kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Batu Uban warisan Melayu tertua Pulau Pinang

WALAUPUN Kampung Tanjung Tokong sebuah kampung yang mempunyai nilai sejarah kepada penduduk Melayu Pulau Pinang, ia bukanlah kampung yang tertua di negeri itu.

Saya merujuk kepada laporan bertajuk 'Jadikan Kampung Tanjung Tokong kampung warisan Melayu' (Utusan Malaysia 19 Ogos 2013).

Perenggan pertama laporan itu memetik Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz sebagai berkata bahawa kementerian akan memulakan langkah menjadikan Kampung Tanjong Tokong sebagai kampung warisan Melayu tertua di Pulau Pinang.

Kenyataan tersebut, mengenai status Tanjung Tokong sebagai kampung tertua di negeri itu, tidak tepat.

Saya telah memerhatikan kenyataan sedemikian seperti dipetik oleh suratkhabar dan lain-lain media bermula beberapa tahun kebelakangan ini dapat mengelirukan dan memesongkan sejarah Pulau Pinang, khususnya sejarah awal Melayu di situ.

Implikasinya ialah mengabaikan satu kawasan yang sebenarnya perlu diberi perhatian utama oleh pihak-pihak berkuasa dan berkepentingan. Batu Uban dibuka pada awal 1700.

Batu Uban, yang terletak berhampiran dengan jambatan Pulau Pinang dan berhampiran dengan kampus Universiti Sains Malaysia merupakan penempatan, pekan dan pelabuhan terawal di Pulau Pinang.

Masjid Jamek Batu Uban diasaskan sebelum tahun 1734. Batu Uban menempatkan sebuah masyarakat awal Melayu - dari Minangkabau melalui Batu Bara, yang kosmopolitan pada masa itu.

Selain Haji Muhammad Salleh@Nakhoda nan Intan dari Kampong Bodi, Payakumbuh, Rantau Minangkabau di Sumatera yang meneroka Batu Uban dan mengasas masjid itu, dua saudara Minangkabau Dato' Jenaton dan Dato Setia, seperti yang disebutkan dalam buku Mencari Bako (1983) tulisan Abdul Aziz Ishak (bekas Menteri Pertanian di zaman Tunku Abdul Rahman), turut mengusahakan tanah di Bukit Batu Uban@Bukit Tok Jenaton, yang sekarang ini kampus USM di Minden.

Mohamad Nazri perlu melawat dan melihat keadaan Kampung Batu Uban untuk mendapat gambaran yang lebih tepat. Mereka dari kementerian kebudayaan dan warisan sebelum ini juga perlu melawat sekali lagi dan disusuli dengan tindakan konkrit ke atas masa depan kawasan kampung dan masjid.

Batu Uban perlu didahulukan dan diberi status kampung warisan Melayu. Pihak berkuasa peringkat negeri dan persekutuan mesti menilai semula pembangunan dan keadaan di Kampung Batu Uban.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa pihak berkepentingan telah menyuarakan kepada saya tentang kedudukan Batu Uban. Ramai yang mengatakan bahawa Kampung Batu Uban tidak dapat diselamatkan lagi. Pihak berkuasa telah memberi lesen kepada pemaju dan pemaju telah memberi pampasan kepada penduduk. Dalam pada itu, tanah-tanah milik penduduk kampung it terus dijual kepada pemaju.

'Blueprint' yang ada pada Majlis Perbandaran Pulau Pinang ke atas tapak Kampung Batu Uban nampaknya hanya mengekalkan kawasan masjid dan tanah perkuburannya sahaja. Begitu juga surat daripada pihak berkuasa warisan.

Ramai yang mengeluh dengan nada amat pesimitik. Ada yang telah mencadangkan bahawa tanah yang belum disentuh itu dijadikan tanah warisan. Ada juga pihak yang sedang berusaha mewartakan apa yang masih dapat diselamatkan. Ada pula yang mencadangkan supaya syarikat milik kerajaan (GLC) menjalankan tanggungjawab sosialnya membeli seluruh kampung itu sementara perancangan pemuliharaan dijalankan.

Bagi sesetengah pihak lain, apa-apa usaha menyelamatkan Kampung Batu Uban hendaklah mengambil kira kepentingan ekonomi dan komersial. Siapa yang hendak mengendalikan sebuah kampung usang dan kelihatan seperti setinggan, soal mereka. Seperti juga Tanjung Tokong, seorang pendokong pemuliharaan kampung itu menyuarakan betapa terkilannya beliau apabila penempatan di situ dilihat sebagai setinggan.

Persoalannya, apakah nilai warisan dan sejarah dapat diukur dengan wang ringgit, kelestarian ekonomi dan keuntungan kebendaan semata-mata? Saya bukan politikus atau pemodal.

Alasan bahawa apa-apa usaha memuliharakan Kampung Batu Uban mesti melibatkan mereka yang berkepentingan perniagaan dan ekonomi tidak boleh saya terima. Apabila disuntik dan diletakkan sebagai syarat nilai-nilai modal kapitalis kepada warisan dan sejarah seluruh usaha itu akan dipesongkan.

Ada juga pihak (daripada pihak berkuasa) secara tidak rasmi menyatakan bahawa hak penduduk untuk mendapatkan rumah yang sempurna mesti didahulukan. Tapak kampung itu mesti dibina rumah-rumah batu yang bertingkat-tingkat. Saya tidak nafikan hak penduduk kepada perumahan yang selesa.

Apakah setiap inci tanah di kampung itu mesti dibina dengan rumah batu? Saya hanya mencadangkan satu tapak yang melibatkan masjid, kawasan perkuburan dan satu kompleks kecil, serta ruang lapang bagi mengingati warisan awal Melayu Pulau Pinang.

Akan tetapi lebih baik lagi dikekalkan sebahagian daripada kampung itu dengan dibina semula penempatan mengikut alam bina asal. Pada masa yang sama, tidak adakah perancang dan arkitek yang bersentimenkan warisan dan pemuliharaan alam bina Melayu tampil ke depan membantu dalam usaha ini?

Saya percaya, alam bina yang sesuai dapat dibina semula. Masjid Jamek Batu Uban serta kawasan kubur di persekitarannya juga perlu dibina dan dipulihara sebagai mercu tanda. Jangan biarkan kawasan itu dihimpit oleh lebuh raya dan usaha penambakan lebih 20 tahun yang lalu.

Saya percaya dan akan terus percaya bahawa warisan dan sejarah tidak dapat dikompromi dengan ekonomi dan keuntungan pemaju dan pemodal. Apakah maruah sebuah kampung yang menyumbang kepada kemajuan Pulau Pinang, Kedah dan rantau alam Melayu dari awal tahun 1730-an lagi boleh digadai dan diroboh begitu saja?

Apakah pihak-pihak berkuasa masih menunggu bukti seperti dokumentasi dan catatan jelas lagi terang baru hendak bertindak? Saya khuatir kita akan buta dan terus buta walaupun terdapat bukti sekukuh mana sekali pun di hadapan mata kita.

Tidak lama dulu saya ada menyampaikan pembentangan di satu bengkel yang dianjurkan oleh pihak badan warisan di Pulau Pinang.

Saya katakan bahawa sebelum tahun 1786 telah wujud masyarakat asal dari Minangkabau di Batu Uban. Buktinya ialah Masjid Jamek Batu Uban dan tertera di papan tanda di situ tahun 1734.

Dengan cepat pihak audien, yang terdiri daripada kalangan bukan Melayu dan tidak kurang juga peminat dan pengkaji warisan dan sejarah Pulau Pinang dari Barat melenting lalu menyoal di manakah terdapat ciri seni bina Minangkabau di masjid itu. Mereka nampaknya berfikir tentang bumbung seni bina Minangkabau yang ada pada rumah-rumah gadang.

Saya menjawab, bentuk masjid di rantau Minangkabau tidak tidak sama dengan rumah-rumah gadang. Maksudnya, tidak ada gonjong.

Walaupun terdapat beberapa badan bukan kerajaan Melayu yang berkepentingan warisan dan sejarah, namun saya saksikan tidak ada penyelarasan dan fokus. Konsep dan falsafah warisan dicampur aduk dengan politik dan kepentingan ekonomi.

Hal ini tidak menguntungkan warisan Melayu. Ia hanya merosakkannya.

Demi masa depan warisan Melayu Pulau Pinang, dan terutama sekali Kampung Batu Uban, satu badan rasmi yang diwakili oleh Kerajaan Pusat, kerajaan negeri (termasuk Kedah), majlis-majlis perbandaran, terutama Majlis Perbandaran Pulau Pinang, badan-badan bukan kerajaan (warisan dan sejarah), pengkaji dan pakar-pakar sejarah dan warisan secara individu perlu diwujudkan segera. Mereka perlu duduk semeja.

Sekali lagi diingati bahawa sumber terawal, yang dipetik oleh ramai penulis, pengkaji sejarah, sejarawan dan pejuang warisan mengenai Melayu Pulau Pinang ialah Mencari Bako oleh Abdul Aziz Ishak (1983). Buku itu juga menyebut Payakumbuh. Di Kampung Bodi, Payakumbuh itulah berasalnya peneroka awal Batu Uban.

Apa bukti lagi yang kita mahu?



PROF. DR. A MURAD MERICAN Timbalan Presiden Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Pulau Pinang Utusan Malaysia Online Forum 27/08/2013
Tags: batu uban, sejarah
Subscribe

  • Online education must continue

    Learning sessions and approaches through educational television will be taken to provide students without access to the internet but access to…

  • There are more things than PPSMI 2.0

    The PPSMI issue is back in the news. The BM Linguistic group is again against the proposal. It is seen as a one-man show by an obsessed man and…

  • What students need to know

    Unwrapping standard is a simple strategy for teachers to identify the skills and content knowledge needed in a lesson to ensure students are…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments