POLITIK adalah satu seni untuk hidup dalam jangka panjang secara berterusan. Kita perlu faham bahawa politik ibarat peperangan yang tidak akan ada pihak yang akan menang selama-lamanya.
Sejarah peperangan dunia membuktikan bagaimana pada awalnya Jepun begitu megah dan angkuh apabila mereka berjaya menewaskan Amerika Syarikat (AS) dalam serangan Pearl Harbor dalam pertarungan yang pertama. Bagaimanapun, AS bangkit dengan serangan bom di Hiroshima dan berakhirnya legasi Jepun dalam dunia peperangan ketika itu. Namun begitu, Jepun bangkit sebagai kuasa ekonomi dunia dalam jangka masa kurang daripada 20 tahun.
Dalam soal ini, MCA boleh memilih untuk belajar dari Jepun mahupun AS iaitu menerima kekalahan sementara dan bangkit menjadi lebih kuat daripada sebelumnya. Sebenarnya, MCA juga boleh belajar daripada sejarah politik parti itu sendiri dalam 11 pertembungan dengan DAP bagi merebut kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum yang diadakan sejak tahun 1969.
Pada tahun 1969 MCA seri dengan DAP apabila kedua-dua parti itu masing-masing memenangi 13 kerusi. Namun begitu, pada pilihan raya 1974 MCA bangkit dengan (19-9),1978 (17-16) dan 1982 (24 -9).
MCA kemudiannya tewas kepada DAP, dua kali berturut-turut pada tahun 1986 (17-24) dan 1990 (18-20). Namun begitu, MCA kembali bangkit pada tahun 1995 (30-9), 1999 (28-10) dan 2004 (31-12 ). MCA kembali kalah pada tahun 2008 (15-28) dan yang terbaharu 2013 (7 -38). Angka ini bermakna MCA berjaya menewaskan DAP 7 kali, tewas 4 kali dan seri sekali dalam 11 pertembungan mereka.
Secara keseluruhannya MCA berjaya menang 219 kerusi berbanding DAP hanya 189 dalam pertembungan 44 tahun mereka sejak 1969.
MCA selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) seolah-olah kehilangan roh dan hala tuju mereka. Segala langkah mereka demi memartabatkan MCA hanyalah akan lebih mengeruh dan melemahkan MCA tanpa diketahui oleh mereka. Bahayanya MCA kini adalah segala `ubat yang cuba dicadangkan oleh mereka bukanlah `ubat yang tepat untuk mengubati permasalahan akar kekalahan sebenar .
Apakah kesilapan MCA secara umumnya ?
Kepimpinan baharu
Kita lihat sahaja sejarah bola sepak apabila Chelsea yang begitu kaya dan mampu melantik dan memecat mana-mana pengurus bola sepak di dunia dengan sekelip mata. Apabila Chelsea tidak mencapai matlamat yang disasarkan maka mereka sering memecat dan menggantikan pengurus pasukan mereka dan seolah-olah pengurus kelab tersebut merupakan satu-satunya faktor kekalahan mereka.
Akhirnya , selepas menggantikan beberapa pengurus selepas Jose Mourinho, Chelsea masih lagi tidak mendapat keputusan yang mereka sasarkan. Begitu juga dengan prestasi beregu badminton negara Koo Kien Kiat dan Tan Boon Heong yang semakin merudum selepas peninggalan Rexy Manaiky.
Sehubungan itu, sehari selepas kekalahan MCA dalam PRU-13 terdapat segolongan veteran MCA mencadangkan supaya pemimpin tertentu meletakkan jawatan. Kemunculan mereka hanya mengeruhkan krisis dalaman MCA. Ia memandangkan ketika ahli-ahli di peringkat akar umbi masih belum lagi pulih daripada kekalahan dalam PRU-13, mereka terpaksa pula berdepan dengan satu lagi pertarungan dalaman.
Tidak dinafikan niat golongan veteran MCA adalah baik namun cadangan mereka tidak tepat pada masanya. MCA hanya akan menjadi sebuah parti yang kuat, jika semua pihak bersedia bertanggungjawab sama ada ketika menang atau kalah. Tindakan meletakkan kesilapan ke atas individu tertentu bukanlah ubat yang tepat bagi mengubati krisis yang melanda.
Cadangan sedemikian bukan sahaja bahaya kepada MCA malahan juga bahaya kepada rakan dalam Barisan Nasional (BN) apabila UMNO dan MIC juga bakal berhadapan dengan pemilihan parti mereka sendiri. Fenomena menggulingkan pemimpin tertinggi yang tewas dalam pilihan raya akan mencetuskan krisis dalaman.
Kemasukan MCA dalam Kabinet
JIKA benar, penyertaan MCA dalam Kabinet boleh memberi kemenangan kepada parti dalam pilihan raya umum akan datang, maka sudah pastilah ia satu tindakan yang wajar. Namun begitu , jika kemasukan MCA ke dalam Kabinet tidak banyak memberi kesan dalam pilihan raya akan datang maka mengapa pula timbulnya cadangan ubat sedemikian yang hanya akan memecah-belahkan MCA.
Ubat seperti ini akhirnya membawa padah apabila terdapat pemimpin dalam MCA yang sanggup menentang titah Sultan Johor hanya kerana perbezaan pendapat sama ada MCA seharusnya menerima jawatan dalam kerajaan ataupun tidak.
Penggabungan parti pelbagai kaum bersama Gerakan dan SUPP
JIKA parti pelbagai kaum merupakan jawapan kepada kebangkitan MCA bersama Gerakan dan SUPP maka mengapa Gerakan, PPP dan SUPP yang merupakan komponen parti berlandaskan pelbagai kaum turut mengalami kekalahan dalam PRU-13? Kekalahan parti pelbagai kaum dalam BN jauh lebih teruk berbanding dengan parti satu kaum seperti UMNO, MCA mahupun MIC.
Cadangan untuk mewujudkan parti pelbagai kaum ini hakikatnya mahu mengikut rentak ideologi pakatan pembangkang dan seolah-olah MCA tidak memiliki hala tuju dan acuan sendiri. Sesebuah parti politik mampu untuk bangkit semula apabila tewas dalam mana-mana pertempuran asalkan berpegang kepada akar jati diri dan acuan mereka.
Falsafah berubah mengikut masa tidak semestinya berubah mengikut rentak lawan. Pakatan pembangkang melaungkan slogan Change maka kini timbul pula Change MCA dan Change is the only Constant . Perubahan mengikut masa adalah lebih kepada perubahan berlandaskan kepada acuan yang tersendiri dan bukannya mengikut rentak lawan.
Jika benar parti pelbagai kaum adalah satu-satu jawapannya, kenapakah Pas tidak membuka keahlian mereka kepada kaum lain?
Road show Transformasi MCA
ROAD show ini adalah baik namun lebih baik jika ia dilakukan sebelum pilihan raya bagi mengumpul pendapat, cadangan dan luahan daripada jentera pilihan raya serta ahli-ahli MCA ketika hendak berdepan dengan pembangkang dalam PRU-13.
Ketika MCA menjalankan road show transformasi pasca PRU-13 , DAP pula aktif menjalankan road show dan kempen menarik sokongan muda untuk menyertai perjuangan mereka. Kempen siapa yang sebenarnya lebih berpandangan jauh ? Tepuk dada, tanya selera.
Sesetengah pihak berpendapat road show ini adalah ubat dan jawapan kepada kebangkitan MCA tetapi realitinya road show ini lebih kepada mencari punca penyakit. Oleh itu, bagaimana pula boleh timbulnya segala cadangan ubat untuk mengubati sesuatu penyakit apabila road show mencari punca penyakit masih belum lagi tamat? Bagaimana doktor boleh mencadangkan sesuatu jenis ubat sebelum mengetahui punca penyakit seseorang pesakitnya?
Apabila tamat sahaja road show tiada satu pelan tindakan jangka masa pendek dan panjang secara terperinci bagaimana MCA boleh berhadapan dengan DAP dan apakah yang sebenarnya seharusnya dilakukan oleh MCA.
Road show tersebut dilakukan seluruh negara tetapi setakat ini yang timbul ialah cadangan nama individu tertentu untuk menjadi Presiden MCA. Adakah ini hasil road show transformasi tersebut?
Secara ringkasnya ubat yang tepat adalah ubat P iaitu Perancangan dan Pelan Tindakan, Persepsi, Pemuda, Perang Siber, Penjenamaan, Penyatuan, Publisiti, Punca dan Penyelesaian, Pembaharuan dan bukannya falsafah perubahan pakatan pembangkang.
Utusan Malaysia Online Rencana 28/07/2013