kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Apa itu filem?

SITI sekadar nak melontarkan pertanyaan klise, basi dan sangat boleh dianggap soalan bodoh oleh sesetengah pihak yang berasakan diri mereka cerdik. Siti nak tanya apa itu filem? Kenapa kita bersusah payah mewujudkan dan membangunkan (dengan cara kita) industri filem? Kenapa pula kerajaan harus memberi banyak peruntukkan kepada bidang pembuatan filem?

Filem yang pertama ditayangkan kepada umum ialah pada 28 Disember 1895 di Paris oleh Lumiere. Di negara kita filem tempatan pertama dipercayai diterbitkan pada 1939. Sehingga kini kita telah menerbitkan mungkin beribu-ribu judul dan yang terbaru kalau tak silap Siti berjudul Bro, Lu Gua. Siti tak tahu siapa yang mengarahnya kerana Siti sengaja tak nak ambil tahu tentang filem begini.

Dalam rombakan Kabinet yang dibuat baru-baru ini, bidang perfileman diletakkan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Sebelum ini filem berada di bawah Kementerian Penerangan Kebudayaan dan Komunikasi. Sekarang bidang komunikasi dan kebudayaan sudah dipisahkan tapi persoalannya kenapa filem diletakkan di bawah portfolio komunikasi dan multimedia, bukan kebudayaan di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan?

Siti fikir bidang perfileman di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia memperlihatkan kefahaman kita terhadap definisi dan peranan serta sejarah kewujudan filem terlalu di permukaan. Tapi sebenarnya tak menghairankan kerana yang diperlihatkan sejak dulu hingga kini walaupun penubuhan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sudah lebih 30 tahun, kita tak kita masih keliru kenapa hendak membangunkan bidang perfileman.

Memang benar dalam filem ada elemen komunikasi dan juga multimedia. Tapi ini hanya elemen bukan asas atau tunggak berdirinya satu karya bernama filem. Kalau diperhatikan dengan mendalam, filem bukanlah berkomunikasi dengan masyarakat. Malah di segi multimedia pula, itu hanya untuk mencantikkan dan memudahkan serta meningkatkan kualiti visual, bukan kualiti pemikiran. Setinggi mana teknologi multimedia disumbatkan pun kalau sebuah filem itu tidak dibangunkan dengan teras pemikiran, ia tetap tidak ada nilai.

Masyarakat

Filem adalah tentang tamadun, kebudayaan dan menjadi ejen perubahan kepada masyarakat. Filem yang hebat dan terbukti tidak ditelan zaman adalah tentang kebudayaan dan tamadun manusia. Belum ada lagi filem yang hebat kerana tahap komunikasi atau penggunaan multimedianya terkini dan tinggi. Tapi apa yang berlaku dalam bidang perfileman tempatan adalah sebaliknya.

Kalau kita lihat sejak Perang Dunia Kedua di mana Yahudi menjadi mangsa kekejaman tentera Nazi di Jerman, dunia filem Hollywood yang dikuasai oleh Yahudi, menerbitkan tidak kurang 160 filem bertemakan Yahudi atau lebih tepat lagi peristiwa Holocoust. Ini bermakna filem bukanlah alat hiburan seperti yang berlaku dalam industri filem kita.

Pembangunan filem pula selalu ditekankan sebagai bahan untuk menggerakkan sebuah industri. Keperluan industri adalah sesuatu yang diterima secara popular oleh masyarakat dan memberi keuntungan material kepada pelabur dalam industri berkenaan. Kita terlalu tergesa gesa mahu menjadikan filem sebagai industri sebelum peranannya sebagai agen perubahan dan tamadun manusia dimantapkan.

Maka segala manusia asalkan ada duit boleh menjadi penerbit filem malah boleh menentukan dasar dasar pembangunan filem di negara ini. Semua dasar itu tidak lebih dasar kapitalis yang hanya mahu mengaut untung dengan mengemukakan falsafah bahawa filem adalah alat hiburan.

Maka Siti melihat meletakkan bidang perfileman di bawah portfolio komunikasi dan multimedia adalah membuktikan pembangunan filem bukan dari sudut tamadun dan kebudayaan manusia. Kita hanya mahu menjadi negara penerbit filem yang terbesar, setidak-tidaknya di rantau ini tapi tidak pernah memikirkan tentang isi kandungan yang berpaksikan tamadun dan kebudayaan manusia.

Banyak negara maju membuat filem untuk membangunkan masyarakat dengan menyuntikkan pemikiran tinggi. Kita membuat filem kerana untuk memajukan sebuah industri yang telah diselewengkan peranan dan tujuannya. Selepas ini kita pasti berbangga dengan filem yang berteknologi tinggi, apa lagi selepas filem disingkirkan asas kebudayaan dan tamadun manusia. Apa itu filem? Filem ialah alat untuk merendahkan pemikiran masyarakat dan mengkayakan kapitalis filem.

SITI JARUM: Kita dah ada kilang membuat filem. Tahniah.



Siti Jarum hUtusan Malaysia Online Rencana 07/07/2013
Tags: filem
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments