kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Mengukuh integrasi dalam Persekutuan

Selamat menyambut hari Malaysia yang ke-50. Sekiranya dilihat kepada angka 50 itu mungkin ada yang berasakan ia satu masa yang sudah panjang. Tetapi, dalam aspek pembentukan identiti dan pembangunan negara mungkin kita boleh katakan angka 50 itu masih lagi satu jangka masa agak pendek. Saya tidak bertujuan menimbulkan polemik di sini.

Perkara yang saya mahu sampaikan ialah kita tidak boleh membandingkan usia manusia dengan usia sebuah negara. Lebih tuntas sekiranya kita bandingkan usia negara atau pembinaan tamadun kita dengan pembinaan tamadun atau jati diri negara bangsa yang lain.

Walaupun begitu, pada sambutan Hari Malaysia ini kita dengar banyak lagi kenyataan sinis mengenai pembangunan negara terutama pembangunan fizikal, kesihatan dan pendidikan bagi Sabah dan Sarawak.

Pada pemerhatian saya, dalam apa juga sambutan, sama ada hari merdeka atau Hari Malaysia, kita sentiasa mendengar kenyataan sinis begini. Pada 31 Ogos lalu kita lihat kenyataan mengenai hari merdeka bukan untuk semua bahagian Malaysia. Hari kemerdekaan itu dikatakan tidak termasuk Sabah dan Sarawak.

Pada Hari Malaysia ini pula ditimbulkan mengenai pembangunan yang dikatakan tidak berlaku di Sabah dan Sarawak. Dalam hal berkaitan, sekiranya ada pihak yang mengenengahkan tindakan kerajaan memperbaiki atau menambah baik keadaan itu, ia biasanya dilihat sebagai propaganda politik untuk kerajaan memperoleh sokongan politik. Saya tidak pasti apa yang dimahukan oleh mereka yang berkata sebegini. Elok saya tinggalkan persoalan ini kepada pembaca untuk menilainya.

Penambahbaikan

Walau apapun, yang jelasnya, kesejahteraan Malaysia secara umumnya telah terbukti. Bagi Sabah dan Sarawak, walaupun masih memerlukan penambahbaikan dan pembangunan perlu diperbaiki, tidak seharusnya menafikan pembangunan yang berlaku sepanjang 50 tahun ini.

Dari aspek kesepaduan, peristiwa Lahad Datu membuktikan keserasian atau integrasi antara negeri-negeri dalam Malaysia. Tiada negeri yang mempersoalkan kejituan tindakan mempertahankan kedaulatan Sabah.

Kesediaan kita dalam mengharungi segala pancaroba sebuah negara Persekutuan dan menghadapi pelbagai halangan membuktikan gagasan yang dibina 50 tahun dulu adalah terbaik bagi kepentingan negeri-negeri terbabit.

Namun begitu, kepayahan menjalankan pentadbiran sebuah negara Persekutuan dalam sistem Persekutuan bukan calang-calang. Secara teori, negara Persekutuan dibentuk dengan gabungan beberapa negeri merdeka dan berdaulat. Negeri-negeri berkenaan mempunyai identiti tertentu dari segi latar belakang dan sejarah. Negeri-negeri itu juga mempunyai keinginan tersendiri. Malah warga negeri juga mempunyai pertalian tersendiri dengan tanah air negerinya. Walaupun hubungan antara negeri berkenaan diisytiharkan oleh Perlembagaan Persekutuan sebagai sebuah perjanjian, realitinya kesannya berbeza kepada negeri-negeri kerana antara lain, faktor yang disebutkan.

Penyumbang sumber ekonomi

Bagi tujuan gabungan dan keserasian sebuah negara Persekutuan, banyak perkara perlu dikorbankan oleh negeri-negeri serta penduduknya. Inilah cabaran yang saya maksudkan dengan bukan calang-calang cabaran itu di alam realiti sebuah negara Persekutuan. Ini lebih lagi bagi Sabah dan Sarawak yang menjadi negeri penyumbang sumber ekonomi negara.

Dari segi hak negeri, pembentukan Malaysia 1963 lebih tersusun berbanding Perjanjian Persekutuan 1957 di antara negeri-negeri di Semenanjung. Ini yang menjadikan hubungan antara Sabah dan Sarawak dengan Persekutuan berbeza jika dibandingkan dengan negeri lain di Semenanjung. Malah ada yang menyebut Sabah dan Sarawak mendapat perhatian yang lebih. Tetapi, hakikatnya bentuk negara Persekutuan yang diamalkan di Malaysia ini adalah satu bentuk persepakatan yang mengambil kira semua perkara, termasuk budaya dan sejarah.

Jika disingkap sejarah juga, sebermulanya Malaysia, satu kes undang-undang difailkan oleh kerajaan negeri Kelantan. Kerajaan negeri Kelantan memohon kepada mahkamah supaya Kelantan dibawa berbincang mengenai pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan pengiktirafan kepada Sabah dan Sarawak. Kerajaan Kelantan juga membawa hujah bahawa sekiranya diputuskan perjanjian Malaysia itu sah, maka sebagai pilihannya Kelantan tidak terikat dengan perjanjian berkenaan. Kesan daripada hujah ini agak mendasar yang mana ia akan menyebabkan Kelantan tidak lagi sebahagian daripada Malaysia.

Sebagai rumusan, sempena 50 tahun Malaysia ini kita harapkan kepada perpaduan dan integrasi yang lebih lebih padu antara negeri dalam Persekutuan, tidak semestinya bagi Sabah dan Sarawak saja.

Shamrahayu A Aziz ialah Prof Madya di Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim UIAM. Berita Harian Online Rencana 17/09/2013
Tags: integration, malaysia, merdeka, sabah, sarawak
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments