kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

'Tegas laksana sistem pendidikan tunggal'

Kuala Lumpur: Kerajaan digesa bertegas untuk melaksanakan sistem pendidikan tunggal dan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di sekolah demi meningkatkan jati diri dan perpaduan kebangsaan.

Desakan itu antara resolusi Kongres Perdana Pendidikan Kebangsaan (KPPK) yang turut menuntut kerajaan tidak meluluskan penubuhan sekolah menengah Cina dan tidak mengiktiraf kolej swasta Cina yang tidak mengikut kurikulum pendidikan kebangsaan.


Resolusi itu turut mendesak kerajaan berhenti melayan kerenah dan tuntutan tidak munasabah pihak tertentu berhubung sistem pendidikan negara jika bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan perundangan berkaitan.



Adalah perlu pihak pemerintah berhenti daripada terus menjadikan diri sebagai mangsa sasaran peras ugut dan berhenti daripada melayan tuntutan tidak munasabah yang bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan 1957 dan segala perundangan berkaitan.

Pertahan Perlembagaan

Kita perlu tegas dan akur dalam mempertahankan perundangan dan Perlembagaan Persekutuan khasnya Perkara 152 dan Akta Pendidikan 1996 dalam melaksanakan pentadbiran pendidikan negara, menurut resolusi yang diluluskan semalam.

Kandungan resolusi itu dibentangkan Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar selaku Pengarah Sidang Pleno dan Resolusi KPPK berdasarkan kepada sidang prakongres Rabu lalu serta lima sidang selari (Pleno) semalam.
Abdul Latiff berkata, resolusi itu akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pendidikan dalam masa terdekat untuk tindakan susulan.

Kira-kira 1,800 peserta daripada pelbagai latar belakang menghadiri kongres sehari anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang bertujuan mencari kata sepakat dalam memberi teguran positif, sokongan padu dan seterusnya perakuan untuk meneruskan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Sokong usaha kerajaan

Resolusi itu turut menyokong usaha kerajaan merangka pelan pembangunan berkenaan yang berteraskan Perlembagaan, Laporan Razak 1956, Laporan Abdul Rahman Talib dan Akta Pendidikan 1996 dengan meneruskan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 (PIPP).

Kongres itu menentang keras tindakan beberapa pihak terutama Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang sebelum ini melahirkan rasa tidak puas hati dengan pelan pembangunan pendidikan berkenaan.

Dong Zong bersikap antinasional dengan mempersoalkan niat baik kerajaan untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu dalam semua sistem pendidikan Malaysia.

Sepatutnya Dong Zong wajib mendidik anak Cina agar cinta dan taat setia kepada negara dengan menyokong satu sistem pendidikan kebangsaan yang dapat memantapkan perpaduan dengan memperkukuhkan jati diri kebangsaan yang berteraskan kepada Perlembagaan, Rukun Negara, sejarah dan peradaban Malaysia, menurut resolusi itu.

Kongres itu turut menyokong tindakan Kementerian Pendidikan yang tidak mengiktiraf Unified Examination Certificate (UEC) untuk dijadikan sebagai setara dengan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Selain mendesak kementerian melaksanakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, resolusi itu juga mahu kementerian memantau IPT dalam usaha memperkasakan peradaban Melayu dan Islam.

BERNAMA Berita Harian Online Nasional 28/08/2013
Tags: dong zong, pendidikan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments