''Pada 30 Mei lepas, umur Utusan Melayu masuk 33 tahun. Sepanjang ingatan saya, belum pernah lagi dalam sejarah persuratkhabaran Melayu, sebuah akhbar Melayu hidup begini lama. Inilah sejarah yang diukir oleh Utusan Melayu, sebuah perusahaan Melayu yang seratus peratus dikendalikan dan diusahakan sendiri oleh orang-orang Melayu dengan modal yang begitu sedikit. ''
Itu antara petikan ucapan bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak ketika merasmikan bangunan tambahan Utusan Melayu (M) Berhad pada 22 Jun 1972 yang terletak di Jalan Lima, Chan Sow Lin.
Ia merupakan bangunan tambahan kedua selepas bangunan Jabatan Pengarang dibina dan dirasmikan oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 9 Februari 1965.
Kata-kata Tun Abdul Razak itu amat meninggalkan kesan dan memberi semangat kepada pejuang-pejuang Utusan Melayu untuk terus mempertahankan satu-satunya akhbar yang memartabatkan agama, bangsa Melayu dan tanah air ini.
55 tahun bukan satu tempoh yang singkat. Jika menyoroti sejarah penubuhan bangunan Utusan Melayu di Jalan Lima Chan Sow Lin, ia dibina pada 6 Februari 1958 selepas dipindahkan dari Singapura selepas 20 tahun beroperasi di republik itu. Pada hari itu juga, berakhirlah percetakan akhbar di 185, Cecil Street Singapura yang dijual pada harga 15 sen.
Bagi menyambung 'Lidah Melayu' yang diasaskan pada tahun 1938 itu, Utusan Melayu kembali ke pangkuan 'ibunya' di Kuala Lumpur dan akhbar pertama mula dicetak keesokan selepas perasmian bangunan Chan Sow Lin.
Di bangunan inilah banyak sejarah telah terpahat, kenangan pahit nan indah tercipta yang telah menguatkan insan-insan di dalamnya.
Dua peristiwa besar telah berlaku sepanjang 55 tahun itu. Gugatan terhadap Utusan Melayu berlaku pada 10 Julai 1961 apabila Lembaga Pengarah Utusan Melayu melantik Ibrahim Fikri sebagai Ketua Pengarang dan Pengarah Utusan Melayu.
Peristiwa mogok besar-besaran yang dilancarkan oleh 115 pekerja Utusan Melayu termasuk 30 pekerja di Singapura telah berlaku sepuluh hari selepas pelantikan Ketua Pengarang itu kerana membantah campur tangan UMNO dalam Utusan Melayu.
Beberapa hari selepas mogok besar itu, Utusan Melayu diterbitkan semula atas usaha Melan Abdullah dan Othman Wok dari Singapura. Walau bagaimanapun, ia tidak dicetak di bangunan itu, tetapi dilakukan di luar Utusan Melayu oleh Print Craft.
Mogok besar-besaran itu hanya berakhir selepas tiga bulan iaitu pada 21 Oktober 1961. H M Shah telah menggantikan tempat Ibrahim Fikri manakala Melan Abdullah dilantik sebagai Ketua Pengarang. Peristiwa mogok tersebut amat meninggalkan kesan besar sehingga nyaris-nyaris memungkinkan Utusan Melayu ditutup.
Pada 1967 Utusan Malaysia, yang bertulisan rumi diterbitkan dan bergerak seiring dengan Utusan Melayu bertulisan jawi. Kini akhbar tulisan jawi hanya akhbar sisipan dalam Utusan Malaysia yang diterbitkan secara percuma setiap Isnin dan dikenali sebagai Utusan Melayu Mingguan.
Peristiwa kedua yang menggugat Utusan Melayu adalah berhubung penggabungan Utusan Melayu dengan New Strait Times pada 2006. Namun usaha penggabungan itu dibatalkan atas bantahan keras pelbagai pihak terutama dalam kalangan para wartawannya.
Dua peristiwa besar itu antara berpuluh-puluh lagi peristiwa lain yang berlaku di bangunan bersejarah itu. Daripada hanya sebuah bangunan dua tingkat Jabatan Pengarang, ia kemudiannya ditambah yang menempatkan bahagian jurufoto, Pre Press, Jawi dan Kantin.
9 Februari 1965 - Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia berucap ketika merasmikan bangunan tambahan
Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.
Di Jalan Lima turut terbina akhbar terbitan Utusan Melayu iaitu Mingguan Malaysia dan Kosmo. Kosmo! merupakan sebuah akhbar terbitan Kumpulan Utusan yang mula diterbitkan pada 31 Ogos 2004 dan dilancarkan oleh Perdana Menteri pada ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Utusan Melayu yang diterajui barisan Ketua Pengarangnya yang dedikasi antaranya seperti Pak Said Zahari, Melan Abdullah, Mazlan Noordin, Zainuddin Maidin, Johan Jaaffar, Khalid Mohd. dan terkini, Aziz Ishak boleh dianggap sebagai benteng pertahanan Utusan Melayu daripada diganggu gugat oleh mana-mana pihak yang mahu melihat syarikat milik Melayu ini jatuh kecundang.
Walaupun bangunan keramat ini tidak segah bangunan pencakar langit atau tidak sehebat syarikat media tempatan lain, namun, di sinilah tertonggaknya mereka yang benar-benar komited. Anak-anak Utusan Melayu sejak dulu hingga kini memilih untuk berbakti.
Ramai pihak luar yang mengunjungi Utusan Melayu seakan-akan 'terkejut' melihat bangunannya yang usang jika dibandingkan kehebatan akhbar Melayu paling berpengaruh itu.
Kini, selepas 55 tahun, Utusan Melayu telah berpindah ke bangunan baharu lapan tingkat yang masih terletak di Jalan Chan Sow Lin, berhadapan dengan bangunan lama, iaitu di Jalan Enam.
Memetik kata-kata Ketua Pengarang, Datuk Aziz Ishak pada majlis Anugerah Bulanan terakhir di bangunan bersejarah itu, beliau menyifatkan, ''struktur bangunan itu tidak penting, tetapi insan-insan yang menggerakkan Utusan Melayu teramat penting."
Bangunan ini menyimpan terlalu banyak sejarah terutama mereka yang 'membesar' bersama Utusan Melayu, yang menjadi saksi jatuh bangun dan perit jerih syarikat akhbar yang digeruni banyak pihak yang mahu melihat Melayu terkebelakang.
Tidak salah jika saya kepilkan di sini petikan kata-kata ayahanda kami, Datuk Aziz ketika hari perpindahan kami ke bangunan baharu pada Jumaat lalu, 21 Jun 2013 yang menyaksikan satu lagi tarikh bersejarah dalam kalendar Utusan Melayu.
''Daya juang kita cukup tinggi. Ramai yang menyokong kita di luar sana. Kita akan terus berjuang untuk melonjakkan produk-produk kita. Cabaran tetap ada. Kalau kita kerja dengan Utusan cabaran pasti ada. Macam orang terdahulu mereka tidak pernah mahu dikenang. Semangat mereka yang kekal dan diwarisi oleh kita. Kita akan lebih komited.
''Kita sudah banyak keluarkan peluru dalam mempertahankan namun kita berjaya. Kita juga sudah banyak parut namun kita berjaya.
''Kadangkala kita rasa bersendirian untuk pikul amanah itu namun kita berjaya mengatasinya. Dalam tempoh yang panjang kita berjaya menjalankan tugas kita memartabatkan akhbar yang menjalankan tugas kita mempertahankan Perlembagaan. Utusan tidak rasis. Kita mempertahankan apa yang ada. Kita juga menyokong rakan-rakan bukan Melayu.
''Kalau boleh dinding dan lantai berbicara banyak yang akan diperkatakan. Apa pun kita mampu bertahan dan bersabar.
''Saya rasa sedih sebab ingin meninggalkan bangunan ini yang mempunyai banyak sejarah tersendiri. Mereka yang terdahulu banyak berkorban untuk bangsa dan negara dan turut menjadikan Utusan itu keramat."
Selepas 75 tahun perjuangan Utusan Melayu, institusi ini akan terus menghadapi pelbagai cabaran sama ada daripada akhbarnya, Utusan Malaysia, mahupun sebagai syarikat yang bernama Utusan Melayu (Malaysia) Berhad atau Kumpulan Utusan.
Menyambung kata-kata Tun Abdul Razak ketika perasmian bangunan tambahan Utusan Melayu itu,:''Satu hakikat lain peranan Utusan Melayu masih tetap sebagai lidah umat Melayu tetapi dalam konteks yang baharu. Dalam zaman kita sedang membentuk satu bangsa yang bersatu padu, dalam zaman kita sedang meniupkan semangat yang cintakan sains dan teknologi, zaman kita menggalakkan orang Melayu supaya menukar pandangan hidup mereka yang tradisional kepada pandangan hidup yang sesuai dengan peredaran masa, peranan surat khabar terutama sekali surat khabar seperti Utusan Melayu amatlah penting sekali.
''Utusan Melayu mestilah ikut mempelopori perjuangan mencapai cita-cita ini iaitu bersama-sama mendidik dan membentuk jiwa dan pandangan hidup baharu di kalangan masyarakat Melayu khasnya dan masyarakat nasional amnya, bersama-sama berusaha membentuk satu masyarakat baru yang cintakan sains dan teknologi, satu bangsa yang terjalin erat dengan semangat Rukun Negara, satu masyarakat yang dinamis dan progresif.
''Ini bererti mereka yang mengendali Utusan Melayu mestilah mengerti dan memahami tugas-tugas dan tanggungjawab-tanggungjawab mereka dalam konteks yang baharu ini.
Inilah insurans, inilah benteng, inilah jaminan yang akan kita bangunkan untuk menghadapi cabaran-cabaran sekarang dan masa hadapan. Dalam menghadapi cabaran ini kita memerlukan penggemblengan setiap tenaga pemimpin politik, kebudayaan, sosial, pakar-pakar ekonomi buruh dan petani dan tidak kurang pentingnya kaum wartawan dan penulis."
Dua kata-kata keramat daripada Tun Abdul Razak dan Ayahanda Datuk Aziz Ishak akan menjadi azimat kepada semua petugas Utusan Melayu termasuk mereka di bahagian pengoperasian syarikat untuk terus memperteguhkan akhbar keramat bangsa Melayu supaya mereka di luar sana tidak lagi boleh memperlekeh atau mempersenda perjuangan yang telah sebati sejak 75 tahun dahulu.
Utusan Melayu tidak tegak berdiri secara tiba-tiba. Zaman permulaannya zaman yang penuh dengan derita, kepayahan dan pengorbanan setiap pekerjanya.
Maka ia perlu menjadi tanggungjawab sesiapa yang mewarisi pusaka ini supaya kekal menjadi satu institusi. satu lambang kebolehan dan kemampuan anak Melayu untuk berdikari dengan tekad yang bulat, semangat yang gigih demi memajukan diri dan bangsa dengan perasaan yang tulus ikhlas untuk masyarakat.
MAISARAH SHEIKH RAHIM pengarang@utusan.com.my Utusan Malaysia Online Rencana 24/06/2013