kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Global iktiraf, iltizam 'kubur' rasuah

Masalah rasuah masih menghantui rakyat negara ini. Kita telah berjaya mengatasi masalah komunis bukan hanya kerana peranan anggota polis dan tentera, tetapi disebabkan sokongan padu rakyat. Bukan sahaja rakyat, semua parti politik bersatu suara dalam merealisasikan misi menghapuskan elemen komunis dan komunalisme. Malah, bukan hanya undang- undang dan pembaharuan fizikal menghapuskan komunis, tetapi disebabkan sokongan setiap anggota masyarakat.

Bertolak daripada pandangan saya minggu lalu, tulisan kali juga memfokus keperluan kita menjauhi rasuah. Rasuah perlu diperangi. Perang ini memerlukan pendekatan dan strategi holistik.

Sehari sebelum kita menyambut Hari Kemerdekaan Ke-56, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapannya ada menyebut empat perkara penting, yang berkait satu sama lain, yang harus kita renung bersama. Salah satu perkara itu membawa maksud dan hasrat yang sama, yang pernah dilontarkan oleh Tunku Abdul Rahman.

Kerajaan sekali lagi mengulangi komitmen untuk memerangi rasuah. Pada majlis penutupan Program Etika Melatih Jurulatih Majlis Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik di ibu negara Jumaat lalu, Najib antara lain berkata, "saya mahu menjadikan rasuah sebagai sejarah di Malaysia, dan tidak berlaku lagi pada masa depan."

"Dan ini bermakna mengubah budaya organisasi dan perniagaan," tambah beliau.

Dalam ucapannya, Najib juga berkongsi pengiktirafan Pejabat Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) terhadap penegasan SPRM dalam membanteras rasuah. Pengiktirafan itu jelas menunjukkan pihak masyarakat antarabangsa mengiktiraf ketelusan dan kebebasan SPRM.

Penegasan Najib itu juga selari dengan usaha-usaha kerajaan selama ini termasuk mewujudkan tadbir urus serta portfolio integriti dalam Kabinet yang bertindak menyelia hal-hal berkaitan integriti dan ketelusan selain memerangi rasuah dalam bidang korporat. Kerajaan juga telah mewujudkan Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan bagi memantapkan pengurusan di sektor kerajaan dan baru-baru ini memutuskan untuk mewajibkan penubuhan Unit Integriti di setiap agensi kerajaan, yang bertanggungjawab melaksanakan enam fungsi teras iaitu tadbir urus, pengukuhan integriti, pengesanan dan pengesahan, pengurusan aduan, pematuhan dan tatatertib.

"Dengan taraf agensi antirasuah (SPRM) yang diangkat kepada status sebuah suruhanjaya bebas, dengan mekanisme kawal selia sendiri, adalah satu contoh terbaik. Walaupun kita belajar daripada amalan terbaik di peringkat antarabangsa, SPRM telah menetapkan sasaran yang tinggi.

Sejak 2009, SPRM merujuk perjalanan aktivitinya kepada jawatankuasa khas, lembaga penasihat bebas, jawatankuasa aduan dan dua panel perundingan yang lain. UNODC berpandangan cara itu membantu SPRM bekerja secara bebas, telus dan profesional.

Pembentukan SPRM pada tahun 2009 turut membawa kepada kewujudan lima badan yang memantau perjalanan suruhanjaya itu iaitu Jawatankuasa Khas Memerangi Rasuah, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Panel Penasihat Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Aduan dan Panel Penilaian Operasi. Anggota kelima-lima badan bebas ini lebih 40 orang, terdiri daripada Ahli Parlimen, pegawai kanan kerajaan, dan golongan profesional pelbagai bidang dan jurusan.

Perkara ketiga ditekankan dalam ucapan Jumaat lalu ialah kerajaan berharap SPRM bukan hanya akan terus mengukuhkan keupayaan sendiri, tetapi mampu menjadi contoh kepada negara lain yang ingin membina keupayaan institusi untuk memerangi rasuah. Tugas SPRM menjangkaui rangkaian pelbagai aktiviti ekonomi sehingga syarikat-syarikat yang mengambil bahagian dalam tender kerajaan turut dikehendaki menandatangani pakatan integriti.

Jabatan Peguam Negara juga sedang mendraf peruntukan-peruntukan berhubung undang-undang liabiliti korporat untuk melengkapkan undang-undang syarikat, antirasuah dan jenayah komersial sedia ada. Ini perkara keempat penting yang turut menarik perhatian dalam ucapan Perdana Menteri.

Seperti tegas Perdana Menteri, kita juga mampu membuat perubahan signifikan kepada masa depan ekonomi yang sihat. Ini bermakna perubahan perlu dilakukan dalam organisasi serta budaya. Ia harus bermula dari bawah, secara sukarela tanpa penguatkuasaan undang-undang semata-mata.

SPRM melihat parti-parti politik Barisan Nasional dan pakatan pembangkang mula memperlihatkan kesungguhan dalam memerangi rasuah. Ini jelas ketara sejak awal tahun ini. Misalnya, banyak kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 dan selepas itu sangat menggalakkan. Pendirian positif turut digariskan dalam manifesto masing-masing.

Ia disusuli dengan pendirian beberapa kerajaan negeri, antaranya pengisytiharan harta oleh wakil rakyat dan juga tidak memberi projek kepada anggota keluarga terdekat.

Pendirian seumpama itu harus dialu-alukan ketika SPRM menanti sokongan semua pihak demi 'menguburkan' rasuah dan melihat rasuah sebagai isu silam.

Sejarah lima dekad akan datang harus melabelkan isu rasuah sebagai isu silam. Mengimbas kembali kenyataan Tunku Abdul Rahman lebih 50 tahun lalu, misi menjadikan gejala rasuah sebagai isu silam masih belum menjadi kenyataan.

Untuk menjadikan hasrat itu menjadi kenyataan, kita perlu memulakan langkah ke arah itu mulai sekarang. Kesan lima dekad akan datang perlu bermula sekarang.

Kerajaan juga mengumumkan inisiatif penambahbaikan pengurusan dan politik, mewujudkan unit pematuhan di semua badan kerajaan, mengurangkan peluang berlakunya rasuah melalui automasi, mewujudkan Perbadanan Pengurusan Aset Pusat, pengenalan program Ikrar Integriti Korporat, kewujudan Mahkamah Sesyen Khas Rasuah dan pengenalan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat serta portal MyProcurement.

SPRM dengan kerjasama semua pihak berkepentingan akan terus memperkenalkan siri inisiatif bagi menangani masalah rasuah.

Saya ingin mengulangi, rasuah harus diperangi secara serius di semua peringkat oleh setiap pihak. Usaha menjadikan rasuah tinggal sejarah tidak boleh diserah kepada SPRM sahaja. Iltizam politik bukan sahaja perlu diperlihatkan oleh pihak pemerintah, tetapi harus diperlihatkan oleh parti-parti politik dan orang ramai.

SPRM berpegang kepada slogan "Anda Boleh Lakukan Perubahan Perangi Rasuah". Kita boleh berjaya dalam misi ini jika semua berpakat ke arah itu.



TAN SRI ABU KASSIM MOHAMED ialah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.Utusan Malaysia Online Rencana 20130904
Tags: bpr, rasuah, sprm
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments