kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Mencari imbangan pembangunan ekonomi, kerohanian

BULAN Ogos dan September setiap tahun merupakan bulan penting dalam kalendar negara kita, kerana dalam tempoh ini, rakyat Malaysia pelbagai kaum menyambut kedatangan Hari Kemerdekaan.

31 Ogos adalah merupakan tarikh bersejarah yang harus diingati oleh setiap lapisan masyarakat kerana tarikh inilah negara kita mencapai kemerdekaan, bebas daripada belenggu dan cengkaman penjajah British.

Dengan tibanya tarikh bersejarah ini membawa ingatan kepada kita untuk mengenang kembali perjuangan yang telah dilakukan oleh bekas tokoh-tokoh negara yang berjuang membebaskan negara kita daripada belenggu penjajah.

Kemerdekaan sewajarnya menyedarkan rakyat bahawa negara kita bebas daripada penjajahan tanpa melibatkan tumpah darah. Rakyat Malaysia haruslah bersyukur dengan kemerdekaan yang dicapai, kerana melalui kemerdekaanlah rakyat dapat mencapai kegemilangan dalam semua aspek kehidupan.

Sambutan hari ulang tahun kemerdekaan ke-56 mempunyai makna yang mendalam dan hanya mereka yang mengerti dan mempunyai rasa cinta kepada tanah air dapat mentafsirkan maksud ulang tahun kemerdekaan ini dengan tepat.

Generasi muda hari ini perlu menghayati semangat kemerdekaan ini. Pengetahuan sejarah melalui pembelajaran sejarah di sekolah adalah amat penting bagi mendalamkan pengetahuan remaja hari ini tentang semangat dan erti sebenar kemerdekaan.

Sesungguhnya 31 Ogos adalah satu tarikh yang begitu bermakna yang tidak ada bandingannya. Amatlah wajar bagi semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, memahami dan menghayati kepentingan kemerdekaan ini.

Tarikh 31 Ogos perlu disambut dengan penuh kesyukuran dan semangat patriotik. Ini kerana kemerdekaan itu adalah kemegahan dan kebanggaan semua rakyat yang perlu dikongsi dan dihayati bersama.

Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan yang Ke-56 pada tahun ini diharap dapat memantap dan memperkukuhkan lagi semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan rakyat. Ini dijadikan lebih penting berikutan kejadian pencerobohan di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini.

Perpaduan negara sangat penting dan ia menjadi kunci kejayaan Malaysia. Sama ada Malaysia akan menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020 bergantung kepada beberapa faktor yang penting, terutama sekali perpaduan rakyat. Perpaduan hendaklah menjadi asas kepada semua aktiviti dan rancangan dalam semua sektor dan masyarakat di negara ini.

Perkauman dan apa juga bentuk polarisasi yang lain merupakan halangan terbesar kepada perpaduan negara dan haruslah menjadi keazaman semua pihak untuk memerangi polarisasi kaum secara yang serupa seperti mana kita telah mengisytiharkan perang terhadap ancaman dadah dan jenayah.

Bagi membolehkan proses tersebut terhindar daripada rintangan, pembuat-pembuat dasar, perancang-perancang dan mereka yang melaksanakannya hendaklah memastikan bahawa pemikiran dan amalan mereka sentiasa tertakluk kepada tujuan-tujuan dan nilai-nilai Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan yang teragung.

Segala rancangan pembangunan, perindustrian dan sebagainya bagi mencapai imbangan sosial dan mewujudkan keadilan sosial hanya akan mendatangkan makna jika rakyat berbilang kaum di negara ini dapat memperkukuhkan kepentingan bersama ke arah perpaduan.

Usaha saling bekerjasama rakyat Malaysia hendaklah berterusan bagi tujuan memelihara dan menguatkan semangat cinta dan kesetiaan kepada negara dan kebanggaan menjadi warga Malaysia. Semangat patriotisme haruslah sentiasa dipupuk dan dipelihara. Keharmonian kaum dan toleransi beragama di setiap peringkat harus terus diperkukuhkan.

Adalah tidak dapat dinafikan bahawa hari kemerdekaan memang meninggalkan kesan mendalam pada kita semua, terutama dalam kalangan generasi yang pernah berjuang untuk mencapainya.

Nilai murni menjadi asas penting kepada masyarakat Malaysia terutama dalam usaha mencapai taraf sebuah negara maju. Ini penting kerana konsep Wawasan 2020 itu sendiri telah menyebut dengan jelas hasrat negara untuk mencari titik keseimbangan antara pembangunan kebendaan dan kerohanian.

Apa yang perlu ditekan sekarang ialah kita harus menyeimbangkan pencapaian ekonomi dengan pembangunan kerohanian dan akhlak, di samping berusaha dengan lebih gigih untuk mencapai integrasi kaum dan perpaduan negara dalam gagasan 1Malaysia.



TAN SRI LEE LAM THYE ialah Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia Utusan Malaysia Online Rencana 15/08/2013
Tags: merdeka, wawasan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments