangsung dari 14 hingga 19 Mei di Kompleks Belia dan Sukan Paroi Seremban, Negeri Sembilan dijangka turut membabitkan pihak luar seperti sekolah amanah, teknologi maklumat dan komunikasi serta sekolah antarabangsa.


Katanya, pameran yang terbahagi kepada dua bahagian iaitu agensi dalam kementerian dan agensi serta pembabitan pihak luar adalah berbentuk penjelasan terhadap bidang dipamerkan, strategi digunakan untuk mencapainya serta hasil terhadap bidang berkenaan.


“Kita juga akan mengadakan dialog pembabitan ibu bapa, komuniti dan swasta dalam pendidikan bertujuan memberi penjelasan berhubung inisiatif bagi meningkatkan pembabitan ibu bapa dalam pembelajaran anak dalam dan luar sekolah untuk kecemerlangan masa depan negara.


“Satu lagi keistimewaan sambutan tahun ini ialah pelancaran Kad 1Guru Bank Simpanan Nasional- Yayasan Guru Malaysia Berhad (BSN-YGMB) yang ditawarkan kepada semua guru untuk menikmati diskaun serta mendapatkan kad kredit dengan kadar faedah 8.8 peratus berbanding 16 peratus,” katanya sambil menambah terdapat kira-kira 419,000 guru di seluruh negara.


Khair berkata, seramai 2,324 ahli kontinjen akan berkampung di Negeri Sembilan bermula 14 hingga 16 Mei yang terdiri daripada pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), guru muda, senior, guru pedalaman, asli dan integriti; pesara guru dan PIBG.


Selain pameran dan pelancaran terdapat juga majlis santai termasuk senamrobik guru, konsert sambutan Hari Guru, jamuan makan malam dan sepetang bersama Ketua Setiausaha kementerian.


Hayati Ibrahim myMetro Setempat 09/05/2013

Tags: guru
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments