kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Berlakon pada usia 13 tahun

DUNIA perfileman Melayu semalam kehilangan seorang lagi bintang, Allahyarham Latifah Omar yang pernah mewarnai bidang lakonan tanah air di layar perak yang memulai kerjayanya di Singapura pada awal tahun 1950-an.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di Wad ICU, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia kira-kira pukul 6 petang semalam kerana menghidap penyakit ulser dan pernah menjalani pembedahan di bahagian perut sebelum ini.

Pemergian Allahyarham yang meninggal dunia pada usia 74 tahun amat dirasai kerana beliau merupakan salah seorang primadona filem Melayu yang telah berlakon sejak berusia 13 tahun sewaktu berhijrah ke Singapura pada 1949.

Primadona yang dilahirkan di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 26 Mac 1939 itu antara generasi pelakon awal yang diambil bekerja di Malay Films Studio Production, Jalan Ampas, Singapura pada awal tahun 1950-an.

Sewaktu penulis bertemu pelakon ini di Kelab Tasik Perdana, Kuala Lumpur pada awal April lalu, beliau telah menceritakan tidak menduga akan menceburi dunia lakonan pada usia yang muda dan bekerja di dua studio perfileman itu.

Ketika itu Allahyarham cuma sekadar mahu melihat bagaimana penggambaran sesebuah filem dijalankan tetapi tidak menyangka pula apabila beliau berjaya menarik perhatian seorang pengarah filem di situ.

Beliau yang sengaja datang ke studio itu untuk melihat bagaimana pelakon menjalani penggambaran dan cara-cara berlakon secara kebetulan telah terjumpa dengan seorang pengarah bernama S. Ramanathan.

Allahyarham kemudiannya telah ditawarkan berlakon sebagai pelakon tambahan bersama P. Ramlee (Allahyarham Tan Sri) yang ketika itu sedang menjalani penggambaran filem bertajuk Panggilan Pulau pada tahun 1952.

Sejak itu, Allahyarham mula serius sebagai pelakon dan telah bekerja di Jalan Ampas selama beberapa tahun sebelum bekerja di studio-studio perfileman lain seperti Shaw Brothers dan Cathay Keris selepas itu.

Biarpun memulakan kerjaya sebagai pelakon pada usia yang masih hijau tetapi Allahyarham tidak lama dalam bidang lakonan yang mana filem terakhir lakonannya berjudul Putus Sudah Kasih Sayang bersama P. Ramlee pada 1972.

Pelakon jelita pada era kegemilangannya ini cuma sempat berlakon selama 19 tahun sahaja kerana selepas berlakon filem Putus Sudah Kasih Sayang Allahyarham tidak lagi berlakon sehinggalah ke penghujung hayatnya.

Selama hampir 41 tahun tidak berlakon filem Allahyarham pernah menyatakan bahawa beliau tidak berasa terkilan atau rindu kerana telah puas menjadi anak seni dengan membintangi lebih 20 buah filem sewaktu di Singapura.

Sewaktu zaman kegemilangannya, Allahyarham yang mempunyai empat orang anak serta sembilan cucu ini sering diberi watak yang memerlukannya menitiskan air mata dan mampu melakonkan watak seperti itu dengan berkesan.

Beliau cukup dikenali sebagai seorang yang sederhana termasuklah semasa berlakon dan tidak mahu kelihatan melampau-lampau dalam menghayati sesuatu watak yang diberikan kepadanya sepanjang menjadi pelakon.

Kebanyakan watak lakonan Allahyarham sama ada menggambarkan adegan suka atau duka, beliau melakonkannya secara sederhana bersesuaian dengan karakternya yang serba sederhana dalam semua segi.

Meskipun lebih empat dekad meninggalkan dunia lakonan tetapi Allahyarham masih berhubung dengan pelakon-pelakon seangkatan dengannya seperti Datuk Maria Menado, Mariani dan Datin Umi Kalthum sehinggalah ke hari ini.

Bukan setakat berhubung melalui telefon, mereka juga ada kalanya bertemu di luar rumah bagi bertanyakan khabar tentang diri masing-masing yang secara tidak langsung ia akan mengubat rasa rindu Allahyarham terhadap kawan-kawannya itu.

Selain ulser, semasa hayatnya Allahyarham turut menghidap pelbagai jenis penyakit antaranya sakit tulang, kencing manis dan ulser yang menyebabkan lebih banyak berehat di rumahnya sejak kebelakangan ini.

Namun, itu bukan menjadi penghalang buat Allahyarham untuk mengambil tahu perkembangan kawan-kawannya seperti Mariani dan Datuk Aziz Sattar yang masih sihat dan terus berlakon sehingga ke hari ini.

Sepanjang menjadi pelakon filem, Allahyarham telah membintangi tidak kurang 20 buah filem yang mana kebanyakan watak yang ditawarkan kepadanya adalah watak utama atau heroin bersama ramai pelakon hebat yang lain.

Antara filem lakonan Allahyarham berjudul Dahlia pada 1952, Panggilan Pulau (1952), Serangan Orang Minyak (1958), Jalak Lenteng (1961), Patong Chendana (1965), Naga Tasek Chini (1966) dan Putus Sudah Kaseh Sayang (1971).



ABD. AZIZ ITAR aziz.itar@utusan.com.my Utusan Malaysia Online Rencana 10/06/2013
Tags: actress, film
Subscribe

  • Merencana GLC negeri

    MAJLIS yang diadakan pada hari itu sekali lagi berkait soal ‘integriti’ dalam pentadbiran negeri. Yang menyentuh soal kejujuran dan…

  • Pentingkah GLC, mana hilangnya SEDC?

    Bila berbicara mengenai GLC (Government-linked Corporations), lazimnya orang akan merujuk kepada syarikat-syarikat yang dikorporatkan dan dikuasai…

  • Driving GLCs to greater heights

    KUALA LUMPUR: GOVERNMENT-linked companies (GLCs) have played a significant role in nation building and supporting the country’s economic…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments