kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Mengajar bahasa cara Pak Matlob

Saya beruntung kerana berkesempatan belajar Bahasa Melayu (BM) daripada Allahyarham Cikgu Mokhtar bin Talib atau Pak Matlob. Tokoh bahasa dan sastera ini meninggal dunia pada hari Jumaat baru lalu, berusia 76 tahun. Negara kehilangan munsyi bahasa yang terakhir.

Saya tidak tahu sejauh manakah keberkesanan sistem pengajaran BM di sekolah-sekolah kita pada hari ini. Saya hairan setelah belajar selama sebelas tahun (dari darjah satu hingga tingkatan lima) pengguna BM masih membuat kesilapan penggunaan semudah penambahan ‘di’ misalnya. Atau tidak dapat membezakan ‘pada’ dan ‘daripada.’ Atau membuang ‘oleh’ sewenang-wenangnya dalam ayat.

Penguasaan bahasa yang lemah tidak tertakluk pada BM sahaja malah Bahasa Inggeris (BI) juga. Ada yang tidak boleh menulis ayat yang betul dalam BI apabila sampai tingkatan lima. Hal ini ditambah buruk oleh dunia maya atau siber di mana singkatan digunakan tanpa kawalan.

Saya melalui ‘Sistem Matlob’ untuk BM dan ‘Sistem Master Ismail’ untuk BI. Seperti Matlob, Cikgu Ismail Omar (guru BI dipanggil ‘Master’), seorang guru bahasa yang baik, berdedikasi dan tegas. Ismail pernah menjadi guru besar di Peserian Primary English School di Semerah, Batu Pahat. Beliau tidak berkompromi dalam soal bahasa. Bagi anak kampung yang mengetahui hanya tiga perkataan BI sewaktu masuk ke sekolah, saya harus belajar lebih kuat berbanding dengan kawan-kawan saya. Kedua-duanya percaya pada fahaman ‘kesalahan sifar’ dalam bahasa.

Beri penekanan nahu

Untuk mata pelajaran BM, Matlob menekankan kepentingan nahu. Bahasa bukan bahasa namanya jikalau prinsip nahu tidak dihormati. Soal perbendaharaan kata, stail, gaya dan lain-lain boleh dikemudiankan. Beliau memberikan penekanan pada tatabahasa Melayu dan penggunaannya seharian. Ini membabitkan aspek morfologi dan sintaksis.

Kami diajar tentang keperluan memahami asas tatabahasa secara tuntas. Bahasa akan rosak jikalau tatabahasa tidak dipatuhi. Beliau akan memberikan penekanan pada pelbagai aspek tatabahasa serta kesalahan umum yang dilakukan oleh pelajar. Beliau memberikan penekanan pada aspek membaca bahan bukan teks. Setiap pelajar diwajibkan membaca karya sastera dalam pelbagai cabang – novel, cerpen, drama, sajak, syair dan lain-lain.

Seperti juga Ismail yang menggalakkan pelajar menghayati nursery rhymes yang popular dalam tradisi sastera Inggeris, Matlob mengajak pelajarnya mengenal sajak, syair, gurindam dan lain-lain. Kedua-duanya melihat perlunya pelajar memahami bagaimana indahnya bahasa dalam karya-karya sedemikian. Novel dan cerpen pula digunakan untuk mengenal lenggok dan gaya bahasa.

Matlob tidak patuh pada buku teks. Malah beliau membuat buku panduan tatabahasa sendiri yang disikostail untuk kegunaan pelajarnya. Mungkin ketika itu sukatan pelajaran lebih bebas dan anjal dan para guru tidak perlu menganggap buku teks sebagai kitab mutlak. Pada ketika itu juga pasaran tidak dibanjiri oleh buku kerja yang pada akhirnya menjadi bahan pergantungan utama guru-guru.

Tentu tidak mudah mengembalikan ‘Kaedah Matlob’ atau ‘Master Ismail’ dalam sistem pembelajaran BM dan BI hari ini. Tetapi ada baiknya sebahagian amalan mereka itu diguna pakai. Ini bagi memastikan penggunaan bahasa yang lebih baik, betul dan tepat.

Pakar tulisan jawi

Matlob juga dianggap ‘pandai jawi’, bermakna beliau pakar tulisan jawi. Sewaktu saya menjadi Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu (1992-1998) beliau saya lantik sebagai penasihat jawi untuk akhbar Utusan Melayu dalam tulisan jawi. Sayangnya akhbar itu sudah dihentikan penerbitan hariannya mulai tahun 2002 setelah 63 tahun di pasaran (bermula pada tahun 1939). Ejaan jawi nampaknya tidak ada tempat di tengah masyarakat Melayu/Islam di negara ini.

Beliau juga menjadi salah seorang perunding jawi apabila DBP melaksanakan ejaan jawi baharu. Bagi Matlob, tulisan jawi teras dan roh orang Melayu/Islam. Tulisan itu mendekatkan kita pada tulisan Arab di dalam Al Quran. Bagi beliau, adalah menjadi tanggungjawab setiap orang Melayu/Islam untuk menguasai tulisan yang satu masa dahulu menjadi tulisan rasmi sastera, diplomasi dan dagang di rantau ini.

Matlob akan sentiasa diingat kerana sumbangan beliau sebagai tokoh bahasa.

Johan Jaafar Berita Harian Online Rencana 11/09/2013
Tags: bahasa, tokoh
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments