kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Berkongsi cerita menarik sikap Tun Razak

SEBUAH buku yang mencungkil dan memaparkan pelbagai kisah menarik yang belum diketahui umum mengenai bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein dan perihal menarik mengenai era pentadbirannya kini berada di pasaran.

Buku bertajuk Tun Abdul Razak, Bapa Pembangunan - Suatu Pengkisahan hasil nukilan Azam Ismail Bakri dan Suziyana Natasya Abdullah ini diterbitkan oleh Orlaith Inc. Sdn. Bhd.

Buku ini mengambil masa hampir lima tahun untuk disiapkan membabitkan kaji selidik dan temu ramah dengan beberapa tokoh dan orang kebanyakan yang menyimpan pelbagai cerita menarik dan maklumat penting berkaitan Tun Abdul Razak, merangkumi zaman kanak-kanak, persekolahan, universiti, dunia politik dan sebagai pemimpin ulung negara.

Menurut Azam turut dipaparkan di dalam buku berkenaan ialah betapa tingginya integriti Tun Abdul Razak sebagai pemimpin dan bagaimana beliau telah menyembunyikan masalah kesihatannya, termasuk daripada pengetahuan ahli keluarga sendiri.

Penghasilan buku ini bertolak daripada program Tun Abdul Razak, Bapa Pembangunan - Suatu Pengkisahan yang dianjurkan dengan kerjasama Alliance Foundation Malaysia yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 Julai 2010 di PICC Putrajaya yang diikuti dengan satu Siri Jelajah di bawah tajuk sama di seluruh Malaysia dan beberapa negara Eropah.

Maklumat daripada majlis pengkisahan ini ditambah dengan maklumat lain yang diperolehi semasa kaji selidik dan temu bual selepas itu dimasukkan ke dalam buku ini dengan gaya penulisan penceritaan yang segar, kata Azam.

Melalui proses pra-penerbitan dan penerbitan maka buku ini telah masuk ke kamar percetakan secara kebetulan pada 11 Mac yang juga merupakan tarikh lahir Allahyarham Tun Abdul Razak. Hanya Allah sahaja yang tahu akan susunan itu, wallahualam. Maka lahirlah buku Tun Abdul Razak, Bapa Pembangunan - Suatu Pengkisahan ini, tambah Azam lagi.

Tokoh-tokoh yang ditemu bual termasuk bekas anggota Kabinet di zaman Tun Razak, adik beradik beliau serta para pegawai kerajaan yang pernah berkhidmat terus di bawah beliau.

Azam berkata menyedari betapa kurangnya bahan sejarah dirakamkan berkaitan tokoh zaman awal pembentukan Malaysia, beliau dan Suziyana merasakan penceritaan oleh tokoh-tokoh yang ditemu bual itu perlu dipanjangkan kepada umum sebagai bahan rujukan masa depan dalam bentuk tulisan.

Tambahnya hasrat melahirkan buku ini menjadi semakin kuat dan dipermudahkan selepas itu setelah dia dan Suziyana berkenalan dengan rakan-rakan karib bekas perdana menteri itu seperti Datuk Zakaria Ahmad, mantan Setiausaha Sulit kepada Tun Abdul Razak, yang bukan sahaja berkongsi cerita tetapi menghubungkan mereka dengan tokoh-tokoh lain pula.

Antara petikan menarik di dalam buku ini:

Tan Sri Sanusi Junid:

"Ketika perjumpaan di Morib itu banyaklah soalan-soalan sensitif yang kami tanyakan pada Tun Razak tetapi dia meminta soalan-soalan yang sensitif ini ditanyakan pada waktu makan.

"Jadi hari ini saya pun sudah berumur saya fikir perkara sensitif pun kita kena cerita.

"Saya bertanya pada Tun Razak bagaimana kalau kerana kita berselisih pendapat dengan Pas ini maka satu hari nanti bangsa Cina pula yang menjadi Perdana Menteri atau bukan Melayu yang jadi pemerintah andainya Melayu tidak mempunyai majoriti di Parlimen?

Datuk Zakaria Ahmad:

"Saya pernah bertanya kepada beliau bagaimana semua fail serta surat yang saya letakkan di mejanya dapat dibaca begitu cepat? Jawapan beliau ialah: "Zakaria, saya baca yang di tengah-tengah sahaja sebab di situ letak isi dan apa yang dikehendaki. Yang di kepala dan di ekor hanya kata-kata pujian."

"Tun Razak mahukan surat-surat berkenaan dibalas dengan segera. Sekiranya berlaku kelewatan, dia mahu tahu sebabnya. Padanya semua surat mesti dibalas dengan jawapan sama ada 'ya' atau 'tidak'.

Tun Dr. Mahathir Mohamad:

"Sebelum saya memegang apa-apa jawatan saya memang kagum dan hendak berjumpa dengannya. Pada masa itu kita nampak dia dari jauh sebagai seorang pembesar. Saya sampai tergagap apabila berjumpa dan bercakap dengannya seperti hendak bercakap dengan raja berpatik-patik tetapi layanannya langsung tidak menimbulkan embarrassment kepada kita.

"Apa yang saya belajar daripada Tun Razak ialah sifat dedikasi dan apa-apa yang dia hendak buat dia memang akan beri perhatian serius, terutama pada masalah yang dihadapi orang Melayu. Ini memang menjadi tumpuannya apabila dia berkuasa."



Utusan Malaysia Online Rencana 26/06/2013
Tags: tokoh
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments