kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Jangan paksa guru pakar Inggeris ke kampung

SAYA merujuk kepada artikel yang dimuatkan dalam ruangan Forum di Utusan Malaysia pada 2 Julai 2013 mengenai tajuk Sindrom Guru Bahasa Inggeris.

Saya rasa tidak keterlaluan jika sekiranya saya mengatakan bahawa penulis itu dengan nama samaran guru wawasan dari Pahang Darul Makmur tidak faham dan mengerti tentang cara untuk mencari punca masalah yang sebenar bagi hendak mengembangkan kemahiran dan kepakaran Bahasa Inggeris ke luar bandar.

Penulis itu lupa akan pepatah Melayu yang sering mengingatkan supaya berhati-hati 'jangan sampai yang dikejar tak dapat dan yang dikendong pula keciciran'.

Pandangan beliau supaya guru pakar dihantar ke luar bandar untuk membantu murid supaya fasih dalam bahasa Inggeris adalah langkah yang akan merugikan semua pihak dan khususnya Malaysia sendiri.

Saya tidaklah berniat untuk memperkecilkan kebolehan dan kemampuan murid di luar bandar tetapi saya berpendapat bahawa adalah lebih baik murid yang berpotensi di luar bandar dibawa masuk ke sekolah berasrama penuh dengan mendapat bantuan penuh daripada guru pakar sudah sedia ada untuk mendidik dan membantu murid ini tanpa mengorbankan hak murid di bandar yang potensi mereka untuk maju sudah terjamin.

Kerajaan menyediakan sekolah Mara berasrama penuh dan sekolah berasrama lain di peringkat sekolah menengah.

Kini sudah tiba masanya kerajaan menyediakan sekolah sedemikian untuk murid tahun 4, 5 dan 6 pula bagi memilih murid berpotensi belajar bagi mendapat guru pakar bagi mengasah bakat mereka terutama yang datang dari luar bandar dan pedalaman.

Mari kita bayangkan guru yang dipaksa untuk berkhidmat di luar bandar atau di pedalaman secara paksa sudah pasti akan tidak memberi keuntungan kepada murid atau sekolah tersebut.

Mereka akan membawa kekecewaan ke sekolah dan akhirnya guru tersebut akan secara tidak sedar atau separuh sedar akan memperbudayakan satu 'budaya acuh tak acuh' dalam mengajar di sekolah.

Guru cemerlang adalah guru yang seronok dan gembira berada di tempat mereka bekerja kerana mereka juga ada perasaan dan sayangkan kepada keluarga tercinta mereka masing-masing.

Seseorang boleh paksa kuda ke sungai tetapi tidak boleh memaksanya meminum air di sungai itu.

Cakap memang mudah seperti melaungkan slogan yang indah-indah seperti berkhidmat untuk negara dan demi anak bangsa dan sebagainya tetapi apabila terkena batang hidung sendiri, baharu tahu senang susahnya untuk mempraktikkan semua slogan itu.

Marilah kita sama menjaga kepentingan semua pihak dengan tanpa mengorbankan hak yang lain di samping menjaga semua perasaan dan kepentingan semua pihak.

PEMERHATI BERWAWASAN DAN IKHLAS Teluk Kumbar Utusan Malaysia Online Bicara Agama 15/07/2013

Tags: posting, teachers
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments