kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pengaruh Latifah Omar kepada masyarakat dahulu

Saya masih ingat 54 tahun (1959) dahulu, ibu dan bapa saya yang berusia 35 tahun memuji betapa sukanya mereka menonton filem Bawang Putih Bawang Merah yang dibintangi oleh Latifah Omar, sebagai pelakon utama. Pada waktu itu saya baru sahaja berusia 10 tahun. Ibu menceritakan perihal kecantikan Latifah yang tiada tolok bandingnya pada waktu itu, dan memujanya sebagai seorang bintang filem yang sangat diminatinya. Ibu sangat terkesan dan menangis menyaksikan adegan sedih yang dilakonkan oleh Latifah. Bapa saya hanya diam sahaja kerana takut dicemburui oleh ibu, walaupun saya tahu bapa juga memuja Latifah. Saya juga turut menonton filem itu, tetapi tidaklah dapat memahami kesemua jalan ceritanya, atau menghargai kekuatan filem itu kerana usia saya yang muda. Berbulan -bulan selepas menonton filem itu, ibu dan rakan-rakannya sekampung tak putus-putus berbual mengenai Latifah Omar dan filem itu, sambil menunggu tayangan filem Latifah seterusnya.

Pada tahun yang sama, filem Latifah bertajuk Raden Mas ditayangkan di panggung wayang gambar di Tanah Merah, Kelantan. Ibu dan bapa saya serta orang-orang kampung tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan filem klasik itu yang dibintangi oleh seniwati pujaan mereka Latifah Omar. Ada yang berjalan kaki, ada pula yang mengayuh basikal untuk ke panggung sambil membawa anak-anak kecil bersama mereka untuk menonton selepas sembahyang Maghrib. Itulah dilakukan oleh orang kampung saya apabila ingin menonton wayang gambar, yang pada waktu itu merupakan salah satu daripada segelintir persembahan hiburan yang ada, selain daripada persembahan wayang kulit, makyung, menora dan pencak silat.

Pada tahun 1962, datang pula filem Lancang Kuning. Saya pada waktu itu sudah berusia 13 tahun dan Latifah Omar sudah 23 tahun. Dia telah menjadi seorang wanita yang sangat rupawan dan menjadi pujaan ramai orang. Ibu saya tak habis-habis ceritakan kepada saya bertapa sedihnya beliau menonton filem itu kerana Latifah dibunuh dengan kejam kerana fitnah. Kata ibu, filem-filem yang ditontonnya selama ini telah mempamerkan lakonan Latifah sebagai seorang gadis dan kemudiannya wanita yang sentiasa dizalimi dan menjadi mangsa kekejaman manusia. Menonton filem-filem Latifah Omar membuatnya bersedih dan menangis. Tetapi di dalam kesedihan dan tangisannya itu, ibu terhibur disamping mendapat pengajaran.

Setahun kemudian, filem Cucu Dato Merah (1963) muncul. Sekali lagi Latifah Omar dirundung malang dan akhirnya mati lemas di dalam tasik. Ibu selalu bertanya kenapa peranan yang diberikan kepada Latifah Omar sering berakhir dengan kesedihan. Dia berharap sungguh-sungguh bahawa lakonan Latifah itu hanyalah lakonan semata-mata, dan bukannya mencerminkan kehidupan yang sebenar beliau. Walaupun Latifah Omar telah berlakon dalam banyak buah filem yang kesemuanya menempah kejayaan besar dalam dunia perfileman, saya hanya terpanggil untuk menulis mengenai cerita-cerita ini sahaja kerana filem-filem inilah yang paling meninggalkan kesan sepanjang zaman dalam ingatan ibu bapa saya dan rakan-rakannya di kampung. Begitu juga saya.

Mengajar

Pada tahun 1966, ibu bapa saya sudah pun berusia 42 tahun dan saya sudah berada di tingkatan empat di sekolah Menengah Petra Kuala Krai, Kelantan. Latifah sudah menjangkau usia 27 tahun. Bersama, kami menyaksikan filem Gurindam Jiwa. Filem ini sangat baik dari segi bahasa dan sastera, dan banyak mengajar saya untuk mencintai bidang ini. Boleh dikatakan bahawa filem inilah yang telah mendorong saya untuk menulis pantun dan puisi. Latifah seperti dalam kebanyakan filem-filemnya sebelum ini, beraksi dengan berkesan sekali, bersama heronya Allahyarham Nordin Ahmad.

Dalam diam saya mengagumi dan menghormati Latifah Omar. Saya berasakan bahawa dialah wanita yang tercantik pada rupa paras dan tersopan dari segi tingkah laku. Alangkah bertuahnya kalau saya dapat bertemu dengannya, kerana pada waktu itu saya telah mula memujanya.

Pada awal tahun ini, iaitu pada bulan Mac, dengan tidak semena-mena cita-cita saya dulu untuk bertemu Latifah terkabul. Saya bertemu Latifah Omar di rumahnya di Setapak, Kuala Lumpur. Pada waktu itu saya sudah berusia 64 tahun dan Latifah 74 tahun. Saya berasa cukup bahagia bertemu dengannya. Kebahagiaan seperti ini jarang dilalui, kerana ia tidak mengharapkan apa-apa selain daripada hajat murni dari hati yang tulus ikhlas. Latifah memberitahu saya bahawa filem-filem yang sangat digemarinya ialah Bawang Putih Bawang Merah, Raden Mas, Lancang Kuning, Gurindam Jiwa dan Cucu Dato Merah. Rupa-rupanya Latifah dan keluarga saya mempunyai citarasa yang sama. Beberapa kali sejak bulan Mac itu, saya bertemu dengannya. Pertemuan-pertemuan itu telah membawa kebahagiaan kepada kita bersama. Saya menganggap beliau sebagai kakak saya.

Tetapi pertemuan saya dengan bintang pujaan dan orang yang saya anggap sebagai kakak ini ditakdirkan tidak berpanjangan. Tanggal 9 Jun lalu pukul 6.19 petang beliau pulang ke rahmatullah di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). Sewaktu beliau di hospital saya sempat bertemu dengannya untuk beberapa kali. Kali akhir saya bertemu beliau ialah kira-kira tiga jam sebelum beliau pulang. Di dalam keadaannya yang tidak sedarkan diri saya membaca ke telinganya beberapa potong ayat-ayat al-quran, dan berdoa untuk kesejahteraannya di dunia dan akhirat. Beliau menunjukkan reaksi melalui pernafasan dan pergerakan dadanya yang lebih daripada biasa sewaktu saya berbisik ke telinganya. Pada keesokan harinya, saya mengambil cuti untuk mengiringi Latifah Omar, kakak saya itu untuk disemadikan di tanah kekal abadi di kawasan AU4, Keramat. Selamat bersemadi kakak Latifah, semoga kakak damai di alam barzakh dengan segala rahmat anugerah daripada Allah SWT. Keluargaku,jutaan peminat dan negara kehilanganmu dan akan merinduimu. Kami mendoakan kesejahteraan ke atas rohmu.



Dr. Hashim Yaacob Utusan Malaysia Online Rencana 16/06/2013
Tags: actress, film
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments