kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Sup malam Jumaat, 'balimau' dan sambutan Ramadan

TANAH Abang sememangnya sudah tidak asing lagi bagi rakyat Malaysia yang berkunjung ke Jakarta. Ia menjadi salah satu destinasi popular untuk beli belah.

Namun bagi penduduk Jakarta, salah satu tarikan utama di Tanah Abang ialah sup kaki kambing. Ia dikatakan menjadi hidangan paling digemari oleh penduduk-penduduk Jakarta terutama pada malam Jumaat.

Di Jalan KH Mas Mansyur-Karet Vivak, Tanah Abang, seorang peniaga, Karim bersama anak-anaknya sibuk membuat persiapan bagi memulakan perniagaan sup kaki kambing tersebut.

Walaupun belum dibuka tetapi orang ramai sudah beratur panjang di warung yang tertulis 'Sop Kaki Kambing Tanah Abang Bang Karim' itu.

''Setiap malam Jumaat, pelanggan meningkat mendadak. Saya mula berniaga pukul 6 petang, pukul 9 malam sudah habis. Maklumlah banyak pasangan suami isteri mahu 'melakukan aktiviti' pada malam yang baik,'' kata Abu, salah seorang anak Karim penuh makna.

Menurut peniaga-peniaga seperti Karim, sup kaki kambing dikatakan mampu meningkatkan kekuatan tenaga batin khususnya kepada lelaki. Walaupun ada juga yang menjual sup kaki lembu namun ia tidak sepopular sup kaki kambing.

Mungkin kerana mitos yang berkembang inilah ia memungkinkan ramai kaum lelaki tercari-cari sup kaki kambing di Jakarta pada malam Jumaat, khususnya di Tanah Abang.

Sebenarnya, kawasan Tanah Abang telah lama menjadi pusat sup kaki kambing di Jakarta. Sejak awal 1990-an lagi, pedagang makanan ini bertaburan di kawasan-kawasan perumahan kecil.


Selain hidangan sup kaki kambing, masyarakat Jakarta juga menggemari sup kaki lembu.

Menurut Karim yang mula berniaga sup tersebut bersama bapanya sejak awal tahun 1960-an, peniaga sup kaki kambing pada asalnya bermula di kawasan perumahan Mess di Tanah Abang.

Sejak itu sup kaki kambing menjadi salah satu hidangan paling popular di Tanah Abang. Mengikut catatan sejarah kawasan itu sememangnya terkenal dengan kawasan menjual kambing sehingga ia digelar 'pasar kambing' .

Rudi, seorang lagi peniaga sup kaki kambing memberitahu, hampir semua peniaga sup di Tanah Abang secara turun-temurun pernah menjadi penjual kambing.

''Kami pakar menyembelih kambing. Di sini juga lahir ramai yang pandai memasak sup kambing dan akhirnya menjadi ia sumber pendapatan,'' kata Rudi.

Sup kaki kambing Tanah Abang dicampur dengan susu lembu kerana ia mengikut pengaruh orang Arab.

''Bapa saya juga pada awalnya menjual sup kaki kambing biasa tetapi dia kemudiannya memasukkan susu lembu sebagai penambah perisa. Hasilnya, rasanya cukup mantap,'' kata Karim.

Susu lembu yang digunakan diambil daripada peniaga susu di kawasan Kuningan Jakarta, bagaimanapun Karim tidak lagi menggunakan susu segar untuk dimasukkan dalam hidang sup kaki kambing.

Dia menggunakan susu tepung memandangkan susu lembu sekarang dianggap kurang kualiti berbanding dahulu.

Tidak kisah apa pun kaedahnya, yang pasti susu kaki kambing yang dipelopori oleh masyarakat Betawi ini menjadi hidangan pilihan di Jakarta.

Ia juga dikatakan akan turut menjadi salah satu hidangan utama kepada masyarakat Jakarta apabila umat Islam mula berpuasa pada Rabu ini.

Khasiat sup kaki kambing dikatakan akan mampu memulihkan tenaga dan cara itu menurut seorang teman di Jakarta ia akan memberi kekuatan kepada mereka untuk beribadah pada malam hari khususnya menunaikan solat tarawih.

Menyentuh soal Ramadan, salah satu tradisi sebahagian rakyat Indonesia ialah membersihkan badan atau dalam istilah di wilayah Padang ia dipanggil 'balimau'.

Mandi

'Balimau' adalah tradisi mandi menggunakan limau nipis yang berkembang dalam kalangan masyarakat Minangkabau dan biasanya dilakukan pada kawasan tertentu yang memiliki aliran sungai dan tempat perkelahan. Ia dikatakan diwarisi secara turun temurun, tradisi ini dipercayai telah berlangsung selama berabad-abad.

Khabarnya, maksud 'balimau' adalah membersihkan diri secara lahir dan batin sebelum memasuki bulan Ramadan, sesuai dengan ajaran agama Islam, iaitu mensucikan diri sebelum menjalankan ibadah puasa.

Dalam tradisi ini sebenarnya perempuan tidak seharusnya mandi di sungai agar tidak bercampur dengan lelaki. Namun malangnya, ia sudah tidak diikuti lagi sehingga dilihat tidak lagi menepati ajaran Islam kerana mencetuskan pergaulan antara lelaki dan perempuan.

Berikutan itulah, Majlis Ulama Indonesia (MUI) Sumatera Barat pada Khamis lalu menyatakan kegiatan 'balimau', perlu untuk diperbetulkan kerana tujuan sebenarnya adalah mensucikan diri dan bukan untuk berseronok.

Ketua MUI Kota Padang, Duski Samad berkata, 'balimau' adalah budaya untuk mensucikan diri menjelang masuknya bulan Ramadan.

"Namun, sekarang ia bercampur dengan kegiatan untuk berseronok yang harus tinggalkan," kata Duski.

Duski menegaskan, 'balimau' sebenarnya mempunyai tiga tujuan sebelum memasuki bulan Ramadan iaitu meningkatkan keimanan, memperoleh manfaat dan menuju ketenteraman dengan lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT.

"Jika masih mahu melaksanakan budaya "balimau", lakukanlah dengan sewajarnya seperti di rumah masing-masing dengan niat menjalankan ibadah puasa pada bulan Ramadan,'' katanya.

Di Bandung pula, sempena Ramadan, badan bukan kerajaan (NGO) Islam menggesa pihak polis mengambil tindakan terhadap mana-mana wanita yang sengaja berkeliaran di bandar itu dengan berpakaian seksi.

Ketika mengemukakan desakan tersebut, Pengasas Suara Perempuan Jawa Barat, Euis S. Rifki berkata, perbuatan mereka itu boleh mengganggu ibadah berpuasa.

Menurut Euis, berpakaian sopan boleh menghindari perempuan di bandar Bandung dari kejahatan seperti pencabulan dan perkosaan. "Mereka sengaja berpakaian kurang sopan sampai terlihat pakaian dalam, tetapi ketika diperlakukan tidak sopan, mereka akan marah," katanya.

Bagaimanapun ketika mengulas desakan tersebut, Ketua Polis Bandung Sutarno berkata, adalah sukar untuk pihaknya bertindak ke atas perempuan yang berpakaian seksi di bulan Ramadan.

''Tidak ada undang-undang untuk kita berbuat demikian tetapi kalau sekadar membuat seruan boleh sahaja,'' katanya.

Bagaimanapun beliau menyokong usaha untuk menyeru kaum perempuan di Bandung berpakaian sopan sepanjang Ramadan kerana ia demi kebaikan golongan itu juga.


ZULKIFLEE BAKAR Utusan Malaysia Online Rencana 07/07/2013

Tags: ramadhan, sup
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments