kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Perjuangan Utusan Melayu dulu-kini

SYARIKAT Utusan Melayu yang ditubuhkan 75 tahun lalu adalah kesedaran orang Melayu untuk mengubah nasib bangsa dengan lahirnya akhbar Melayu pertama, Utusan Melayu. Walaupun Utusan Melayu bukan akhbar pertama negara ini tetapi ia lebih menonjol kerana di dalamnya ada pejuang yang memilih jalan kanan dan juga kiri.

Sepanjang 75 tahun itu berbagai-bagai peristiwa yang dilalui Utusan Melayu, antaranya mogok pada tahun 1961 yang tercatat dalam sejarah persuratkhabaran negara ini.

Tan Sri Zainuddin Maidin yang bermula sebagai wartawan sambilan, wartawan kadet hingga kepada jawatan tertinggi sebagai Ketua Pengarang Kumpulan menganggap Utusan Melayu sebagai institusi perjuangan yang terus relevan sepanjang zaman.

Sempena perasmian bangunan Ibu Pejabat Korporat Utusan Melayu pada Jumaat ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, wartawan Utusan Malaysia KU SEMAN KU HUSSAIN mendapatkan pandangan beliau mengenai Utusan Melayu, dahulu dan sekarang.

UTUSAN: Apakah yang mendorong orang Melayu menubuhkan Utusan Melayu 75 tahun lalu?

ZAINUDDIN: Sebenarnya Utusan Melayu pada zaman awalnya bukanlah dilahirkan sebagai akhbar perjuangan nasionalisme walaupun kelihatan ke hadapan dalam perjuangan menentang penjajah dan menuntut kemerdekaan. Pada asalnya Utusan Melayu dilahirkan untuk menentang penindasan daripada kaum Darah Keturunan Arab (DKA) dan Darah Keturunan India (DKI) di Singapura. Sebelum Utusan Melayu ditubuhkan, tidak ada akhbar yang dimiliki oleh orang Melayu dan memperjuangkan nasib orang Melayu. Ketika itu Warta Malaya dimiliki oleh orang keturunan Arab dan isu-isu mengenai orang Melayu menjadi terpinggir.

Tetapi apabila penjajah mengusulkan Malayan Union yang akan merampas kuasa raja-raja Melayu, Utusan Melayu bangun berjuang menentang Malayan Union. Perjuangan menentang Malayan Union telah membuatkan Utusan Melayu terbuka kepada orang keturunan DKA dan DKI. Selepas itu Utusan Melayu bukan lagi menjadi suara menentang penindasan ke atas orang Melayu sahaja malah suara seluruh rakyat. Dan orang yang menjadi juara kepada perjuangan menuntut kebebasan ini adalah A. Samad Ismail (Tokoh Wartawan Negara).

Sebenarnya Utusan Melayulah yang mencetuskan penubuhan UMNO. Pengarang yang juga pengasas Utusan Melayu, Yusof Ishak pernah menerima ucapan terima kasih daripada Dato’ Onn kerana peranan dalam menggerakkan penentangan terhadap Malayan Union. Walaupun Samad membawa suara progresif tetapi beliau menyokong perjuangan Melayu Raya yang digerakkan oleh pejuang kebangsaan di Indonesia. Malah Utusan Melayu sendiri menjadi pusat perjuangan Melayu Raya. Tetapi di Utusan Melayu ada keseimbangan antara sosialisme dan kapitalisme. Samad yang sosialis dan Yusof Ishak yang menjurus kapitalis memberikan kedudukan seimbang kepada Utusan Melayu.

Apakah yang melenyapkan semangat perjuangan Melayu Raya di Utusan Melayu?

Perjalanan hidup Utusan Melayu penuh dengan perjuangan. Berjuang membebaskan diri daripada penindasan, menentang Malayan Union dan kemudian menuntut kemerdekaan. Semua perjuangan ini berakhir dengan kejayaan apabila negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Tetapi dalam Utusan Melayu, perjuangan tidak mati di situ sahaja. Perjuangan Melayu Raya yang dicetuskan oleh Sukarno terus menyala walaupun selepas negara kita merdeka. Utusan Melayu mendukung pejuang-pejuang Melayu Raya dan ini telah memisahkan Utusan Melayu dengan UMNO.

Sikap dan pendirian Utusan ketika itu membimbangkan Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman. Walaupun UMNO ada membeli saham-saham dalam Utusan Melayu tetapi tidak mampu mengawal Utusan Melayu daripada diresapi perjuangan Melayu Raya. Walaupun selepas UMNO berkuasa selepas negara mencapai kemerdekaan, Utusan Melayu tetap mendukung perjuangan Melayu Raya yang bertentangan dengan UMNO. Mogok Utusan Melayu pada tahun 1961 dilihat sebagai penamat perjuangan Melayu Raya di Utusan Melayu. Tunku berjaya mengalih Utusan Melayu daripada berjuang untuk Melayu Raya kepada perjuangan yang selari dengan kerajaan.

Adakah mogok Utusan Melayu satu penentangan terhadap usaha mengongkong kebebasan akhbar?

Mogok Utusan Melayu tidak ada kena mengena dengan perjuangan menuntut kebebasan akhbar. Saya berani kata, ia sama sekali bukan kerana kebebasan akhbar. Mogok Utusan Melayu tercetus selepas Tunku mahu membersihkan Utusan Melayu daripada perjuangan Melayu Raya. UMNO mahu menguasai Utusan Melayu tetapi gagal kerana semangat Melayu Raya terlalu kuat di Utusan Melayu. Saya hendak tanya, apakah condong kepada Melayu Raya itu tanda kebebasan dan kalau condong kepada UMNO tidak ada kebebasan? Sebenarnya dasar sosialisme dan komunisme yang mendokong perjuangan Melayu Raya tidak mungkin memberikan kebebasan kepada yang bertentangan dengan fahaman mereka.

Saya realistik dan kalau negara kita terjatuh dalam Melayu Raya, kita akan bergantung kepada kuasa sosialis dan komunis di China. Maka Tunku bertindak menguasai Utusan Melayu untuk mematahkan perjuangan Melayu Raya. Tunku mahu mengembalikan Utusan Melayu kepada UMNO kerana keadaan Utusan Melayu sudah semakin tenat. Sejak sebelum mogok lagi jualan Utusan Melayu jatuh di paras paling rendah dan pekerja menghadapi kesukaran kerana kerugian yang dialami oleh Utusan Melayu. Ini disebabkan rakyat menolak perjuangan yang bertentangan dengan UMNO. Rakyat menolak Utusan Melayu kerana suara perjuangan Melayu Raya semakin terserlah.

Saya melihat mogok sebagai transisi penting dalam persuratkhabaran negara ini khususnya Utusan Melayu daripada anti-establishment kepada pro-establishment. Apa pandangan Tan Sri?

Saya setuju dengan pandangan itu malah tindakan Tunku mengembalikan Utusan Melayu kepada perjuangan asal adalah tepat. Tunku telah menyelamatkan Utusan Melayu daripada terus menjadi alat pejuang Melayu Raya. Saya fikir kalau Tunku tidak membuat keputusan berani supaya UMNO menguasai Utusan Melayu, syarikat milik orang Melayu ini tidak akan menyambut ulang tahun ke 75 tahun ini. Selepas kita merdeka, perjuangan Melayu Raya sudah gagal. Sekiranya Utusan Melayu terus berjuang untuk Melayu Raya, rakyat akan menolak Utusan Melayu kerana pengaruh UMNO sangat kuat dalam kalangan rakyat. Utusan Melayu akan hilang pengaruh dalam kalangan rakyat. Bagi saya yang penting bukanlah sama ada pro atau anti-establishment.

Yang penting perjuangan yang memberi kebaikan kepada rakyat. Kalau negara ini jatuh dalam perjuangan Melayu Raya, kita akan jatuh ke tangan Indonesia, kita akan menjadi sebahagian daripada Indonesia. Kita mungkin akan senasib dengan Aceh yang terpinggir daripada pembangunan. Jadi, mogok itu sebenarnya memprotes tindakan Tunku menghalang Utusan Melayu terus menjadi suara perjuangan Melayu Raya. Selepas mogok selesai Utusan Melayu dipimpin oleh Melan Abdullah yang sebelumnya menyokong perjuangan Indonesia. Tetapi Melan realistik malah patriotik untuk memimpin Utusan Melayu yang dianggap sebagai selari dengan dasar-dasar kerajaan.

Apa akan terjadi sekiranya mogok Utusan Melayu gagal dipatahkan?

Utusan Melayu tidak akan bertahan lama sebab tidak ada sokongan. Saya tidak nampak Utusan Melayu boleh meneruskan perjuangan Melayu Raya kerana sebahagian besar rakyat menyokong UMNO dan Tunku. Malah rakyat sedar Melayu Raya itu bahaya. Ini kerana orang kiri dalam Utusan Melayu yang memperjuangkan Melayu Raya menentang semua dasar kerajaan yang pro Barat. Mereka menentang pelaburan dari Barat misalnya menentang pembinaan kilang baja urea kerana melibatkan modal dari Barat. Ini menyukarkan kerajaan untuk membangunkan negara yang baru merdeka.

Utusan Melayu bukan sekadar merakamkan sejarah malah wartawan-wartawannya turut mencatatkan sejarah. Apa pandangan Tan Sri?

Bagi saya Utusan Melayu melampaui peranan sebagai sebuah akhbar. Utusan Melayu adalah institusi perjuangan bagi orang Melayu, tidak kira perjuangan kiri atau kanan. Perjuangan itu tidak pernah berhenti sejak ditubuhkan hingga hari ini. Wartawan-wartawan Utusan Melayu bukan sekadar melaporkan peristiwa orang lain malah turut mencatatkan nama dalam sejarah perjuangan negara. Melan misalnya terlibat dalam penubuhan Barisan Bertindak Rakyat Malaysia untuk menentang Sukarno yang hendak menganyang Malaysia.

Bagi saya, sama ada mereka itu kiri atau kanan, mereka adalah pejuang yang memberikan roh kepada Utusan Melayu. Banyak wartawan Utusan Melayu merengkok dalam tahanan membuktikan mereka turut terlibat dalam peristiwa bersejarah negara ini. Samad Ismail, Pak Sako, Osman Abadi, Melan antara yang pernah ditahan di penjara. Rakyat mengikuti Utusan Melayu kerana tokoh-tokoh ini.

Pasca Pilihan Raya Umum 12 (PRU-12) tahun 2008 telah meletakkan Utusan Melayu dalam cabaran baharu untuk menangani golongan yang radikal. Apa pandangan Tan Sri?

Utusan Melayu yang lebih moderate berjaya mematahkan golongan radikal pada zaman awal. Tetapi kini seolah-olah golongan radikal ini menjadi moderate dan Utusan Melayu pula cuba digambarkan sebagai radikal. Mereka menggambarkan seolah-olah Utusan Melayu sebagai golongan kiri. Sebenarnya apa yang dilakukan oleh golongan radikal dan cauvinis Cina pada hari ini adalah mengulangi Utusan Melayu pada masa lampau. Dulu perjuangan golongan kiri di Utusan Melayu ialah menentang Perlembagaan tetapi kini golongan radikal dan rasis pula yang meneruskan perjuangan orang kiri Utusan Melayu.

Pasca PRU-12 menyaksikan kegoyahan dalam politik Melayu khususnya UMNO. Maka golongan radikal sedikit sebanyak berjaya memberikan imej UMNO sebagai parti rasis. Apabila UMNO dianggap rasis, Utusan Melayu yang mempunyai hubungan dengan UMNO turut dilabelkan sebagai rasis. Ini meletakkan Utusan Melayu terpaksa menghadapi cabaran yang lebih hebat berbanding zaman awal dahulu. Cabaran itu bukanlah daripada media baharu yang berkeupayaan mendahului Utusan Melayu dalam penyebaran berita dan maklumat tetapi juga untuk menangani perang persepsi bahawa Utusan Melayu akhbar rasis. Sementara akhbar bukan Melayu pula menyebar propaganda kononnya akhbar sudah tidak mendapat tempat dalam masyarakat hari ini. Semua ini bertujuan menghalang keyakinan rakyat terhadap akhbar Melayu yang dilabelkan sebagai rasis.

Bagaimana pula dengan sikap sesetengah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang menganaktirikan akhbar bahasa Melayu?

Iklan GLC diserahkan kepada media house atau agensi iklan yang bersikap rasis terhadap akhbar bahasa Melayu. Mereka inilah yang mengagih-agihkan iklan dalam media yang dipilih. Alasan tidak memilih media bahasa Melayu kononnya tidak berpengaruh dalam kalangan kelas menengah dan elit, orang Melayu tidak mempunyai kuasa membeli yang tinggi. Ini mewajarkan mereka memilih media bukan Melayu untuk menyiarkan iklan daripada GLC yang diwakili.

Agensi iklan sengaja menafikan pengaruh media bahasa Melayu kerana mereka bersikap rasis, bukan kerana media bahasa Melayu tidak berpengaruh atau ditolak oleh rakyat. Sekarang mereka kata, edaran dan jumlah pembaca akhbar Melayu rendah. Padahal ketika saya jadi Ketua Pengarang Kumpulan Utusan tahun 1990-an dulu, Mingguan Malaysia pernah capai jualan 600,000 tetapi iklan daripada GLC tetap juga tidak memberangsangkan. Sekarang mereka kata edaran kecil. Mereka sengaja mencari alasan. Saya tidak pasti adakah GLC tahu keadaan ini, tetapi mustahil mereka tidak tahu.

Apakah pandangan Tan Sri mengenai tanggungjawab sosial yang digerakkan oleh Utusan Melayu?

Barangkali banyak yang tidak tahu bahawa Utusan Melayu bukan sahaja menonjol sebagai akhbar perjuangan dan akhbar politik. Utusan Melayu juga menjuarai dalam aspek sosial, bukan sahaja dalam negara malah hingga ke dunia antarabangsa. Utusan Melayu menganjurkan kutipan derma untuk beberapa pesakit jantung hingga tercetusnya gagasan membina Institut Jantung Negara (IJN). Utusan Melayu menganjurkan kutipan derma untuk membantu Palestin hingga berjaya mengumpul RM4 juta.

Saya sangat kagum dengan kejujuran budak-budak (kakitangan) Utusan Melayu yang tidak mengambil walaupun sesen duit derma yang datang mencurah-curah. Mereka berkerja dengan jujur dan ikhlas. Saya percaya semua ini membuktikan rakyat yakin kepada Utusan Melayu dalam perjuangan sosial membantu golongan yang memerlukan bantuan. Saya percaya hingga sekarang ini rakyat terus yakin dengan Utusan Melayu walaupun berbagai-bagai usaha dilakukan untuk menghapuskan keyakinan itu oleh pihak tertentu.



Utusan Malaysia Online Rencana 20130910
Tags: akhbar, utusan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments