kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Turki, Syria, Iran dari satu sudut

SEBAHAGIAN daripada rakyat Turki dengan senang hati melakukan tunjuk perasaan menentang Perdana Menteri Tayyip Reccep Erdogan.

Sementara di Syria, sebahagian rakyatnya bermati-matian dengan mengharungi penyiksaan dan kematian untuk menggulingkan Presiden Bashar Assad.

Di Iran pula, sebahagian rakyatnya mengundi untuk menyokong seorang calon presiden, Hassan Rowhani kerana beliau dianggap paling sederhana, bermakna tokoh yang membangkang elit politik dominan republik itu.

Secara umumnya dapat difahami bahawa media Barat menyokong sebarang usaha daripada rakyat Turki, Syria dan Iran yang menentang kerajaan masing-masing.

Maka disebutnya bahawa di Turki, kerajaan Erdogan adalah bersifat autoritarian, mempunyai agenda Islam dan bersikap menolak sekularisme.

Penentangan Barat terhadap Assad adalah jelas daripada awal. Ini kerana Syria dianggap sebagai negara yang berada sezaman dan sefahaman dengan Iraq zaman Saddam dan Libya zaman Gaddafi.

Terhadap Iran pula, ia merupakan negara yang dianggap musuh kepada Barat sejak berlaku revolusi yang menggulingkan Shah Reza Pahlavi.

Adalah menjadi impian kepada Barat supaya sistem Republik Islam Iran tumbang dan digantikan dengan suatu bentuk pemerintahan demokratik seperti apa yang diamalkan oleh kebanyakan negara-negara dunia.

Barat pernah cuba menggagalkan sistem pemerintahan Republik Islam Iran dengan menyokong Iraq pimpinan Saddam Hussein menyerang serta memerangi negara itu dalam Perang Iran-Iraq pada awal tahun 80-an. Tetapi mereka gagal.

Selepas itu mereka mengharapkan suatu penentangan dalaman di Iran. Setiap kali Pilihan Raya Presiden negara itu, Barat akan berusaha mencari tokoh yang dianggap sederhana. Apa yang disebut sebagai sederhana itu bermaksud golongan tidak puas hati terhadap dasar-dasar pemerintahan sedia ada di bawah pimpinan Pemimpin Tertingginya, Ayatullah Khamenei.

Justeru apa yang diharapkan ialah Persian Spring, iaitu kebangkitan rakyat Iran, kalau tidak pun setakat demonstrasi untuk menjatuhkan pemimpin mereka. Tetapi itu tidak berlaku.

Apa yang berlaku ialah Iran bertambah berpengaruh di rantau itu sepanjang tahun 90-an dan 2000-an.

Hizbullah yang merupakan kumpulan politik sokongan Iran menjadi kuasa paling berpengaruh di Lebanon. Ia berjaya mencabar pengaruh Barat bukan saja di Lebanon tetapi di Israel.

Hizbullah pula bersekutu dengan Syria. Ketiga-tiga kuasa politik ini: Hizbullah, Syria dan Iran menjadi paksi yang mencabar hegemoni Barat di rantau itu.

Selepas Amerika Syarikat menakluki Iraq, maka diharapkan semangat demokrasi yang diterapkan di Baghdad akan merebak ke negara-negara lain di rantau itu. Negara yang paling utama diharapkan akan berlaku perubahan ialah Syria.

Kerajaan Baghdad di bawah Saddam dan Damsyik di bawah Assad berkongsi fahaman iaitu Baathisme walaupun kedua-duanya bermusuhan. Justeru apabila Baghdad tumbang, maka Damsyik juga diturut akan terheret sama. Apabila Syria dapat di demokrasikan, maka Hizbullah juga akan lemah dan Lebanon dapat ditarik kembali kepada pengaruh Barat.

Tanpa Syria dan Lebanon, Iran juga akan tergugat. Itulah yang diharapkan daripada rentetan penaklukan Amerika Syarikat terhadap Iraq. Daripada Iraq, ia pergi ke Syria, Lebanon dan akhir sekali Iran.

Tetapi pendemokrasian di Iraq tidak membawa kepada kebebasan di Timur Tengah. Sebaliknya Iraq terpaksa mengharungi penderitaan daripada keganasan yang berlarutan dan berpanjangan.

Sebaliknya Teheran mendapat tapak pengaruh ke atas kerajaan Baghdad. Ia merupakan sesuatu yang tidak dapat dielak oleh Amerika Syarikat. Washington dan Teheran mendapati diri mereka berada di pihak yang sama bagi menentang golongan Sunah yang bersenjata.

Setelah beberapa tahun berlalu, apa yang berlaku bukannya Persian Spring tetapi sebaliknya Arab Spring. Ia tidak bermula di Syria tetapi tercetus di Tunisia, sebuah negara sekutu Barat.

Tuntutan pendemokrasian berlaku bukan di negara anti-Barat seperti Syria dan Iran, sebaliknya ia berlaku di negara-negara pro-Barat iaitu Tunisia dan Mesir.

Walaupun media Barat mengalu-alukan revolusi ini, tetapi mereka bimbang bahawa dalam demokrasi, pihak yang akan dipilih rakyat adalah golongan berasal dari kalangan gerakan Islam.

Tetapi apa yang disebut sebagai Arab Spring itu menggembirakan pihak Barat kerana ia merebak kepada negara-negara yang bukan sekutu Barat khususnya Libya dan Yemen tetapi lebih penting lagi ialah Syria.

Sementara Arab Spring di Bahrain berjaya dipatahkan dan kerajaan yang merupakan sekutu Barat di situ selamat.

Di Tunisia dan Mesir pula, seperti yang dijangka Barat, kerajaan yang muncul melalui proses pilihan raya ialah pihak-pihak yang berasal dari gerakan Islam, iaitu Islamic Trend Movement di Tunisia dan Ikhwanul Muslimin di Mesir.

Kedua-dua kumpulan ini menubuhkan sayap parti politik dan menggambarkan diri mereka bukan lagi sebagai gerakan Islam tetapi lebih kepada kumpulan demokrat dan tidak menentang sekular. Mereka mahu menyamakan diri mereka dengan Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) Turki pimpinan Erdogan. Ada pihak menamakan mereka pasca Islamis.

Tetapi media Barat dalam mengalu-alukan mereka, kecurigaan tetap ada. Mereka dianggap sebagai menyembunyikan agenda Islam. Termasuklah Erdogan.

Ternyata Syria tidak semudah Tunisia, Mesir dan Libya. Perang saudara berlaku. Mesir dan Turki mengisytiharkan sokongan kepada penentang Assad. Iran membela Damsyik.

Tetapi Barat mempunyai agenda tersendiri terhadap pasca Islamis ini. Demonstrasi disokong Barat dilancarkan terhadap kerajaan-kerajaan Tunis, Kaherah dan Ankara walaupun kesemua mereka ini dipilih oleh pengundi melalui proses pilihan raya yang dapat diterima.

Arab Spring sudah merebak menjadi Turkish Spring pula. Maka timbullah kata-kata bahawa demokrasi bukan sekadar proses pilihan raya. Ia seharusnya lebih daripada itu. Demokrasi wajar meliputi kebebasan bersuara di samping menghormati suara-suara minoriti.

Parti-parti politik yang menang dalam pilihan raya tidak bermakna mempunyai semua kuasa dalam pemerintahan.

Mereka perlu mengambil kira pihak minoriti yang kalah dalam pilihan raya. Ini kerana negara adalah milik semua, bukannya sesuatu pihak yang menang pilihan raya.

Maknanya Barat bukan saja mahukan demokrasi pilihan raya berlaku di negara-negara Timur Tengah. Mereka mahu kerajaan yang sekular seperti mereka. Sama ada konservatif atau sosialis, sesebuah kerajaan mestilah bersifat sekular.

Walaupun pasca Islamis menerima sistem demokrasi dan toleran terhadap sekularisme, tetapi Barat tidak mempercayainya.

Usaha Erdogan hendak membina semula bangunan warisan Uthmaniah dan masjid baru berseni bina Uthmaniah dipandang sebagai agenda Islam yang bertopengkan demokrasi dan sekular.

Untuk melawan pasca Islamis ini, caranya ialah dengan demonstrasi. Walaupun tindakannya itu akan dibalas dengan demonstrasi yang lain, tetapi ketidakstabilan akibat daripada itu diharapkan akan menggagalkan sebarang agenda Islam daripada golongan pasca Islamis ini.

Barat dengan jelas komited hendak menggulingkan Assad. Presiden Barrack Obama juga sudah membuat keputusan untuk membekalkan senjata dan menyokong penuh penentang-penentang Assad.

Mesir dan Turki juga turut membantu pihak yang menentang Assad. Tetapi setelah Assad berjaya ditumbang kelak, pihak Barat dapat difahami tidaklah mahu kerajaan baru itu terdiri daripada golongan pasca Islamis seperti di Turki dan Mesir. Mereka menginginkan negara Syria yang benar-benar demokratik dan sekular.

Selepas Syria, tentulah harapannya ialah untuk mengubah pula Iran.


ZIN MAHMUD Utusan Malaysia Online Rencana 30/06/2013
Tags: erdogan, politik, spring
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments