?

Log in

No account? Create an account

Previous Entry | Next Entry

Shakespeare dan plot dendam

WILLIAM Shakespeare, adalah seorang daripada penulis kisah tragedi yang paling dikenali di dunia, diakui kemahirannya mencipta babak-babak drama paling tegang dan dianggap hanya dapat disaingi oleh penulis zaman purba Greek bernama Aeschylus.

Mempelajari karya Shakespeare amat sukar. Untuk mencapai kefahaman, seseorang itu harus memiliki minat mendalam dan keinginan membuak-buak. Bahasa Inggeris yang digunakan adalah adunan Inggeris klasik dengan ejaan sebelum zaman The Beatles.

Membaca Hamlet rasanya sama berat seperti menelaah Keluarga Gerilya karya Pramoedya Ananta Toer, hingga tergamak menyoal guru: mengapa kita harus mengkaji buku Indonesia, apakah sudah tiada karya penulis Malaysia? Soalan itu terpacul bukan didorong unsur patriotik tetapi lebih disebabkan ‘sulitnya mahu dimengerti bahasa Indonesia, Pak’.

Ungkapan dalam teks Hamlet yang paling terkenal ialah perenggan pertama: “To be, or not to be: that is the question". Terjemahan bebas : “Nak jadi atau tak: itulah persoalannya’.

Ayat Shakespeare tersebut adalah pernyataan terhadap inti pati karyanya yang sarat dengan elemen keganasan dan kematian, yang dipersetujui oleh ramai sarjana yang mengkaji semua karya beliau sebagai kesan tragik serta paling berkuasa sebagai alat kesusasteraan.

Beliau kebanyakannya menggunakan elemen membalas dendam kerana sifat ini adalah sangat semula jadi pada manusia yang begitu mendalam emosinya untuk menjurus ke jalan keganasan. Malah, sifat membalas dendam adalah sifat durjana manusia yang wujud pada setiap masa dan dengan memaparkan kesan timbal balik tragik akibat dendam yang membara, Shakespeare menyalurkan mesej yang sangat kuat kepada kemanusiaan.

Dendam secara umumnya digariskan sebagai tindakan keras terhadap seseorang atau kumpulan sebagai tindak balas daripada kemarahan, sama ada bersifat nyata atau tanggapan. Sifat ini juga diistilahkan sebagai payback (bayar balik), hukuman, tindak balas atau dendam. Ada yang menyifatkannya sebagai suatu bentuk keadilan, tindakan altruistik yang mengukuhkan keadilan sosial atau moral selain daripada sistem perundangan.

Ada pihak yang membahaskan bahawa sistem perundangan itu sendiri adalah suatu bentuk balas dendam tetapi berpaksi kepada konsep keadilan iaitu ‘kekerasan’ dibalas kepada penjenayah dalam bentuk hukuman iaitu penjara, sebat dan sebagainya.

Sistem perundangan Barat menyatakan matlamat utama mereka ialah untuk mengubah atau mendidik semula penjenayah. Dalam sistem tersebut, masyarakat dianggap sebagai mangsa kepada tindakan penjenayah, dan tanggapan bagi tindakan seumpamanya adalah bahagian terpenting dalam konsep keadilan iaitu penjenayah ‘membayar hutangnya kepada masyarakat’.

Dalam Islam, membalas dendam ditegah sama sekali. Misalnya jika seseorang didapati membunuh, orang lain diharamkan membalas dendam. Islam menggariskan syarat dalam isu ini dan kuasa khas tertentu sahaja dibenarkan mengambil tindakan sewajarnya. Islam menggalakkan toleransi meskipun berdepan dalam situasi pembunuhan.

Pada zaman feudal Jepun, masyarakat kasta Samurai mempertahankan maruah keluarga atau ketuanya dengan amalan pembunuhan dendam atau katakiuchi. Konsep ini sangat brutal kerana membabitkan pembunuhan dendam terhadap ahli keluarga individu yang melanggar peraturan. Menurut beberapa tulisan, konsep ini masih diamalkan di Jepun hari ini.

Di Itali, kumpulan jenayah terancang mafia dari dulu hingga ke hari ini, mengamalkan ‘vendetta’ iaitu hutang darah dibalas dengan darah. Saling berbalas bunuh ini berlarutan bertahun-tahun sehingga semua anggota keluarga mati.

Dalam filem mafia jugalah kita diperkenalkan dengan pepatah “revenge is a dish best served cold" (balas dendam adalah makanan terbaik disaji dingin) yang memberi gambaran bahawa adalah lebih memuaskan hati bila dendam itu dibalas terhadap sesiapa tanpa disedari atau dijangka atau diketahui.

Terdapat juga kaedah membalas dendam yang menggabungkan cara psikologi dan keagamaan. Misalnya seorang pembiaya yang gagal mendapat balik bayaran hutang daripada pemiutang. Lalu dilafazkannya ‘‘tidak halal dunia dan akhirat!’’. Seorang Muslim akan cepat memahami konsep tidak halal ini sangat berat terutama dalam keadaan bila nazak, azab yang dialaminya akan berlarutan selagi tiada kemaafan diberi oleh pembiaya tersebut. Dengan melafazkan ‘tidak halal’ itu, pembiaya berkenaan tahu dia memberi amaran, sekali gus jaminan pemiutang yang curang akan ditimpa azab kerana tidak menjelaskan hutang.

Elemen dendam yang dipaparkan dalam karya Shakespeare, kemudiannya menjadi ikutan pengkarya merentasi zaman termasuk novel “The Count of Monte Cristo" oleh Alexandre Dumas dan cerpen “The Cask of Amontillado" oleh Edgar Allan Poe. Malah dendam menjadi plot popular dalam filem-filem. Tentunya anda pernah menonton The Unforgiven arahan Clint Eastwood terbitan 1992. Atau yang kerap diulang tayang, The Count of Monte Cristo versi 2002 arahan Kevin Reynolds.

Dua filem di atas memaparkan elemen membalas dendam dalam dua era berbeza. Filem Clint Eastwood bercorak koboi manakala Monte Cristo pada zaman Napoleon Bonaparte abad ke-19 di Perancis.

Dalam semua agama dan kajian sosial, perbuatan membalas dendam adalah dilarang. Kajian pakar sakit jiwa, Dr. Kevin Carlsmith menggariskan bahawa orang mengharapkan ganjaran hedonik apabila mereka menghukum pesalah tetapi dalam beberapa contoh, membalas dendam mempunyai kesan akibat yang bertentangan sama sekali daripada yang mereka harapkan.

Hasil tiga kaji selidik yang dilakukan, Dr. Carlsmith merumuskan bahawa orang yang membalas dendam berterusan memikirkan perihal pesalah, sementara mereka yang tidak berbuat demikian telah pun ‘bergerak ke depan’ dan kurang memikirkan hal pesalah. Rumusan kedua ialah orang gagal menghargai perbezaan kesan akibat daripada menyaksi dan memulakan balas dendam.

Membalas dendam bagi sesetengah orang, mungkin satu-satunya cara mereka mampu meraih keadilan di dunia. Orang lain tidak mungkin akan mengerti. Seeloknya kita elakkan daripada memulakan permusuhan dengan sesiapa, terutama yang rapat dan intim. Kerana bila mereka berdendam, tiada siapa mampu menenangkan hati mereka.



Johardy Ibrahim Utusan Malaysia Online Rencana 09/06/2013

Tags:

Latest Month

June 2019
S M T W T F S
      1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
30      

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow