kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bara semangat 40 tahun ragbi SM Sains Selangor

APABILA menyebut SMSS, Sains Selangor, SMS Old Boys, SMSS 10s, apa yang terpancul dalam fikiran ialah ragbi, ragbi dan ragbi. Ragbi bukan sahaja sukan tetapi semacam budaya hidup bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS).

SMSS menjadi salah satu pasukan ragbi sekolah ternama di negara ini dengan pencapaian lebih 100 gelaran juara di peringkat kebangsaan, negeri termasuk rekod 43 juara peringkat negeri dalam kategori junior dan senior, rekod 4 kali juara kebangsaan Sekolah Berasrama Penuh bawah 16 tahun dan 5 kali juara Kejohanan Ragbi Ansara Tens.

Kejayaan ini melonjakkan lagi nama kelab ragbi alumni, SMS Old Boys Rugby Club dan kejohanan Ragbi SMSS 10s (selama 20 tahun, kini SMSS 7s) yang merupakan kejohanan ragbi tertua anjuran sekolah di Malaysia.

Ragbi bukan sahaja permainan tradisi sekolah ini tetapi memahatkan nama SMSS sebagai sekolah ragbi terbaik di Malaysia.

Kenapa sekolah ini begitu 'menyintai' ragbi? Keluarga SMSS baik pelajar lelaki dan perempuan, guru, alumni, peminat dan penyokong serta ibu bapa begitu ghairah pada sukan warisan penjajah itu kerana di situ lahirnya rasa megah, bangga apabila bergelar juara tetapi boleh menitiskan air mata dan kecewa apabila ditewaskan.

Sokongan kuat Pengetua SMSS yang pertama M.P. Prabhakar membantu sukan ragbi terus mekar di sekolah ini. Tetapi faktor utama ialah 'Bapa dan juga datuk' kepada ragbi SMSS ialah Ian Fleming Gordon.

Pada tahun 1975, ketika berusia 41, guru Matematik dari Scotland yang ditugaskan sehingga 1979 di SMSS itu menjadi jurulatih yang sama-sama bermandi hujan dan dibakar pancaran matahari, akhirnya berjaya melahirkan pemain-pemain ragbi yang hebat.

Bayangkan ketika di padang bukan mudah untuk menjatuhkan mat salleh ini biarpun diterkam lima orang budak sekolah.

Setelah empat tahun membimbing pasukan ragbi SMSS , sungguhpun tewas peringkat umur 20 tahun, akhirnya pasukan bawah 15 tahun yang dibimbing Gordon pada 1978 berjaya memulakan langkah juara Selangor dan Wilayah Persekutuan pada 1980.

Selepas itu lebih 30 tahun SMSS tidak sepi daripada gelaran juara dan naib juara dalam peringkat sekolah mahupun kelab. Ramai juga pemain SMSS mewakili negeri dan negara.

Selain Gordon, tradisi kemenangan pasukan ragbi sekolah ini turut disumbangkan oleh bekas pelajarnya tahun 1977, Raja Idris Raja Ali yang lebih 20 tahun berkhidmat sebagai guru dan jurulatih di SMSS. Kini sudah ditubuhkan pasukan ragbi wanita SMSS sejak 2012.

Kenangan manis saya sebagai pemain ragbi untuk SMSS, wakil negeri dan kelab kembali terbayang-bayang apabila menatap buku tulisan Tuan Haji Zahidi Ahmad berjudul From Boys To Gentlemen - SMSS Rugby 1974-2012.

Buku ini menghimpunkan kisah penubuhan 40 tahun SMSS, bukan sahaja sejarah awal sekolah dan pelajarnya tetapi juga kebangkitan dan perkembangan ragbi di sekolah itu. SMSS antara sekolah menengah sains bertaraf berasrama penuh yang terawal ditubuhkan pada 1973 dan kini berstatus Sekolah Berprestasi Tinggi sejak 2011.

Himpunan gambar sejak 40 tahun lalu membawa kenangan pasukan ragbi SMSS sehingga kini.

Daripada berlatih di padang tanah keras dan berbatu kecil pada 1974, membawa pasukan ragbi SMSS mengharungi tahun cemerlang bermula 1980, memasuki tahun 1990-an, 2000 hingga 2012.

Gambar dan kronologi buku ini dikumpul oleh bukan pun pemain ragbi - Tuan Haji Zahidi - pelajar perintis SMSS 1977. Begitulah juga beberapa orang kuat ragbi Selangor dan negara bukan pun pemain ragbi di sekolah tetapi aktif mewakili ragbi bagi peringkat universiti, kelab dan negeri kerana nama SMSS yang sinonim dengan ragbi.



Azman Anuar rencana@utusan.com.my Utusan Malaysia Online Rencana 03/07/2013
Tags: ragbi, sms
Subscribe

  • Raja, rakyat dan perlembagaan

    TIDAK berapa lama dulu seorang diplomat Thai memberitahu bahawa saya tidak perlu menunjukkan pembesar dan pemimpin Thai berinsut di lantai ketika…

  • Perlembagaan Persekutuan bukan saluran pecat pemimpin

    SAYA terpanggil untuk berkongsi pandangan perundangan mengenai isu ini kerana sejak akhir-akhir ini, ada yang menyatakan pandangan dan tafsiran…

  • Hak kebebasan berhimpun

    DALAM masyarakat demokratik, rakyat memainkan peranan penting menyemak dan mengimbangi (check and balance) cabang-cabang kerajaan supaya tidak…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 2 comments