kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pemilihan UMNO: Tukar orang atau ubah sikap

UMNO sememangnya dikenali sebagai sebuah parti keramat untuk orang Melayu. UMNO sudah menempuh pelbagai suka duka dalam perjalanannya untuk menjadi parti tonggak dalam Barisan Nasional (BN).

Ketika parti-parti lain yang dianggotai oleh orang Melayu terus tenggelam dengan keghairahan untuk berebut kuasa sehingga sanggup mengorbankan apa sahaja hatta prinsip perjuangan sendiri namun UMNO tetap istiqamah dalam perjuangannya.

Mungkin atas faktor inilah, UMNO dilihat terus menjadi pilihan orang Melayu untuk memayungi kepentingan dan kedudukan mereka daripada diganggu gugat oleh mana-mana pihak.

Keadaan itu juga memungkinkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) UMNO mencatatkan kejayaan dengan menguasai 88 kerusi Parlimen.

Bagaimanapun, sejarah dan nostalgia tidak seharusnya terus menjadi sandaran kepada pemimpin dan ahli UMNO dalam usaha mereka mengekalkan kekuasaan, seterusnya menjadi parti tonggak kepada orang Melayu.

Sebaliknya, UMNO harus diperkasa dan diperkukuhkan dengan melakukan sedikit sebanyak ‘pengubah suaian’ dari segi barisan kepimpinannya supaya ia akan terus dilihat relevan oleh orang Melayu dan rakyat keseluruhannya.

Mungkin apabila menyebut soal pengubah suaian ada yang berpandangan bahawa dalam pemilihan kali ini sebahagian kepimpinan UMNO di semua peringkat perlu dibarisi oleh muka-muka baharu. Golongan seumpama ini akan berkempen bahawa UMNO perlu diberi nafas baru dengan penyertaan pemimpin baharu.

Itu hujah mereka tetapi hakikatnya untuk mengekalkan UMNO sebagai sebuah parti keramat kepada orang Melayu ia bukan sekadar berkisar soal penggantian pemimpin atau membarisi muka baharu dalam jawatankuasa cawangan dan bahagian, ahli dalam Majlis Tertinggi (MT) atau Exco di peringkat Wanita, Pemuda dan Puteri.

Sebaliknya, ia jauh daripada itu. Sementara kita menerima pandangan bahawa sedikit sebanyak orang baharu harus dibenarkan berada dalam barisan kepimpinan tetapi apa yang lebih penting ialah sikap pemimpin-pemimpin itu sendiri.

Dalam kata mudah, pemilihan UMNO kali ini bukan sekadar soal hendak menukar pemimpin atau memberi ruang kepada muka baharu, sebaliknya ia lebih banyak berkaitan dengan kesediaan pemimpin dan ahli-ahli UMNO mengubah sikap dalam memastikan UMNO tidak dilihat lagi parti yang ada kaitan dengan politik wang, lubuk untuk mengaut kekayaan atau mencari kedudukan.

Tiada gunanya, kalau pemimpin dan ahli-ahli UMNO bercakap berdegar-degar soal bagaimana parti itu perlu diberi nafas baharu sedangkan sikap orang yang baharu dipilih nanti tidak mampu mengubah persepsi dan pandangan masyarakat kepada UMNO.

Mungkin kita tidak dapat menghalang mana-mana juga kumpulan untuk membuat pengisytiharan atau pengumuman bahawa mereka menyokong pemimpin tertentu dalam pemilihan kali ini, ia boleh dianggap taktik dalam usaha menggerunkan mereka yang berhasrat mencabar atau pesaing kepada individu tersebut.

Namun begitu kita harus faham pengisytiharan sokongan belum pasti memberi kemenangan kepada calon tersebut memandangkan pemilihan kali ini akan melibatkan 146,000 ahli UMNO - mereka inilah yang akan membuat keputusan sama ada hendak menukar pemimpin atau berusaha mengubah sikap pemimpin.

Memilih

Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah pastinya mahu melihat ahli-ahli UMNO membuat keputusan yang tepat dengan memilih pemimpin yang betul untuk bersama-sama mereka dalam melayari bahtera perjuangan UMNO.

Tetapi jika pemimpin-pemimpin yang akan dipilih dianggap hanya akan membawa liabiliti kepada UMNO termasuk dari segi imej adalah lebih baik pemimpin-pemimpin seumpama itu diketepikan awal-awal lagi.

UMNO tidak memerlukan pemimpin yang sanggup melakukan apa sahaja untuk meraih kedudukan kerana pemilihan pemimpin seumpama itu hanya akan mengundang petaka kepada parti tersebut.

Najib dan Muhyiddin bukanlah menginginkan ‘bintang’ dalam barisan kepimpinan UMNO tetapi kedua-dua pemimpin itu mengharapkan ahli-ahli UMNO akan membariskan kepada mereka pejuang-pejuang yang akan bertarung dalam pilihan raya umum akan datang.

Pejuang-pejuang ini haruslah dilihat dari segi ‘track record’ dalam perjuangan bersama parti dan bukannya berasaskan kepada persepsi serta andaian semata-mata.

Sebab itulah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kesal apabila kegigihan beliau di Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah dilihat dari sudut mencari populariti kerana selama ini tidak ada dalam Kabinet mana-mana pemimpin UMNO bertindak demikian bagi tujuan berkenaan.

Sebaliknya mereka berbuat demikian demi kesejahteraan rakyat dan negara, seperti mana kata seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein biarlah sejarah membuktikan sumbangan mereka.

Begitulah juga dengan penegasan Datuk Seri Shafie Apdal yang menyatakan pemimpin yang dipilih dalam pemilihan UMNO akan datang haruslah dilihat sebagai individu yang bukan sahaja dapat menjaga kepemimpinan sedia ada malah dapat memberikan sumbangan kepada negara.

Tegas beliau yang juga Naib Presiden UMNO sesiapa sahaja yang diberikan amanah perlu sedar bahawa tanggungjawab untuk membela nasib bangsa diberikan keutamaan dan bukannya mendapat jawatan untuk bermegah.

Semoga mesej yang disampaikan ini akan memberi panduan kepada ahli-ahli UMNO untuk membuat keputusan yang betul dalam pemilihan kali ini kerana sebarang kesilapan ketika berbuat demikian maka masa depan UMNO bakal menjadi taruhan.

Ia memandangkan sama ada UMNO akan terus menjadi parti keramat atau tidak bergantung sepenuhnya kepada ahli-ahli parti itu untuk membuat keputusan dalam pemilihan pada Oktober ini.

Sebab itulah, keputusan yang hendak dibuat perlu berasaskan kepada matlamat meletakkan kepentingan parti mengatasi segala-galanya dan bukannya kepentingan politik mana-mana individu.



Zulkiflee BakarUtusan Malaysia Online Rencana 20130915
Tags: politik, umno
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments