kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Sokongan rakyat nadi perangi rasuah

KETIKA negara mencapai kemerdekaan 56 tahun lalu, Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, yang juga Perdana Menteri Malaysia pertama, pernah menekankan betapa pentingnya kita perlu menghapuskan sama sekali tiga elemen tidak sihat dalam memastikan pembangunan yang mapan. Tiga elemen dimaksudkan ialah rasuah, komunis dan komunalisme (corruption, communist and communalism).

Dalam tempoh lima dekad yang lalu, negara berjaya mengatasi masalah komunis dan komunalisme dengan berkesan. Bagaimanapun masalah rasuah tidak menemui kejayaan signifikan diharapkan.

Masalah rasuah masih menghantui rakyat negara ini.

Saya telah menekankan perkara ini dalam satu sesi dialog sempena Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar Malaysia Ketujuh di Kuala Lumpur, Sabtu lalu. Tema sidang kemuncak kali ini menarik. Menyusuri Hari Esok Menerusi Perjalanan Lalu.

Saya berkongsi dengan peserta Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar Malaysia bagaimana kita telah berjaya keluar daripada masalah komunis dan komunalisme, sedangkan tidak dalam soal memerangi jenayah rasuah.

Tiga dekad yang lalu, apabila saya berada pada persidangan yang sama sebagai seorang peserta, saya pernah membangkitkan pentingnya kita melibatgandakan usaha mengatasi rasuah.

Hari ini, selaku Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), saya juga memberitahu peserta kalangan generasi muda itu bahawa kita berjaya mengatasi masalah komunis bukan hanya kerana peranan anggota polis dan tentera semata-mata, tetapi disebabkan sokongan padu rakyat.

Kerajaan telah menyediakan undang-undang, dasar sosioekonomi dan program yang bersesuaian untuk membebaskan rakyat daripada ancaman komunis dan komunalisme. Bukan sahaja rakyat, semua parti politik bersatu suara dalam merealisasikan misi menghapuskan elemen komunis dan komunalisme. Bukan hanya undang-undang dan pembaharuan fizikal menghapuskan komunis, tetapi kemahuan dan sokongan setiap anggota masyarakat.

Justeru, saya masih mencari jawapan mengapa kita belum mendapat sokongan padu dan menyeluruh daripada setiap rakyat dalam soal memerangi rasuah. Kita juga mengadakan undang-undang yang sewajarnya dari semasa ke semasa. Tetapi perpaduan bagi menangani gejala rasuah tidak sekuat mengatasi isu komunis dan komunalisme.

SPRM, yang sebelum Januari 2009 dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR), memerlukan sokongan padu rakyat segenap lapisan masyarakat untuk memerangi rasuah. Saya mengakui kita tidak dapat menghapuskan rasuah seratus peratus. Malah setiap daripada kita juga akan menerima hakikat ini.

Tetapi jika kita bersatu dan berganding tenaga tanpa mengira status dan kedudukan serta ideologi politik, saya amat yakin kita boleh mengurangkan kes rasuah atau mengawalnya sehingga ke paras minimum.

Beri kami sokongan anda. Kami amat memerlukan sokongan setiap rakyat. Hanya dengan sokongan yang kuat daripada rakyat, pihak yang 'dibuai' rasuah akan takut. Jika tidak, mereka tidak akan menjauhi rasuah.

Visi SPRM ialah mewujudkan masyarakat Malaysia yang bebas daripada rasuah dan menjadikan SPRM agensi pencegahan rasuah bertaraf dunia.

Dalam mengejar visi itu, salah satu cabaran dilalui SPRM ialah kekurangan dalam undang-undang termasuk dalam Akta SPRM 2009. Saya juga perlu mengakui Akta SPRM 2009 lebih baik berbanding Akta Pencegahan Rasuah 1997 di mana ia lebih baik jika dibandingkan dengan Akta BPR.

Peredaran masa dan kerumitan persekitaran memerlukan sistem perundangan yang lebih kemas lagi berkesan.

SPRM berhasrat untuk menjadi suruhanjaya anti rasuah yang profesional dalam menguatkuasakan undang-undang dan mendidik orang ramai terhadap rasuah dalam usaha ke arah pencegahan yang lebih besar untuk membasmi rasuah di Malaysia melalui prinsip bebas, telus dan profesional.

Kewujudan entiti pencegahan rasuah di Malaysia bermula dengan sebuah unit kecil di bawah Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab menjalankan aktiviti pencegahan rasuah. Ketika itu, siasatan kes rasuah dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia manakala pendakwaan pula dikendalikan oleh Jabatan Peguam Negara. Kerajaan kemudiannya telah menggabungkan usaha pencegahan rasuah oleh ketiga-tiga agensi itu dengan mewujudkan BPR pada 1 Oktober 1967.

Pada 29 Ogos 1973, entiti pencegahan rasuah negara diwujudkan secara undang-undang apabila Akta Biro Siasatan Negara diperkenan, sekali gus mengubah entiti BPR kepada Biro Siasatan Negara (BSN). Perubahan itu telah meluaskan kuasa perundangan BSN dengan mandat untuk menyiasat kes berkaitan kepentingan negara, di samping kes rasuah.

Bagaimanapun, perubahan sekali lagi berlaku apabila Akta BPR 1982 diluluskan oleh Parlimen pada 13 Mei 1982. Akta ini meletakkan semula tugas pencegahan rasuah kepada BPR yang secara rasminya juga menggantikan BSN. Perubahan ini memartabatkan peranan BPR sebagai entiti tunggal yang dipertanggungjawabkan khusus untuk mencegah jenayah rasuah.

Pada tahun 2008, Parlimen telah bersetuju supaya SPRM diwujudkan bagi menggantikan BPR, selaras dengan hasrat masyarakat yang mahukan entiti pencegahan rasuah yang lebih bebas, telus dan profesional.

Transformasi BPR kepada SPRM bukan pada nama semata-mata. Perubahan ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kecekapan, keberkesanan, kebebasan dan ketelusan tindakan pencegahan rasuah di Malaysia, sekali gus menangkis persepsi negatif terhadap entiti pencegahan rasuah ini yang sebelumnya dianggap tidak bebas dan tidak telus.

Justeru, mekanisme 'check and balance' diwujudkan melalui pembentukan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Jawatankuasa Aduan, Panel Penilaian Operasi serta Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah untuk memantau, menasihati serta memastikan fungsi dan tanggungjawab SPRM dilaksanakan dengan cekap, berkesan, bebas dan telus. Keanggotaan kelima-lima entiti bebas ini dipilih daripada kalangan individu berintegriti yang cemerlang dalam perkhidmatan dan profesion masing-masing.

Cabaran yang bakal ditempuhi oleh SPRM pada tahun-tahun mendatang ialah membuktikan kepada masyarakat bahawa transformasi dilalui SPRM akan membawa perubahan besar ke atas keseluruhan sistem operasinya.

Sesungguhnya kejayaan dicatatkan oleh SPRM selama ini telah menjadikan ia sebagai sebuah agensi yang dinamik dan sentiasa bergerak ke arah kecemerlangan.

SPRM kini dalam proses perbincangan dengan Peguam Negara untuk meminda Akta SPRM bagi memberi skop perundangan yang lebih luas. Antaranya peruntukan liabiliti korporat, mewajibkan mana-mana individu mengisytiharkan aset tanpa perlu mengemukakan asas elemen rasuah.

Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0 bagi tempoh tiga tahun akan datang akan menyaksikan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Antirasuah terus mempertingkat proses perubahan yang dicetuskan dalam GTP 1.0 dengan tiga aliran kerja menjadi tunjang iaitu agensi penguatkuasaan, rasuah besar dan perolehan kerajaan.

GTP 2.0 bakal menyaksikan penambahan komponen pendidikan kepada generasi muda untuk membentuk generasi akan datang yang peka dan bersikap proaktif terhadap usaha membanteras rasuah. Antara elemen dalam pendidikan yang diketengahkan ialah penubuhan Sekretariat Pencegahan Rasuah di Maktab Perguruan, memasukkan elemen pencegahan rasuah dalam buku teks sekolah rendah dan sekolah menengah serta latihan kepada anggota Parlimen.

Malaysia merupakan satu-satunya negara yang menjadikan usaha membanteras rasuah sebagai Penunjuk Prestasi Utama (KPI) negara - bukti kukuh yang kerajaan serius dalam usaha mengurangkan rasuah.

Kerajaan juga mengumumkan inisiatif penambahbaikan pengurusan dan politik, mewujudkan unit pematuhan di semua badan kerajaan, mengurangkan peluang berlakunya rasuah melalui automasi, mewujudkan Perbadanan Pengurusan Aset Pusat, pengenalan program Ikrar Integriti Korporat (CIP), kewujudan Mahkamah Sesyen Khas Rasuah dan pengenalan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat serta portal MyProcurement.

Keyakinan masyarakat terhadap usaha kerajaan membanteras rasuah sangat penting. Persepsi rakyat masih menjadi cabaran utama kerajaan dalam membanteras jenayah dan memerlukan tempoh masa yang lama untuk mengubah serta mendidik rakyat tentang kesan gejala rasuah dalam negara.

Buku terbaru Combatting Corruption: Understanding Anti-Corruption Initiatives in Malaysia menyebut "cabaran terbesar yang dihadapi kerajaan Malaysia ialah meyakinkan kumpulan bisnes dan publik yang masalah rasuah ditangani secara serius."

Pendek kata, rasuah perlu dan harus diperangi secara serius di semua peringkat. Usaha ini tidak boleh diserahkan kepada SPRM semata-mata. Rakyat perlu memainkan peranan. Pertubuhan bukan kerajaan ada peranan. Begitu juga pihak industri dan bisnes. Tidak ketinggalan ahli-ahli politik dan penggubal undang-undang.

Iltizam politik bukan sahaja perlu diperlihatkan oleh pihak pemerintah, sebaliknya ia harus ditonjolkan oleh parti-parti politik dan orang ramai.

Anda boleh lakukan perubahan perangi rasuah!



TAN SRI ABU KASSIM MOHAMED ialah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Utusan Malaysia Online Rencana 29/08/2013
Tags: bsn, kpi, rasuah, spr
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments