kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Beban ringan, kualiti diperkasa

LANGKAH pihak kerajaan mewujudkan sebanyak 10,000 jawatan Pembantu Pentadbiran di sekolah-sekolah seluruh negara bagi membantu meringankan beban guru dalam menjalankan tanggungjawab pentadbiran dilihat jalan penyelesaian terbaik ke arah meningkat dan memperkasakan kualiti pengajaran di sekolah.

Menurut Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, rancangan tersebut yang merupakan sebahagian daripada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 itu akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat. Setiap sekolah akan dihantar seorang Pembantu Pentadbiran dan secara keseluruhannya seramai 10,000 kakitangan akan dihantar secara berperingkat.

Kita percaya ini merupakan satu khabar gembira kepada semua guru yang selama ini ternyata terbeban dengan pelbagai tugas pentadbiran dan perkeranian di samping tugas hakiki mengajar di bilik kuliah. Hal ini kerana sebelum ini sering kali kita dengar pelbagai rintihan, rungutan dan juga maklum balas daripada pihak guru sendiri yang terasa cukup terbeban dengan tugas-tugas pentadbiran di sekolah.

Walaupun tugas-tugas pentadbiran juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab guru namun agihan tempoh masa penumpuan untuk kerja-kerja pentadbiran perlu mengikut wajaran yang betul. Sudah semestinya penumpuan perlu lebih kepada tugas-tugas hakiki melibatkan pengajaran dan pembelajaran. Maka dengan adanya seorang Pembantu Pentadbiran yang khusus kita percaya dan yakin guru akan mempunyai lebih banyak masa untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti.

Keadaan ini secara tidak langsung akan memberi manfaat yang besar kepada anak-anak kita di sekolah. Hal ini kerana guru yang cemerlang mampu merintis jalan ke arah melahirkan pelajar yang hebat dan berpengetahuan tinggi.

Kita berharap agar para guru akan mengambil peluang ini untuk memantap dan memperkasakan kualiti pengajaran di bilik kuliah agar hasrat negara untuk melahirkan modal insan yang cemerlang dan holistik dapat direalisasikan. Ini penting kerana guru merupakan pemain utama dalam konteks melahirkan pelajar yang cemerlang dan bermutu tinggi.

Ringkasnya, PPPM 2013-2025 dilihat telah mengambil kira segala pandangan, cadangan dan maklum balas semua pihak berkepentingan yang seperti pihak guru itu sendiri.

Justeru semua pihak perlu memberikan sokongan yang penuh kepada PPPM 2013-2025 agar semua pelan perancangan tersebut dapat dilaksanakan mengikut fasa yang telah ditetapkan.

Pendidikan adalah elemen penting untuk kemajuan masa depan negara ini. Oleh itu, hentikanlah segala usaha untuk menentang mahupun menghalang pelaksanaan PPPM 2013-2025 yang ternyata bakal memberi manfaat yang besar kepada anak-anak kita.



NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED Serdang, SelangorUtusan Malaysia Online Forum 20130910
Tags: guru, pppm
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments