kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pemikiran rakyat: Berpolitik untuk apa?

MENJELANG tarikh kemerdekaan 31 Ogos, tertanya-tanya kita sejauh manakah 'merdekanya pemikiran berpolitik' rakyat Malaysia. Jika sekadar berpolitik untuk melepas geram, dendam, benci tentu tidak ke mana. Ia akan merugi masa, tenaga, belanja. Bimbang pula ia akan mencetus huru-hara, persengketaan dan menjejas keharmonian yang sedia ada.

Yang membimbangkan sejak akhir-akhir ini ialah apa yang boleh dianggap sebagai 'kecelaruan berpolitik'. Berpolitik tanpa objektif yang jelas. Berpolitik secara terikut-ikut, taksub, politik asal saja dinamakan kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) semua dianggap 'tidak betul'. Tegasnya berpolitik tanpa memahami matlamat.

Dikaitkan pula kononnya politik di Malaysia perlu berubah seperti yang berlaku di beberapa negara lain khususnya sekitar Asia Barat. Untuk apa? Teruk sangatkah kehidupan kita di Malaysia? Buruk sangatkah corak pemerintahan di Malaysia? Apa buktinya?

Ketinggalan sangatkah rakyat Malaysia - dari segi pendidikan, pemilikan kekayaan, menikmati keselesaan melalui kemudahan-kemudahan asas? Tidak adil? Yang pembangkang boleh memerintah beberapa negeri itu apa maknanya? Kenapa BN tidak memperoleh kemenangan dua pertiga di Parlimen?

Mereka tidak pula melihat betapa buruknya kesan daripada persengketaan politik sehingga berlaku rampasan kuasa atau runtuhnya kerajaan yang sedia ada secara tidak terhormat. Dapatkah dibilang berapa buah negara bangkit segar selepas diruntuhkan secara tidak bermoral dan berperaturan.

Dipengaruhi kemaruk mahu menjadi pemimpin (Perdana Menteri?) ada pihak menggesa agar politik Malaysia diubah melalui demonstrasi jalanan jika tidak berupaya melalui proses pilihan raya. Tiada pilihan untuk dijadikan sasaran, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadikan 'kambing hitam'.

Lalu ramailah juga mereka yang terikut-ikut rentak 'pemburu agenda peribadi' ini untuk melaungkan semua yang kerajaan buat tidak betul! Rakan-rakan wartawan pernah menemu bual anak-anak muda semasa perhimpunan 'Bersih 0.2' di ibu negara sedikit masa lalu. Ditanya kenapa mereka datang berhimpun, lantas ada yang menjawab: "saja suka-suka. Orang ajak kita datanglah!" Apa maksudnya ini jika tidak diistilahkan sebagai 'pengikut politik gila-gila."

Nyatalah ramai mereka terutama generasi muda semakin tidak faham apa yang mereka cari sebenarnya apabila bercakap tentang politik negara. Tidak usahlah pula ditanyakan erti penghargaan kepada pemimpin-pemimpin yang memperjuangkan kemerdekaan dan membangunkan negara. Saban waktu ada-ada saja cemuhan, tohmahan, atau bibit-bibit kebencian dan kutukan dihambur kepada barisan kepimpinan negara.

Tidak dinafikan pengaruh ini dibawa menerusi media sosial. Tetapi tidak banyak pihak cuba memandu golongan ini agar faham dan mampu menghayati aspirasi sebenar politik Malaysia. Tertanya ke mana peranan guru, pensyarah, pemimpin tempatan hatta ibu bapa sendiri. Apa lagi mahu dikata, jika terdapat anak-anak muda Melayu yang tidak faham istilah Dasar Ekonomi Baru. Malah ada antara mereka langsung tidak mempedulikan istilah 'keistimewaan bumiputera' di bumi merdeka ini.

Jauh sekali untuk menerima kenyataan bahawa banyak kemudahan yang dinikmati mereka itu tertampung oleh 'tampalan subsidi kerajaan'.

Bezanya - kerja mereka mengutuk sementara pada masa yang sama pemimpin negara berhempas pulas berusaha memakmurkan kehidupan rakyat. Barisan kepimpinan kerajaan sentiasa mencari jalan untuk atasi gejala jenayah. Mereka juga berbincang bagaimana untuk mengekalkan kestabilan ekonomi dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

Di Kelantan, rakyat yang memerlukan bantuan mencari wakil rakyat BN atau Ketua-Ketua Bahagian UMNO bukan wakil rakyat Pas atau pemimpin-pemimpin tempatan Pas. Ini termasuk untuk mendapat bantuan tambang kapal terbang atau bas kerana mahu hantar anak-anak ke pusat-pusat pengajian tinggi. Di musim sekolah pula, mahu bantuan untuk beli seluar baju anak-anak, beg sekolah.

Pujian patut diberi kepada pemimpin-pemimpin Pas Kelantan kerana rakyat tidak cari mereka untuk bantuan. Mereka pandai meletak 'label' di hati rakyat bahawa mereka kalangan pemimpin yang miskin, susah dan berpendapatan amat terhad. Lalu orang ramai tidak minat menemui mereka untuk mendapat bantuan.

Kita tidak bermaksud rakyat Malaysia tidak perlu 'menghiraukan politik', tetapi berpolitiklah secara berhemah, faham dan tahu arah haluan bangsa dan negara. Bagi sesama umat Islam, bersengketa hanya semata-mata berbeza fahaman politik tentu lebih dikesalkan.

Kenapa kita harus 'terpisah kemesraan' kerana politik? Berpolitik untuk siasah mencari 'kuasa' untuk mentadbir urus negara dengan baik. Manfaatnya untuk kepentingan semua. Bukan untuk tidak bertegur sapa atau caci mencaci. Cubalah tanyakan apa erti merdeka jika fikiran masih kusut, celaru hanya kerana tidak memahami untuk apa sebenarnya 'berpolitik'.

Kita tentunya masih tidak 'merdeka' jika hanya berpolitik secara 'suka-suka', 'ikut-ikutan' , 'taksub', penuh emosi dan sentimen… namun tidak mengerti ke mana penghujungnya. Satu sudut lagi 'berpolitik' yang boleh membahayakan ialah untuk memperjuangkan semangat perkauman sempit.

Mereka mahu apa yang "mereka mahu" tanpa ada konsep "sedia menerima" struktur negara yang seadanya. Jika boleh mereka mahu generasi baru tidak perlu fikir dan tidak perlu tahu sejarah tanah air. Mereka barangkali tidak dapat menerima hakikat bahawa negara tidak stabil selagi "emosi orang Melayu terganggu".

Mari kita sambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-56 dengan penuh rasa muhibah, saling memahami dan menghormati dan menghargai peranan, sumbangan dan jasa masing-masing.



ESPUTRA MUKHTAR ialah penganalisis politik Utusan Malaysia Online Rencana 16/08/2013
Tags: pemikiran, politik
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments