KEPADA anak-anak kecil, Jalur Gemilang bererti sambutan kemerdekaan. Tiap kali kelibat Jalur Gemilang dilihat mereka akan menjerit-jerit merdeka dari dalam kereta. Apa akan jadi satu hari nanti apabila tiada lagi kibaran bendera sama ada di bangunan kerajaan mahupun di kereta-kereta peronda polis.
Anak kita adalah tanggungjawab kita untuk membentuknya sama ada bangga dengan mengibarkan bendera milik kita sendiri atau tergamak mencipta bendera baru mengikut cita rasa politik mereka.
Tugas menyemai benih patriotisme adalah tugas kita semua. Masihkah kita ingat setiap kali perhimpunan pagi semasa kita bersekolah, kita akan menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku.
Bendera kebanggaan tersebut megah berkibar selepas ditarik penuh lemah-gemalai oleh pengawas sekolah hingga ke hujung tiang. Kadang kala bendera tersebut akan berhenti separuh tiang menandakan negara atau negeri berkabung dengan kemangkatan atau pulangnya pembesar negara ke rahmatullah.
Betapa besar maknanya Jalur Gemilang jika kita sebagai rakyat negara ini beria-ia mahu menyemai rasa patriotik kepada negara dengan hanya mengibarkan panji-panji negara tersebut.
Kita harus mengajar anak kita di rumah erti cinta pada negara, bukan setakat mengharapkan sukatan pelajaran sekolah sahaja mengajar anak kita tentang sejarah kenegaraan. Bayangkan jika tiada subjek Tatarakyat dan Sivik diajar di sekolah, hari ini ia terkandung dalam pendidikan moral.
Hari ini rakyat tidak dapat membezakan rasa cintakan negara dan rasa cinta kepada pemimpin politik. Pada zaman dahulu di rumah-rumah di setiap kampung terdapat gambar Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong dan Permaisuri Agong menghiasi dinding di samping gambar Perdana Menteri Malaysia.
Sebagai rakyat Perak dinding rumah penulis dihiasi gambar Sultan Perak, Raja Permaisuri Perak dan Raja Muda Perak. Ia semua tentang rasa cinta kepada pemimpin, bukan mengharapkan pangkat, harta atau gelaran dari sesiapa.
Setelah dewasa rasa cinta penulis kepada pemimpin negara tetap bersemarak kerana bukan mudah untuk seseorang untuk memimpin negara. Karisma, bakat, visi dan pengetahuan yang tinggi merupakan ciri-ciri seorang pemimpin unggul.
Apabila penyiaran filem Tanda Putera arahan Datuk Shuhaimi Baba menjadi polemik dalam kalangan masyarakat akibat kandungan filem yang melibatkan perkara sensitif tertentu, maka penulis merasakan sampai bila pemimpin kita dari pelbagai bangsa takut dengan bayang-bayang diri kita sendiri.
Selaras dengan tema filem kita suatu masa dahulu. Filem kita wajah kita. Tanda Putera satu filem sejarah yang rakyat Malaysia perlu tahu dan lihat kerana menceritakan sejarah negara kita di penghujung 1960-an dan awal 1970-an, bagaimana pemimpin bangkit untuk menjaga negara dalam apa situasi sekali pun dan disebabkan itulah kita dapat nikmati perpaduan pada hari ini.
Perpaduan perlu wujud bagi menjamin negara kita kekal fokus untuk berjaya dari pelbagai sudut sosio-ekonomi dengan situasi politik yang stabil menjadi sandaran pembangunan negara.
Justifikasi kepada pengorbanan pemimpin negara, perlu dilihat secara holistik tidak fokus kepada perjuangan bersifat individualistik tetapi perjuangan demi mengekalkan kesinambungan hidup bernegara di bawah satu panji dan di bawah satu Perlembagaan Persekutuan.
Di dalam Tanda Putera mahupun filem awal sebelum itu Hati Malaya, karya pengarah yang sama kita perlu menghayati bagaimana pemimpin dan kepimpinan terdahulu bergerak dalam satu organisasi. Semua keputusan dilakukan dengan bermusyawarah dan semangat perpaduan yang jitu.
Maka semangat yang ada di dalam filem patriotik ini perlu dihayati oleh anak-anak kita agar mereka faham kita tidak boleh menjadi rakyat di negara Malaysia yang maju ini jika asyik berpolitik semata-mata dengan ayat dan sentimen.
Tindakan yang perlu dilakukan perlu diakukan agar status quo semasa dapat dipertahankan dan lebih merangsang untuk generasi akan datang yang lebih progresif.
Filem sejarah perlu dibezakan dengan sejarah. Tidak semua elemen boleh dimasukkan dalam satu tempoh tayangan filem yang tak sampai empat jam. Sejarah adalah catatan yang tidak pernah ada pasang surutnya. Semalam adalah sejarah, esok adalah sejarah lusa.
Dalam konteks patriotisme dan anak-anak kita semaikanlah benih cintakan negara sejak mereka lahir ke dunia ini. Sejak umur dua tahun ajarkan mereka menyanyikan lagu keramat Negaraku.
Ajarkan juga betapa Jalur Gemilang adalah lambang pengorbanan pemimpin yang telah pergi meninggalkan kita demi menjadikan negara ini bebas dari anasir-anasir subversif yang bercita-cita untuk menjadikan Malaysia negara acuan mereka.
Walaupun ada pemimpin menganggap patriotisme setaraf semangat kebangsaan, anak-anak kita perlu dididik sejak di buaian lagi bahawa inilah negara kita, inilah tanggungjawab kita, di sinilah kita lahir dan insya-Allah di sini kita akan menghembuskan nafas terakhir. Malaysiaku Berdaulat Tanah Tumpahnya Darahku.
ABDUL RAZAK IDRIS Utusan Malaysia Online Rencana 29/08/2013