kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pemikiran Lee Kuan Yew ada muslihat tersendiri

BUKU terbaru Lee Kuan Yew "One Man's View of the World" antara lain menyebutkan, "Dasar-dasar berasaskan kaum di Malaysia tidak menguntungkan negara ini" dan " Malaysia tidak mengguna pakai bakat semua kaum".

Dua kerat kenyataan Kuan Yew itu ibarat meludah ke langit dan tertimpa ke muka sendiri. Bak kata pepatah, " Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih". Psiki Malaysian Malaysia masih menghantui Kuan Yew sehingga kini.

Apakah gambaran PAP di Singapura dan dominasi politik Cina di Singapura bukan gambaran dari suatu kaum. Kalau merit dan keadilan antara kaum dijadikan ukuran apakah orang Melayu ada tempatnya dalam menduduki hierarki tinggi dalam tentera, polis, pendidikan dan perkhidmatan awam di Singapura.

Kuan Yew seolah-olah lupa bahawa penduduk Singapura hanya sekitar 4 juta dan berpusat di kota raya di mana orang Melayu hanya sekitar 14% dari keseluruhan penduduk sementara Malaysia mempunyai 29 juta penduduk di mana orang Cina hampir 35%.

Meskipun orang Melayu di Malaysia lebih sedikit 60% tetapi ekuiti atau pegangan yang dimiliki belum melepasi 20% sedangkan ekuiti orang Cina melebihi 70%. Gambaran ini tercermin jelas dalam realiti hidup di Malaysia di mana monopoli ekonomi dan bisnes masih menjadi dominasi orang Cina iaitu penguasaan satu kaum.

Rumah-rumah dan apartmen mewah dengan hartanah yang bernilai tinggi dimiliki oleh orang Cina dan sebahagiannya dari Singapura. Orang Cina yang kaya melabur dalam institusi pendidikan swasta supaya penguasaan Cina dalam bidang pendidikan terus dominan. Orang Melayu sedar mengenai kesan demografik taburan orang Cina di bandar dan tempat-tempat strategik yang bakal menentukan taburan undi dan kuasa politik Malaysia. Pilihan Raya ke-13 lalu menampakkan dengan jelas "tsunami Cina" terutamanya di bandar dalam kebangkitan kuasa politik yang dibantu oleh Pas dan Anwar Ibrahim (PKR).

Kuan Yew masih lagi nostalgik sewaktu berada dalam Malaysia suatu ketika dulu dan agendanya yang belum selesai sedang diteruskan oleh DAP atas nama sosialis demokratik yang amat jijik dengan negara Islam dan hukumah Islamiah. Ia tidak menghairankan kerana Kuan Yew sendiri adalah penganut fahaman agnostik yang melihat agama bukan suatu doktrin yang penting.

Kenyataan Kuan Yew mengenai Malaysia bukan saja mengandungi maksud yang tersurat tetapi juga maksud yang tersirat. Kalau isunya Malaysia mengutamakan suatu kaum apa bezanya Singapura terhadap kaum lain yang ada tempat di Singapura tetapi ekuiti atau keadilan tidak berlaku terhadap mereka.

Kalau isunya bakat semua kaum tidak diguna pakai, masyarakat Cina di Malaysia terus maju dalam semua bidang. Malah perpindahan bakat mereka ke Singapura atau ke Australia bukan sangat sebab tidak ada peluang kerja atau bisnes tetapi sebahagiannya tidak merasakan Malaysia adalah negaranya sendiri.

Seorang Pemenang Hadiah Nobel Prof. Joseph Stigliz berpendapat pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) memberi kestabilan politik, ekonomi dan sosial di Malaysia. Pandangan ini elok diteliti oleh Kuan Yew kerana realiti masyarakat Malaysia, bandar dan luar Bandar serta pinggir bandar terutama Sabah dan Sarawak masih lagi tidak seimbang.

Perlembagaan Malaysia yang dirumus sebelum kemerdekaan tercapai mengambil kira faktor sosio ekonomi, pertimbangan sejarah dan budaya supaya faktor keseimbangan dalam penguasaan antara kaum mestilah adil dan dirasai oleh semua. Meski DEB berjalan suatu ketika dulu untuk mencari titik keseimbangan ini, orang Cina masih terus bebas meraih ekuiti tinggi dalam ekonomi dan bisnes. Mereka tidak terpinggir dalam menerima faedah ekonomi dan penubuhan institusi pengajian tinggi swasta mengukuhkan lagi penghasilan sumber daya yang berpotensi dalam semua bidang.

Oleh itu usaha kerajaan membantu orang Melayu harus dilihat positif dalam usaha mencari titik-keseimbangan walaupun jalan ke arah itu tidak mudah di samping orang bukan Melayu masih bebas menikmati kemajuan yang sedang dicapai oleh negara ini.

Pembangunan Kota Iskandar umpamanya masih membuka ruang untuk pelabur Singapura terlibat. Apakah pembangunan yang sama di Singapura membenarkan pelabur Melayu terlibat sama. Atau pelaburan yang sedang berjalan di Pulau Pinang atau tempat-tempat lain di Malaysia membayangkan kerjasama pengusaha Cina dan Melayu atas gambaran Malaysia adalah sebuah masyarakat majmuk. Dalam bisnes orang Cina amat dominan. Amat payah tangan dihulur untuk membantu orang Melayu kerana akhirnya menerusi DAP dominasi Cina tidak saja berlaku dalam bisnes tetapi sedang berlaku dalam politik. Orang Melayu amat sedar dan insaf dengan hal ini.



Utusan Malaysia Online Rencana 13/08/2013
Tags: pemikiran, politik
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments