kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

UMNO dan masa depan politik negara

UMNO dan Barisan Nasional (BN) sangat bernasib baik kerana terus diberikan mandat memerintah negara dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Dengan BN memperolehi 133 kerusi dan pakatan pembangkang 89 kerusi, maka hanya 23 buah kerusi sahaja yang memisahkan pembangkang daripada tampuk kuasa dalam Parlimen yang mempunyai 222 buah kerusi. Jika tidak kerana sumbangan besar daripada para pengundi di Sabah dan Sarawak, BN dan UMNO mungkin sudah menjadi pembangkang di Parlimen hari ini.

Demikianlah realiti pahit yang harus dihadapi oleh UMNO dan BN hari ini. Justeru kemenangan yang dicapai UMNO dan BN, walaupun sudah mencukupi untuk membentuk kerajaan, akan tetapi ia bukanlah suatu kejayaan besar yang terlalu boleh dibanggakan sangat.

Jika tidak kerana kerja keras Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin menjayakan pelbagai agenda transformasi kerajaan dan politik semenjak mengambil alih tampuk kuasa pada tahun 2009 yang lalu, prestasi UMNO dan BN mungkin jauh lebih buruk daripada itu.

Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam entri blognya pada 4 Jun lalu dengan tajuk “UMNO Dahulu dan Sekarang", menyebut:

“Mungkin kita boleh tepuk belakang kerana UMNO masih menjadi parti yang menang terbanyak dalam PRU-13. Tetapi ini bukan kerana orang Melayu masih sokong UMNO. Sebenarnya kemenangan UMNO dalam PRU-13 disebabkan mereka tidak ada pilihan. Mereka amat takut kalau-kalau Anwar Ibrahim menang bersama dengan DAP. Akan hancurlah harapan orang Melayu sama sekali.

‘‘Seburuk-buruknya UMNO, ia masih berbau Melayu, masih lebih mungkin memelihara kepentingan orang Melayu. Justeru itu tidak ada pilihan bagi orang Melayu jika tidak sokong UMNO. Namun demikian dalam PRU-14 UMNO tidak boleh harap keadaan ini berterusan. Jika UMNO tidak bersihkan dirinya dari rasuah dan kepentingan diri, orang Melayu mungkin mencari jaguh yang lain."

Kesimpulan Dr. Mahathir bahawa orang Melayu amat takut Anwar menang bersama dengan DAP dan membentuk kerajaan yang akan mengubah nasib dan kedudukan mereka di negara ini mengikut acuan DAP dan PAP di Singapura adalah sesuatu yang benar-benar dirasai oleh majoriti orang Melayu yang keluar mengundi pada 5 Mei lalu dan mereka sekali gus menolak Anwar dan pembangkang.

Justeru itulah berlakunya polarisasi kaum yang amat ketara dalam PRU-13. Sementara kaum Cina yang termakan dan berjaya diumpan oleh DAP dan Anwar bahawa pembangkang akan menang dan akan membentuk kerajaan mengikut agenda ‘Malaysian Malaysia’ dan membawa negara ini menuju ke arah sistem pemerintahan ala republik, nekad memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pembangkang. Sebaliknya, orang Melayu, (kecuali ahli-ahli Pas dan penyokongnya), pula yang bimbang akan masa depan mereka dan nasib yang bakal menimpa mereka jika Anwar dan DAP menang, terpaksa terus terus berpaut kepada UMNO dan BN kerana tiada lagi parti lain yang boleh mereka harapkan bagi melindungi mereka.

Namun pertanyaan Dr. Mahathir bahawa apakah hanya atas alasan ini sahaja sudah mencukupi untuk UMNO dan BN terus bertahan dan menang dalam PRU-14 akan datang adalah sesuatu yang harus direnungi dengan mendalam oleh UMNO khususnya.

Sesungguhnya perubahan bersifat kosmetik dan penggilapan imej dan persepsi sahaja tidak mencukupi buat UMNO dan BN. UMNO perlukan penggilapan dan pengukuhan nilai-nilai murni perjuangan parti itu. Bersihkan UMNO daripada semua unsur negatif yang membelenggu imej parti itu selama ini. UMNO perlu menjadi parti yang bersih dan kaya dengan nilai-nilai perjuangan untuk terus memelihara agama, bangsa dan tanah air.

Ahli-ahli UMNO mesti memilih hanya mereka yang bersih sahaja untuk menjadi pemimpin di semua peringkat. Hanya mereka yang terbaik sahaja yang harus diangkat ke saf kepimpinan UMNO. UMNO juga harus membuka pintu seluas-luasnya dan memberikan tempat yang sewajarnya kepada semua orang Melayu yang ingin berjuang dalam parti tersebut. Janganlah mereka ini dianggap sebagai orang luar yang ingin merebut kedudukan dalam UMNO.


SUDAH sampai masanya untuk UMNO berubah secara total demi memastikan perjuangan parti itu kekal relevan pada PRU-14 nanti.

Kebolehan

UMNO tidak boleh terus menjadi eksklusif hanya untuk orang UMNO dalam cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi sahaja. UMNO harus mempelawa dan menjemput seramai mungkin elit Melayu berkebolehan dari pelbagai latarbelakang serta mereka yang jauh dari UMNO supaya menyertai dan mendekati parti tersebut.

Di sinilah keikhlasan kepimpinan UMNO di peringkat cawangan dan bahagian dituntut. Kalau mereka hanya terus selesa dengan eksklusiviti UMNO hanya untuk orang UMNO sahaja, maka jangan salahkan orang Melayu kalau parti itu terus ditolak oleh generasi baru orang Melayu sedikit demi sedikit sebelum UMNO ditolak sepenuhnya oleh orang Melayu dalam PRU-14 yang akan datang.

Buktikan bahawa orang Melayu belum lagi meluat dengan UMNO dan parti itu masih lagi relevan untuk orang Melayu. Buktikan bahawa UMNO masih lagi berjuang untuk semua orang Melayu dan bukan hanya untuk orang tertentu dan orang UMNO sahaja. Buktikan bahawa UMNO berjuang bukan untuk jawatan dan pangkat, untuk memperkayakan diri, untuk sagu hati, untuk poket sendiri.

Inilah sebetulnya agenda UMNO hari ini yang perlu dihidupkan kembali dalam parti tersebut oleh setiap peringkat kepimpinan UMNO. Pemilihan parti UMNO yang akan datang adalah untuk menjayakan agenda ini. Inilah agenda untuk merejuvenasi parti yang UMNO tiada pilihan, melainkan melakukannya dengan penuh keikhlasan, dedikasi dan komitmen padu.

Justeru, yang paling diperlukan UMNO ialah modul latihan ahli yang mantap dan berkesan. Sehingga kini UMNO masih lagi teramat miskin dengan modul latihan pemantapan perjuangan parti untuk ahli-ahlinya. Ramai daripada ahli-ahlinya termasuk sebahagian besar kepimpinan UMNO di peringkat cawangan dan bahagian sudah lama atau tidak pernah langsung melalui proses latihan dalam parti untuk sekian waktu.

Bagaimanakah UMNO ingin menjadi parti perjuangan dan bukan parti untuk orang mencari peluang menjadi kaya kalau ia amat miskin dengan latihan untuk ahli-ahlinya.

Bagaimanakah nilai-nilai perjuangan ingin dipupuk jika program latihan tidak dibangunkan dan dilaksanakan di dalam parti? Sebuah pasukan bola yang hanya diberikan seorang pengurus pasukan yang baik tetapi tidak melaksanakan program latihan yang secukupnya pasti kecundang dalam mana-mana pertandingan getir yang disertainya.

Tentera yang hanya diberikan senjata dan makan minum yang cukup tetapi tidak pernah diberikan latihan yang berkesan tidak akan berjaya dalam peperangan yang dihadapinya.

Tidak perlulah untuk membandingkan UMNO dengan Pas dan puluhan atau ratusan usrah, tamrin, nadwah dan proses tarbiyyah yang dijalankan oleh parti tersebut untuk ahli-ahlinya. Hasil daripada latihan-latihan yang diberikan, ahli-ahli Pas sangat kental semangat perjuangannya dan patuh kepada semua arahan pucuk pimpinannya termasuklah apabila disuruh menjadi penampal poster dan pengibar bendera roket dalam pilihan raya sekali pun.

Justeru, ahli UMNO sememangnya ramai. Tetapi yang berkualiti adalah terlalu sedikit dan semakin kurang hari demi hari. Jadi jangan salahkan ahli sahaja. Kepimpinan UMNO juga turut bertanggungjawab kerana gagal menyediakan modul latihan yang mencukupi, mantap dan berkesan untuk ahli-ahli dan kepimpinan UMNO. UMNO nampaknya mengandaikan bahawa semua yang menyertai UMNO itu sudah faham dan menghayati serta sebati dengan falsafah dan agenda perjuangan UMNO. Lalu agenda latihan dan pembangunan jiwa di kalangan ahli tidak lagi menjadi keutamaan dalam UMNO. Maka parti semakin kehilangan satu rencah penting yang menjadi pemangkin kepada agenda perjuangan UMNO.

Jika proses pendidikan politik atau pentarbiyyahan ahli dan kepimpinan UMNO tidak berlaku di dalam parti itu, bagaimanakah UMNO ingin menerapkan dan melahirkan barisan kepimpinan yang berwibawa dan kental dengan semangat perjuangan di dalam parti itu? Kalau UMNO terus dengan sindrom penafian, maka teruskanlah dengan cara sekarang dan berdoalah banyak-banyak semoga UMNO terus kuat di masa-masa yang akan datang.

Nasi belum lagi menjadi bubur buat UMNO dan BN. Tapi nasi yang ditanak itu masih lagi mendidih dan airnya semakin kering kerana apinya kuat dan sedang marak. Namun, jika UMNO hanya menambah air sahaja dan tidak mengawal api yang kuat itu, maka nasi itu sudah pasti sama ada menjadi bubur atau pun terus hangit akhirnya.

Bagi mengawal api politik perkauman yang sedang marak ini UMNO, BN dan kerajaan yang mereka pimpin dengan mandat yang sah dan mencukupi dari rakyat, harus menjadi sebuah kerajaan yang berani dan berwibawa. Bertindaklah dengan penuh bijaksana tetapi penuh keadilan bagi menyelamatkan negara ini daripada pertembungan politik kaum yang sedang di bawa oleh puak cauvinis dan ekstremis dalam DAP yang disokong padu oleh Anwar dan PKR.



Mohamed Mustafa Ishak Utusan Malaysia Online Rencana 09/06/2013
Tags: politik, umno
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments