kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Berpolitik cara Wanita UMNO

Takdir menemukan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Datuk Seri Azalina Othman Said dalam majlis sambutan Aidilfitri di Putrajaya pada akhir Syawal minggu lalu. Pertemuan tidak terduga dua tokoh wanita yang bersaing untuk bertanding jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO itu mencairkan suasana panas dingin kedua-dua kem.

Benar, beberapa hari selepas peristiwa yang turut dirakamkan sebagai satu pertemuan mesra antara `kakak dan adik’ dalam suasana hari raya itu yang kemudian dikatakan disusuli dengan `pertemuan Setia Kasih’, Azalina mengumumkan beliau menarik diri daripada bertanding. Alasan beliau ialah bagi mengelakkan perpecahan dalam parti.

Sejak awal lagi semasa Azalina berura-ura mahu bertanding Ketua Pergerakan Wanita, sambutan dalam kalangan pimpinan Wanita UMNO begitu dingin. Penolakan terhadap Azalina begitu menyerlah sedangkan beliau adalah satu-satunya pencabar paling dekat untuk menyaingi Shahrizat selepas Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohamed Sadique ditimpa kemalangan dan patah kedua-dua belah kakinya.

Berbeza pula, sokongan kepada Shahrizat mengelombang dari negeri ke negeri. Selepas satu negeri, satu negeri lain menyatakan sokongan kepada beliau. Apakah kelebihan Shahrizat yang sebenarnya masih terbeban dengan persepsi negatif isu NFC itu?


Kemesraan antara Shahrizat Abdul Jalil dan Azalina Othman Said yang dirakamkan
semasa majlis Aidilfitri di Putrajaya akhir Syawal lalu.

Seperti juga Khairy Jamaluddin dalam Pemuda UMNO, kedudukan Shahrizat seperti tidak tercabar. Strategi dan pendekatan `sayang’ Wanita UMNO memberikan banyak kelebihan kepada Shahrizat. Realitinya walaupun belum teruji dalam bentuk undi, Ketua Wanita UMNO itu yang memenangi jawatan tersebut dalam persaingan sengit menentang Tan Sri Rafidah Aziz pada 2008, sentiasa disenangi.

Menongkah arus

Jadi adalah satu langkah bijak daripada menongkah arus yang sukar diduga untung nasibnya, lebih baik menumpang sayang. Azalina pun memerlukan undi Wanita untuk mempertahankan jawatan Majlis Tertinggi (MT). Peluang beliau untuk menang jawatan MT lebih terbuka.

Keputusan Azalina menarik diri itu pun dibaca secara berbeza-beza, bergantung di sebelah mana orang tersebut. Ada yang tidak berpuas hati lalu cuba menaja dan mengetengahkan calon lain. Ada yang bernada keras dengan menganggap tindakan Azalina itu kerana takut kalah walaupun ramai yang mengalu-alukannya.

Ada yang menyifatkan langkah Azalina bertanding Ketua Wanita UMNO sebagai terburu-buru. Beliau sepatutnya mencuba di peringkat Naib Ketua atau Exco sebagaimana dilakukan oleh dua pemimpin Puteri, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Datuk Noraini Ahmad.

Walau apapun percaturannya, Wanita terlihat sangat berhati-hati dalam pemilihan kali ini. Selain melibatkan begitu ramai ahli yang akan mengundi memilih kepimpinan, Wanita UMNO tidak mahu sebarang persaingan membibitkan perpecahan. Perpecahan yang dicetuskan pada 2008 walaupun cuba dipadam masih membara sehingga kini. Pengalaman itu cukup pedih.

Tersepit

Kali ini, setiap langkah dimuktamadkan secara berhati-hati. Kini usaha kompromi antara Exco Wanita UMNO, Datuk Suraya Yaacob dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd. Dun yang bersaing bagi jawatan Naib Ketua sedang dilakukan.

Suraya, satu-satunya pemimpin Puteri yang berjaya meniti jambatan Wanita sebelum ini agak tersepit antara Azalina yang pernah menjadi ketuanya atau Shahrizat yang kini ketuanya. Dengan pengunduran Azalina, beban Exco kerajaan negeri Kedah itu yang dilabel sebagai regu Azalina dapat dihindarkan.

Dari segi rating setakat ini, kedua-dua pemimpin ini mempunyai peluang yang hampir sama. Cuma dalam undi sulit di rumah Shahrizat di Jalan Setia Kasih, majoriti Exco yang hadir memilih Azizah. Nama Datuk Rosni Zahari dari Pahang yang mendapat undi ketiga terbanyak dalam pemilihan Exco Wanita yang lalu juga muncul. Walau bagaimanapun Rosni memutuskan untuk mempertahankan jawatan itu.

Setakat ini kesemua 24 Exco Pergerakan Wanita UMNO akan mempertahankan jawatan masing-masing manakala lebih 10 muka baharu telah menawarkan diri untuk bertanding merebut jawatan itu. Selain Rosnah dan Noraini, muka baharu lain ialah Datuk Rabiyah Ali, Datuk Abashah Othman, Datuk Mashitah Ibrahim dan Datuk Jainab Ahmad.

Inilah cara politik Wanita UMNO. Mereka ada cara tersendiri untuk meremajakan kepimpinan. Peremajaan itu mahu dilakukan secara semulajadi atau natural. Pertukaran kepimpinan seboleh mungkin dilakukan dengan teratur dan bertahap, berkesinambungan dari satu generasi ke satu generasi.

Memang putaran kepimpinan tidak boleh dibiarkan berhenti di satu tempat agar parti terus bergerak dinamik dan segar. Cepat atau lambat, kepimpinan tetap akan bertukar tangan kepada generasi baharu atau orang muda.

Tetapi siapakah orang muda itu? Pemimpin muda tentulah bukan merujuk kepada usia semata-mata. Pemimpin muda mahupun pemimpin baharu ialah mereka yang mindanya sentiasa mahu memuliakan harga diri bangsanya melalui ilmu dan gagasan kemajuan. Pemimpin yang mindanya tanpa gentar sedia berjuang dan mengabdikan diri untuk kepentingan agama, bangsa dan negara bukan diri sendiri mahupun kelompok.

Inilah yang diimpikan oleh Wanita UMNO dan UMNO secara keseluruhannya agar parti kembali menjadi dambaan rakyat dan terus melakar jejak penting bagi perubahan bangsa.



Zulkefli Hamzah Utusan Malaysia Online Rencana 20130915
Tags: politik, umno
Subscribe

  • Manusia Tanpa Kemanusiaan

    Manusia dan kemanusiaan harusnya seiring. Kata orang lama di tempat saya , manusia tanpa kemanusiaan umpama haiwan atau binatang. Sejak kecil…

  • Latah Wilayah atau Negeri

    Adalah saya merujuk kepada artikel ‘ Ada apa dengan istilah ‘wilayah’,’negeri’? ’ bertarikh…

  • Jujur kepada diri sendiri dalam hidup

    Kejujuran atau bersikap jujur adalah suatu perkara yang paling penting. Sentiasalah bersikap jujur dengan diri anda tanpa ragu-ragu mengenai…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments