kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Benci orang tidak tepati masa

SAYA benci menunggu. Dan saya sangat bimbang jika saya menyebabkan orang lain menunggu saya. Menepati waktu bukan opsyen tetapi wajib.

Mesyuarat pukul 11 pagi. Jarak rumah ke pejabat sehala 32 kilometer. Waktu sudah 10.15 pagi. Bayangkan 32 kilometer (KM) perlu ditempuh dalam masa kurang 45 minit. Tidak mustahil walaupun harus melalui tiga plaza tol. Terpaksalah memecut kereta melebihi had laju. Berjaya sampai 10.55 pagi. Masuk bilik 10.59 pagi. Tetapi tidak cukup kuorum. Masih ada yang belum sampai. Menyirap darah.

Kita pula kena tunggu! Walhal kita dah menyabung nyawa untuk sampai tepat pada waktunya. Kerana takut orang menunggu kita, maka dipecut kereta mengalahkan Lewis Hamilton. Mujur tak langgar orang. Paling teruk pun, gambar dirakam AES (Yang ada pun belum bayar!).

Tunggu lima minit. Tidak mengapa. Boleh belek Twitter. Lima minit menjadi 10 minit, masih tak cukup kuorum. Tambah lima minit lagi, baharulah masuk seorang. Kuorum lengkap.

Dengar alasan yang diberikan:

a) Traffic jam (alasan lazim diguna di seluruh dunia).

b) Saya tidak jumpa bilik mesyuarat/ tidak tahu pun ada mesyuarat.

c) Saya ingatkan mesyuarat mula jam 12 tengah hari. Bila pula ubah ke 11 pagi?

d) Saya jenguk dari luar. Tak nampak ada orang. Rupa-rupanya ada di dalam.

e) Saya baharu terima panggilan ketua unit minta ganti dia ke mesyuarat ini sebab dia tersangkut dalam traffic jam.

Dalam kebanyakan masa, jika anda merupakan anggota mesyuarat, rasa jengkel itu mungkin tidak membuak-buak. Yang kritikal tentulah pengerusi mesyuarat. Kena patuh tatacara bermesyuarat pula. Kalau tiada kuorum, mesyuarat tidak boleh dimulakan. Bila pengerusi marah, dia diejek sebagai pengerusi yang emosi.

Kalau anda, apa reaksi anda?

a) Mencatat nama individu lewat untuk didenda kemudian.

b) Menangguhkan mesyuarat sama sekali.

c) Menyindir setajam-tajamnya individu yang lewat daripada anda.

d) Meneruskan mesyuarat, sambil mengurut dada dan berkata, ‘‘Alhamdulillah aku tak lewat".

e) Kesemua di atas.

Seandainya anda beranggapan aspek menepati masa ini bukan perkara mustahak dalam kehidupan, anda tergolong dalam kategori manusia bermasalah besar. Ini bukan fatwa. Tak layak pun. Tetapi konsep masa ini diberi penekanan khusus dalam agama. Tidak menepati masa bermakna mungkir janji yang bersamaan dengan munafik dan berdusta.

“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar." (Al-‘Asr 103:3).

Soal menepati masa atau istilah bahasa Inggeris, punctual turut diberi penekanan dalam agama-agama lain seperti Kristian. Jelas soal menepati masa adalah satu elemen dalam kehidupan yang dititik beratkan oleh semua agama.

Daripada aspek sosiologi, banyak kajian telah dilakukan dalam soal menepati masa mengikut bangsa. Secara umumnya, bangsa-bangsa maju diiktiraf sebagai sangat mementingkan soal menepati masa. Perkara ini boleh diperkukuhkan lagi jika anda berpeluang berada di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jepun.

Masyarakat Jepun paling serius dalam hal ini. Jika anda terlewat, anda berisiko menyinggung perasaan mereka. Ini bukan persepsi. Tetapi sememangnya termeteri dalam budaya adat resam bangsa Jepun yang mementingkan ketepatan masa. Sebab itu pengangkutan awamnya seperti bas dan kereta api laju sangat-sangat boleh diharapkan tiba dan bertolak tepat mengikut jadual.

Begitu menjaganya masa bagi orang Jepun hinggakan mampu memberi keinsafan pula semasa berkursus di sana. Seorang penceramah terlewat sampai. Tidaklah lama pun. Mungkin 10 minit. Dengan muka sedih kesal yang bukan dibuat-buat, dan kepala menunduk, wanita itu memohon maaf kepada kami. Di pihak kami tidaklah merungut sebab ada yang ambil kesempatan menyedut tembakau di luar, tetapi jadi tergamam melihat perlakuannya. Dan diingat sehingga kini.

Di Malaysia, orang datang lewat boleh selamba sambil gelak-gelak berkata : “Nasib baik aku datang. Kalau aku tak datang langsung..."

Beberapa pengkaji menyifatkan Jepun sebagai negara terbaik dalam kategori konsep menepati waktu. Malah terdapat kajian mendapati pelajar kolej Jepun lewat ke kelas kurang daripada sekali seminggu dan pensyarah mendenda mereka yang lewat dengan memotong markah gred. Ini bukan semata-mata lewat menghantar tugasan atau kerja rumah tapi lewat hadir ke kelas!

Ketepatan waktu mendominasi banyak perkara dalam kehidupan bangsa Jepun. Purata kelajuan berjalan, ketepatan jarum jam di bank dan kecekapan pejabat pos diiktiraf sebagai luar biasa terbaik di dunia.

Menurut pengkaji, tarikh akhir (deadlines) bangsa Jepun adalah realistik kerana apabila sudah terbina, sangat jarang janji dimungkiri. Semasa musim memukat sotong, nelayan akan bangun seawal 2 pagi, bersarapan mengikut waktu secukupnya dan bergerak ke pantai menjelang pukul 4 pagi. Lewat sampai dilihat sebagai penghinaan terhadap ketua mereka, dan betapa pentingnya hubungan kerja itu, tiada siapa mahu mencetuskan penghinaan.

Dalam sesetengah budaya, pemahaman mereka berbeza mengenai konsep masa. Jika dijemput ke majlis pukul 10 pagi, mereka akan muncul sejam kemudian. Menurut pengkaji, orang Amerika Latin adalah tergolong dalam kategori ini manakala orang Arab, boleh menukar jadual itu keseluruhannya. Dijemput pukul 10 pagi, mereka boleh tidak datang langsung!

Di Amerika Syarikat, aspek menjaga masa bangsa maju ini memang boleh kita contohi. Satu insiden semasa bertemu dengan pensyarah komunikasi di Florida State University (FSU) menyaksikan saya sampai selepas tamat acara. Bukan salah saya tetapi pensyarah yang ditugaskan menjemput saya, berborak ‘sedikit lama’ dengan rakan di pejabat Tallahassee Democrat. Bila sampai di FSU, semua sedang makan. Tersipu-sipu jugalah menjawab sapaan sarjana di situ: ‘‘We were expecting you a little bit earlier’'. Demi menjaga muka ‘supir’ tersebut, saya sekadar memohon maaf. Takut balik kena naik teksi pula.

Untuk menjadi bangsa yang maju, kita mesti utamakan menepati waktu. Wawasan 2020 telah disasarkan sebagai tarikh kita menjadi sebuah bangsa negara maju. Kita kena tepati sasaran masa itu. Tidak boleh dianjak atau ditunda lagi.

Pagi ke malam minum kopi,

Sampai berjalan macam zombie,

Tepati masa, tepati janji,

Semua kerja mesti menjadi.



Johardy Ibrahim Utusan Malaysia Online Rencana 30/06/2013
Tags: masa
Subscribe

  • Online education must continue

    Learning sessions and approaches through educational television will be taken to provide students without access to the internet but access to…

  • There are more things than PPSMI 2.0

    The PPSMI issue is back in the news. The BM Linguistic group is again against the proposal. It is seen as a one-man show by an obsessed man and…

  • What students need to know

    Unwrapping standard is a simple strategy for teachers to identify the skills and content knowledge needed in a lesson to ensure students are…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments