kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Lahirkan graduan menjadi pemimpin intelek berkarisma

KEPEMIMPINAN membawa kuasa, kedinamikan dan kejayaan individu dalam lapangan masing-masing. Semua orang ingin menjadi pemimpin yang terbaik. Pemimpin yang berkarisma sudah semestinya perlu ada dalam setiap organisasi untuk memimpin ke arah kecemerlangan.

Sana-sini, ramai yang bercakap tentang pentingnya sifat yang perlu wujud di dalam diri pemimpin iaitu kemampuan menjaga hubungan interpersonal pada hubungan sosial dengan tiga kekuatan seperti love, kindness dan social intelligence.

Kepemimpinan adalah kemampuan seni mempengaruhi tingkah laku manusia dan kemampuan untuk membimbing beberapa orang untuk menyusun dan mengarahkan dengan maksud dan tujuan tertentu.

Pada hari ini, kedengaran pihak kerajaan dan swasta mengeluh apabila menyatakan segelintir graduan kini memang berintelek tetapi tidak berkarisma apabila melangkah ke dalam dunia pekerjaan. Semasa sesi temu duga untuk bekerja dijalankan, apabila melihat kepada keputusan peperiksaan sangat cemerlang tetapi dari segi kepimpinan, tidak nampak ketokohan dan mereka tidak dapat berkomunikasi dengan baik. Di mana kurangnya?

Selaras dengan Projek Agenda Kritikal Kepemimpinan (CAP Kepemimpinan) yang diwujudkan di bawah Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) untuk membantu Institusi Pengajian Tinggi (IPT) negara iaitu memantapkan dan memperkasakan aspek kepemimpinan institusi pada persada antarabangsa. Teras Kepemimpinan menjadi salah satu tonggak utama institusi selain daripada Tadbir Urus, Akademia, Pembelajaran dan Pengajaran serta Penyelidikan dan Pembangunan.

Pemimpin intelek harus mempunyai kemampuan daya berfikir, memahami dan menganalisis manakala berkarisma ialah memiliki visi, berkomunikasi dengan baik, memberikan kepercayaan, dedikasi pada pekerjaan dan mempunyai sikap terbuka.

Bercakap tentang kepimpinan graduan bertaraf dunia, Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) iaitu Jeneral Tan Sri Panglima Zulkifli Zainal Abidin kini menggalas misi meneruskan perjuangan melahirkan graduan tentera sebagai pemimpin iaitu “Leaders of Chararacter". Itu gaya kepimpinan yang beliau yang mahukan graduan tentera yang bijak dalam akademik dan seiring dengan kekuatan iman, kekentalan jiwa berjuang untuk agama, bangsa dan negara.

Kecemerlangan pelajar tahun akhir UPNM yang menjadi khatib menaiki mimbar membaca khutbah dan merupakan keistimewaan UPNM yang tiada bandingannya kerana ia tidak diamalkan di mana-mana universiti lain. Siswa dan siswi Islam mesti memiliki dan membaca al-Quran pada masa-masa yang sesuai.

Semua kadet siswa dan siswi akan tamat latihan memperolehi ‘black belt’ dalam taekwando. Untuk dapat menggerakkan beberapa orang pelaksana, seorang pemimpin harus memiliki kelebihan dibandingkan orang yang dipimpinnya misalnya kelebihan dalam menggunakan fikirannya, rohaniah, dan badaniah.

Perkara ini turut disokong oleh Prof. Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh yang turut berkongsi berita gembira tentang kejayaan bekas graduan UPNM yang berkhidmat sekarang adalah kedua terbaik sebagai pemimpin intelek berkarisma di antara Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dengan semangat patriotisme yang sangat tinggi.

Jika kita melihat kepada teras kelima Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara iaitu menggiatkan agenda pengantarabangsaan, matlamat kerajaan menjadikan negara ini sebagai hab kecemerlangan pengajian tinggi. Kita mahu melahirkan graduan yang mempunyai kemahiran insaniah dan dapat dijana menerusi pengalaman di perantauan.

Mahasiswa akan menjadi lebih yakin, mampu berdikari, minda yang lebih kreatif dan inovatif, mempunyai kemahiran sosial yang tinggi dan penguasaan bahasa Inggeris yang lebih baik. Semua itu penting sebagai persediaan memasuki alam kerjaya kelak selain mengintai peluang kerjaya di peringkat global.

Dalam perspektif pengurusan universiti pula, pembabitan mahasiswa dalam program pengantarabangsaan secara tidak langsung sebagai duta universiti yang berperanan memperkenal, mempromosi dan meningkatkan imej universiti masing-masing di persada antarabangsa.

Kolaborasi itu penting bagi membolehkan universiti menjadi lebih kompetitif dari segi penyediaan perkhidmatan pengajian tinggi supaya setanding dengan universiti peringkat global. Pencapaian akademik yang bercitra dan bereputasi standard global mampu diterokai dan ditingkatkan menerusi strategi perancangan kerjasama yang lebih terarah dan berfokus.

Dalam usaha melahirkan graduan intelek berkarisma, graduan perlu diberikan ilmu-ilmu lain yang berguna khususnya yang akan digunakan seharian kelak seperti celik harta intelek.

IPTA juga perlu menawarkan bidang harta intelek sebagai subjek elektif Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek menyatakan, inisiatif itu mampu membantu meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat pada masa depan berhubung kepentingan pendaftaran dan melindungi harta intelek.

Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) merupakan IPT pertama yang menawarkan bidang berkenaan sebagai subjek elektif yang akan bermula pada sesi September.

Beberapa minggu ini, kita dapat melihat ramai pelajar dan ibu bapa di Institusi Pengajian Tinggi Awam sempena pendaftaran kemasukan pelajar baharu sesi 2013/2014 dan kelihatan juga siswa dan siswi yang senior sudah kembali meneruskan perjuangan mencari ilmu. Tahniah, selamat datang dan Selamat kembali ke kampus. Salam 1Hati.

DR. JESSICA ONG HAI LIAW ialah Timbalan Pengarah Pusat Penerbitan dan Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. Utusan Malaysia Online Rencana 20130910

Tags: intelek, ipta, karisma, pemimpin
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments