Bendera gergasi, besar dan kecil dipasang secara kreatif menghiasi bangunan, jambatan dan tiang lampu. Bendera dipacak di mana sahaja di persimpangan jalan, bulatan, lereng bukit, di puncak bukit dan atas pokok asal dapat menarik perhatian umum.
Yang belum kita ada ialah demam merdeka. Kemeriahan merdeka masih jauh daripada setara dengan hingar-bingar pilihan raya, pesta parti politik meraikan demokrasi untuk memilih wakil rakyat.
Banyak yang merasakan 31 Ogos tidak lebih sekadar cuti umum, semangatnya tidak menyerap dalam diri. Banyak yang merasakan 31 Ogos adalah urusan kerajaan. Kepada mereka, 31 Ogos sifatnya formal dan administratif.
Kalau mahu menyambutnya, kerajaanlah yang perlu uruskan. Kalau mahu ada aktiviti, kerajaan harus memberi dananya. Banyak kedai dan premis perniagaan mengibarkan bendera tetapi bendera lusuh yang sudah koyak dan berjurai-jurai.
Mereka pasang bendera ala kadar, mungkin atas sebab permintaan daripada pihak berkuasa tempatan. Apa salahnya, setahun sekali pada setiap 31 Ogos bendera baharu dipasang.
Semangat merdeka belum begitu menyatu di hati kebanyakan kita sebagaimana kentalnya semangat sayangkan parti politik sehingga ke peringkat taksub dan ekstrem. Jalur Gemilang dipasang ala kadar tetapi boleh pula bendera parti dipasang dan dipertahankan dengan sepenuh jiwa dan raga.
Alangkah baiknya setelah 56 tahun merdeka, parti-parti politik menyatukan kekuatan mengambil inisiatif untuk bersama-sama menyambutnya bukan sekadar memastikan kehadiran dalam majlis-majlis perarakan atau kempen-kempen berunsurkan pendidikan.
Jadikan Hari Kemerdekaan ini umpama menyambut kedatangan pilihan raya. Ceramah, tazkirah, debat atau apa sahaja aktiviti kempen diubahsuai dengan pengisian program cintakan negara dan memupuk semangat patriotik.
Tarikh 31 Ogos perlu dinanti dan dihayati sebagaimana tarikh penentuan hari mengundi. Alangkah hebatnya setiap lorong, setiap kampung dan setiap taman perumahan diwarnai dengan aktiviti berkaitan menyatukan warga setempat.
Jika pilihan raya menjadi pesta demokrasi, jadikan 31 Ogos sebagai pesta rakyat. Jadikan 31 Ogos sebagai hari kita mengingati perjuangan dan pengorbanan generasi terdahulu. Jadikan 31 Ogos untuk menyemai semangat cintakan ibu pertiwi, patriotik dan menghayati lambang kedaulatan negara.
Alangkah gahnya apabila jentera parti dapat digerakkan sebagaimana dalam pilihan raya. Jika pilihan raya matlamatnya untuk memperolehi kemenangan calon masing-masing, pada hari kemerdekaan ini misinya ialah menyatupadukan semua kelompok masyarakat dalam satu mood yang sama - semangat Jalur Gemilang.
Atau paling tidak pun, jadikan 31 Ogos sebagai hari gotong-royong tahunan untuk warga membersihkan jalan atau sebagainya. Itu sebenarnya tema kemerdekaan untuk mana-mana pun negara, besar kecil, maju dan mundur - penyatuan dan perpaduan.
Tetapi soalnya apakah politikus kita seideal dan sematang itu untuk mengetepikan agenda parti demi kepentingan nasional? Yang masih kita lihat saban 31 Ogos ialah perseteruan politik terus dipertontonkan kepada rakyat.
Sambutan Hari Kemerdekaan malah dieksploitasi untuk mempromosi parti politik dan kepemimpinan mereka. Tahun lalu, sambutan malam Hari Kemerdekaan negeri Selangor menjadi kontroversi apabila ketua parti yang tiada jawatan dalam kerajaan diberi penghormatan secara berlebihan di atas pentas utama termasuk memberikan ucapan.
Hal-hal seperti itu semestinya dielakkan apatah lagi politik kepartian dan politik perkauman kesan pilihan raya umum lalu telah meletakkan Malaysia di ambang polarisasi. Masyarakat kini terbelah kepada dua kecenderungan yang sama sekali bertentangan.
Apakah yang boleh menyatukan mereka? Jawapannya ialah Hari Kemerdekaan. Bermula kelmarin di Dataran Zero Kilometer, Jam Besar Sungai Petani, kempen mengibarkan Jalur Gemilang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Selama sebulan ini, pelbagai program diatur bagi memastikan Jalur Gemilang bukan sekadar dikibar tetapi menjadi lambang kedaulatan Malaysia yang aman dan makmur. Jalur Gemilang dikibar sebagai simbolik kehidupan rakyat Malaysia yang berdaulat, harmoni dan penuh toleransi.
Tambahan pula 31 Ogos kali ini disambut dalam suasana satu demi satu negara Islam tumbang, berantakan akibat permusuhan sesama sendiri. Barangkali dengan melihat Mesir, Syria, Turki, Lebanon, Iraq dan banyak lagi negara lain, kita rakyat Malaysia dapat lebih memahami dan seterusnya menghargai erti kemerdekaan.
Merdeka itu merupakan dambaan setiap bangsa. Melalui kemerdekaan, bangsa yang berperadaban unggul dengan rakyat sejahtera dan terlimpahi kemakmuran dapat dibina. Mengimbau perang saudara yang terus tercetus di banyak negara, jelaslah bahawa tidak semua bangsa mampu mempertahankan kemerdekaan dalam erti kata sebenar walaupun hal itu menjadi dambaan setiap rakyatnya.
Justeru kita bersyukur, Malaysia bukan sahaja aman dan makmur tetapi dalam landasan yang betul untuk mencapai negara maju pada 2020. Terima kasih kepada pemimpin terdahulu yang telah membuat peta jalan yang sangat futuristik untuk meletakkan Malaysia di tempatnya sekarang.
Keputusan kini ada di tangan kita sendiri. Malaysia yang tergolong negara kecil tidak akan mampu mempertahankan kedudukannya jika elemen perpecahan terus dibenarkan disemai dalam kalangan masyarakat. Ahli politik terutamanya mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan sebuah Malaysia yang berdaulat. Malaysiaku Berdaulat, Tanah Tumpah Darahku.
Zulkefli Hamzah Utusan Malaysia Online Rencana 18/08/2013